"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Rabu, 9 November 2011

TAJU'SSALATIN

Konsep ilmu dan nilai keadilan dalam Taju’ssalatin
Pada suatu hari Imam shafei dan sahabat-sahabatnya dalam pengembaraan ke Mesir dari BaitulMuqaddis. Dalam perjalanan, rombongan mereka telah singgah di Ramallah. Salah seorang penduduk negeri tersebut telah menjemput Imam Shafei dan para sahabat ke rumahnya. Di rumah tersebut, mereka dijamu dengan pelbagai hidangan yang enak-enak dan diberi layanan yang cukup istimewa. Namun begitu, riak muka Imam Shafei menampakkan kedukaan. Para sahabat Imam Shafei terasa pelik kerana sepatutnya Imam shafei gembira dengan apa yang diberikan oleh orang tersebut. Sesuatu yang agak pelik kepada kita apabila kita dilayan sebegitu baik tetapi kita merasa sedih. Sepatutnya kita gembira apabila diberi layanan istimewa. Semasa Imam Shafei ingin meneruskan perjalanan, orang yang menjamu dan memberi layanan istimewa telah memberi sepucuk surat. Imam shafei cukup gembira membaca surat tersebut dan memberi 30 dinar kepadanya dan meneruskan perjalanan dengan gembira. Salah seorang sahabat Imam Shafei bertanya mengapa beliau begitu gembira dan adakah ia berkaitan dengan surat yang diterima. Imam shafei menjawab, apabila tuan rumah membawa kami ke rumahnya dengan dijamu dan dilayan dengan layanan yang cukup istimewa kepadaku, aku lihat pada mukanya dengan kiafat tiada ada tanda kebajikan padanya, tetapi ia menambah jua khidmat dan layanannya padaku. Maka kerana itu aku dukacita dan sedih sebab aku sangka kalau-kalau aku salah tafsiran dalam ilmu yang ku pelajari, hanya apabila orang itu membawa surat dan dalam surat itu dikatakan selama Imam Shafie berada di dalam rumahnya, dia telah mengeluarkan belanja kerana menyediakan jamuan dan layanan kepada imam Shafei sebanyak 10 dinar, maka hendaklah Imam Shafei memberi kepadakannya sebanyak 20 dinar. Maka imam Shafei gembira kerana bahawa tiada aku salah dalam ilmu yang dipelajari. Begitulah ilmu kiafat yang dipelajari oleh Imam Shafei dalam melihat perwatakan seseorang untuk mengetahui keperibadiannya. ilmu sebegini sewajarnya dipelajari dan dikuasai oleh golongan raja atau pemimpin untuk menilai rakyat dan mungkin juga para pegawai sama ada melaksanakan sesuatu tugasan itu secara ikhlas atau ada udang disebalik batu.


Kisah kedua.
Seseorang anak itu ada 6 hak yang perlu dilakukan oleh ibu bapanya. Pertama, apabila dilahirkan, mandikan anak itu dengan air yang suci, memakaikannya dengan pakaian, azankan pada telinga kanan dan qamat pada telinga kiri, kedua, apabila berusia tujuh hari hendaklah diaqiqahkan dengan memberi makan kepada orang dan cukurkan kepala anak tersebut. Ketiga, apabila berusia enam tahun, khatankannya dan ajarinya adab sopan. Keempat, apabila berusia tujuh tahun, pisahkan tempat tidur dan ajarinya bersolat. Kelima, paksa anak solat apabila sudah berusia tiga belas tahun dan yang terakhir, carikan isteri apabila anak tersebut berusia enam belas atau tujuh belas tahun. Kisah kedua ini merupakan pengetahuan yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya. Anak-anak merupakan cerminan ibu bapa. Pada kebiasaannya anak-anak akan mengikut acuan yang ditunjukkan ibu bapa. Dalam hal ini seorang bapa perlu memberi didikan kepada anak-anak agar menjadi anak yang tidak menyusahkan mereka dewasa kelak. Lebih-lebih lagi bagi seorang raja kerana putera mereka kelak akan menggantikan tempat raja sebagai pemerintah.
Kisah ketiga,
Sultan Mahmud sangat menyenangi hamba perempuannya yang bernama Ayaz sehingga di cemburui oleh pegawai dan pembesar istana. Baginda ingin membukltikan kepada semua pegawai dan pembesar mengapa baginda sangat menyayangi Ayaz. Pada suatu hari, baginda telah memberi hirisan timun yang sangat pahit kepada Ayaz dan pegawai dan pembesar istana.. Apabila memakannya, sedikit pun tidak terpampang pada wajah Ayaz kepahitan timun tersebut, bahkan Ayaz memuji dengan berkata, Subhanallah daripada selamanya hamba tiada jua makan timun yang sedemikian manis dan sedapnya. Sedangkan para pegawai dan pembesar yang memakan timun tersebut menyatakan rasanya pahit. Mereka kemudian memarahi Ayaz yang dianggap bermuka-muka di hadapan sultan. Ayaz menjelaskan dengan berkata bahawa sebelum ini pelbagai nikmat telah dianugerahi oleh sultan kepada rakyat tetapi dengan hanya sesuap kepahitan sudah menunjukkan kecelaan kepada raja. Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pegawai, pembantu atau hamba raja kepada tuannya. Sebegitu banyak nikmat, kemewahan dan anugerah yang diberikan kepada kita sewajarnya kita mensyukurinya tetapi dek kerana sekali kesukaran atau kesulitan, kita terus melupakan kesenangan yang pernah diterima.
Demikianlah tiga petikan cerita daripada kitab Taju’ssalatin oleh Bukhari al-Jauhari. Dan kisah-kisah sebeginilah yang akan kita kongsi bersama sepanjang dua jam pertama ini.
Bismillah...........................
Assalamualeykum................................ dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana akhirnya kita dipertemukan secara berdepan setelah sebelum ini saya hanya bermonolog dalam 3 sidang video. Dua sidang secara penuh dan sidang terakhir hanya beberapa minit sahaja kerana gangguan teknikal. Namun begitu, nota kuliah tersebut sudah saya masukkan dalam blog pasir pekani. Diharap nota-nota tersebut dapat membantu saudara saudari membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan nanti.
Pagi ini InsyaAllah, kita akan bedah, kita akan selongkar, kita akan teliti dan kita akan perhalusi sebuah kitab yang cukup berpengaruhi dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu khususnya golongan pemerintah. Sebuah kitab yang menjadi panduan, pedoman dan rujukan. Dan saya akan fokuskan kepada dua aspek yang saya kira berguna dan bermanafaat bukan sahaja kepada golongan yang dinyatakan tadi tetapi juga kepada kita, iaitu konsep ilmu yang merangkumi keseluruhan kitab ini dan nilai keadilan.
Sebelum itu, ada baiknya jika kita teliti dahulu sepintas lalu berkaitan siapakah Bukhari al-Jauhari yang merupakan pengarang taju’ssalatin ini.
Taju’ssalatin bererti mahkota segala raja. Terdapat pelbagai versi siapakah Bukhari al-Jauhari ini. Hooykaas berpendapat Bukhari al-Jauhari itu ialah Bukhari ahli permata dan Bukhari itu berasal dari Johor.
Roorda van Eysinga menyatakan bahawa Bukhari bukan nama sebenar pengarangnya, tetapi nama kehormatan yang biasa diberikan kepada seseorang penulis yang dianggap sangat pandai dan banyak ilmu pengetahuan. Ini sesuai dengan maksud istilah bahasa Arab kuno yang memberi maksud bukhari itu bijaksana dan berpengetahuan. Roorda juga pernah menyatakan bahawa Taju’ssalatin yang bermaksud Mahkota Segala Raja-raja, sebenarnya lebih sesuai disebut Mahkota Segala Naskhah Melayu.
De Hollander, seorang sarjana yang banyak mengkaji karya Melayu lama berpendapat bahawa buku ini telah dikarang oleh Bukhari yang berasal dari Johor. Sejarawan Belanda, Fouffaer mengatakan bahawa nama Johor berasal daripada Jauhar yang bermaksud maknikam. Dengan kata lain, beliau berpendapat bahawa Bukhari al-Jauhar itu berasal dari Johor.
Ada juga pendapat yang menegaskan bahawa kitab ini berasal dari Parsi. Ini berdasarkan kandungan Taju’ssalatin itu sendiri yang banyak pengaruh dan adaptasi daripada nashkah Parsi seperti petikan puisi Parsi seperti matsnawi, ruba’i, ghazal dan qith’ah. Selain itu, kekerapan penggunaan perkataan shahib yang bermaksud tuan, yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat Gujerat yang sudah diketahui dan sudah saya jelaskan semasa membicarakan tokoh Sheikh Nuruddin yang merupakan daerah pengaruh budaya Parsi. Pendapat dan pandangan ini sebenarnya dikemukakan oleh van der Tuuk dan van Ronkel.
Dr Jelani Harun pula beranggapan bahawa Taju’ssalatin merupakan karya ketatanegaraan(hal yang berkaitan dengan susunan dan bentuk pemerintahan sesebuah negara) Melayu yang pertama yang ditulis oleh Bukhari al-Jauhari dari Acheh. Kitab ini begitu ketara pengaruh dan tradisi penulisan Arab dan Parsi dan mirip karya-karya ketatanegaraan Islam Parsi. Menurut Dr Jelani lagi, Taju’ssalatin tidak memperlihatkan ciri-ciri kepengarangan Melayu seperti yang terdapat dalam karya hikayat dan sastera sejarah. Daripada kajian yang dijalankan, Taju’ssalatin menyamai ciri karya Parsi seperti Mirrors for Princes atau Mirrors for rulers (cermin nasihat kepada raja-raja). Mirrors for Princes atau mirrors for rulers ini merujuk kepada sekumpulan karya yang dihasilkan sebagai nasihat atau panduan pemerintahan kepada bakal raja yang berkembang dalam tradisi kesusasteraan Islam Parsi.
Namun begitu, saya lebih tertarik dengan pandangan dan pendapat yang dikemukakan oleh Khalid M. Husin yang berpendapat bahawa buku ini merupakan hasil karya Bukhari Al- Jauhari. Beliau merupakan orang Melayu (berkemungkinan berketurunan Arab) yang berasal dari Johor. Menurut Khalid, kitab ini banyak memperlihatkan keperibadian masyarakat Melayu. Bagi mengukuhkan lagi pandangannya, beliau berpendapat nama pengarang ini dalam bahasa jawi boleh dimaknakan sebagai Bukhari dari Johor. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan seseorang pengarang meletakkan nama tempat asalnya pada akhir namanya. Malah buku ini sangat terkenal di Johor hingga diulang cetak pada tahun 1875. Buku sudah tentunya tidak begitu terkenal jika tidak dilahirkan oleh pengarang tempatan. Jadi adalah munasabah Bukhari berasal dari Johor. Walaupun terdapat pengaruh Parsi seperti puisi di dalam Taju’ssalatin, ianya merupakan sesuatu yang biasa kerana kedatangan agama Islam ke alam Melayu membawa bersamanya kebudayaan dan kesusasteraan. Bahkan bukan sahaja pengaruh Parsi, tetapi juga banyak pengaruh Hindu yang meresap dan berkembang dalam kesusasteraan dan budaya Melayu. Ini sekurang-kurangnya memperkayakan khazanah perbendaharaan kata bahasa Melayu. Di samping itu, menurut RO Winstedt, kalaulah teks ini merupakan karya yang berasal dari Parsi, sudah tentu wujud sebuah naskhah asal dalam bahasa Parsi tetapi hingga kuliah ini disampaikan sekarang ni, belum diketemukan sebuah Taju’ssalatin dalam bahasa Parsi.
Menurut Ismail Hamid, Taju’ssalatin ditulis untuk menerangkan tentang dasar-dasar pemerintahan negara di mana seseorang raja perlu mengambil contoh kepimpinan nabi dan rasul, para khalifah Islam dan raja-raja dahulu srbagai ikutan. Yang ditekankan dalam kitab ini ialah corak kepimpinan dalam Islam, syarat menjadi raja dan hubungan antara raja dengan rakyat. Ismail membuat kesimpulan bahawa Taju’ssalatin menasihati raja kerana raja ialah pemimpin yang ditugaskan menjalankan perintah Allah.
Saudara/i
Sepanjang kuliah ini, saya akan menggunakan nashkah yang diselenggarakan oleh Prof Asdi dan Endang Daruni dalam menyampaikan kuliah tetapi tidak menjadi kesalahan jika saudara-saudari merujuk nashkah Khalid Hussain kerana isi kandungan kedua-duanya adalah sama. Sebenarnya Asdi dan Endang Daruni turut merujuk Taju’ssalatin yang diselenggarakan oleh Khalid Hussin. Walaupun saya memberikan penerangan intipati fasal demi fasal tetapi apa yang disampaikan merupakan kandungan ilmu yang diterapkan oleh bukhari al-Jauhari merangkumi semua aspek keilmuan yang sewajarnya dimiliki oleh raja, pembesar mahu pun rakyat.
Taju’ssalatin merupakan sebuah kitab kitab yang tergolong sebagai sastera adab atau sastera ketatanegaraan yang merupakan kitab yang menjadi petunjuk kepada golongan raja-raja dari segi mentadbir negara. Berbeza dengan sastera sejarah kerana sastera sejarah menceritakan sejarah sesuatu negeri atau tempat, adat istiadat dan contoh ibarat cara mentadbir negeri secara sisipan sahaja seperti wasiat-wasiat, melalui perbuatan atau tindakan raja dan sebagainya yang akan menjadi contoh kepada raja-raja berkenaan tetapi dalam sastera ketatanegaraan, bukan objek sejarah yang dipentingkan tetapi penerangan secara naratif cara mentadbir sesebuah negeri dengan berdasarkkan contoh raja-raja zaman dahulu khususnya raja-raja dari Timur Tengah. Sebelum lahirnya sastera ketatanegaraan Melayu seperti Taju’ssalatin dan Bustan al-Salatin ini, sudah kedapatan kitab ketatanegaraan Hindu iaitu Pancatantra dan Jawa, pararaton.
Taju’ssalatin dimulai dengan pendahuluan dan diikuti dengan 24 bab atau disebut fasal. Dalam bahagian pendahuluan ini, Taju’ssalatin memberi pujian terhadap Allah yang Maha Esa dan Maha Kuasa, selawat dan salam kepada nabi Muhammad SAW dan khalifah yang empat. Seterusnya, menjelaskan mengapa kitab ini dinamakan Taju’ssalatin, iaitu memberitahu tentang pekerti raja-raja, menteri, hulubalang dan rakyat serta tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing.
Fasal pertama: mengenai asal kejadian manusia. Dijelaskan bagaimana manusia mengenal dirinya sendiri. Dalam fasal ini juga menjelaskan manusia dijadikan daripada empat unsur iaitu tanah, api, air dan angin. Fasal ini dimulakan dengan hadis nabi Muhammad SAW yang berbunyi, man’ arafa nafsahu faqad’ arafa rabbahu yang bermaksud barang siapa yang mengenali dirinya sesungguhnya ia mengenal tuhannya. Ini merupakan bidang ilmu dalam mengenal diri sendiri dan mengenal Allah sebagai pencipta. Mengenali Allah merupakan satu aspek penting dalam beribadat kerana setiap hamba mesti mengenali tuannya.
Fasal kedua: mengenal Tuhan/Khalik yang mencipta alam semesta dan seluruh isinya. Seperti fasal pertama, setiap fasal dimulakan dengan petikan Al-Qur’an atau hadis nabi. Fasal ini dimulakan dengan ayat Al-Qur’an, yang bermaksud tidak Aku (Allah) jadikan segala jin dan manusia melainkan supaya mereka itu menyembahKu.
Fasal ketiga: mengenai bagaimana mengenal dunia. Manusia diumpamakan orang di dalam perantauan dan dunia ini seumpama persinggahan sementara dalam menuju tempat yang abadi di akhirat. Kembara manusia diperingkatkan kepada 5 iaitu pertama dalam tulang sulbi bapanya, kedua kepangkuan ibunya, ketiga lahir ke dunia, keempat alam kubur dan kelima di Padang Mahsyar, tempat berkumpul semua manusia sebelum dihisab segala amal perbuatannya di atas muka bumi ini.
Fasal keempat; mengenai kesudahan kehidupan semua manusia dan saat terakhir manusia sebelum meninggal dunia/mati. Fasal ini dimulakan dengan ayat Al-Qur’an yang berbunyi kullu nafsin dzaiqatul maut yang bermaksud, setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dalam fasal ini dijelaskan bagaimana getirnya nafas yang terakhir sewaktu manusia berhadapan dengan maut. Tidak kira siapakah manusia itu, sama ada raja, pembesar, mulia atau hina, akan melalui jalan yang sama berhadapan dengan sakaratulmaut. Dalam fasal ini juga diceritakan bahawa manusia di dalam dunia ini digolongkan kepada dua. Golongan pertama hanya mengejar harta dan terlalu kasih kepada dunia dan tidak menyedari bahawa kematian bakal menjemput manakala golongan kedua ialah orang yang berbudi dan mengetahui bahawa dunia ini fana dan hendaklah mempersiapkan diri untuk dijemput tuhan.
Fasal kelima: mengenai martabat dan kekuasaan raja. diceritakan bagaimana corak pemerintahan nabi Musa, nabi Yusuf, nabi Daud, nabi Muhammad SAW dan khalifah al-Rasyiddin.
Fasal keenam: mengenai keadilan dan bagaimana menegakkan keadilan. Ini didasarkan kepada firman Allah yang bermaksud Allah memerintahkan berbuat adil dan melakukan kebaikan. Pada akhir fasal ini juga inyatakan bahawa raja yang melakukan aniaya akan kehilangan kerajaannya.
Fasal ketujuh: mengenai budi pekerti raja yang adil. Supaya sentiasa adil dalam pemerintahan, seorang raja atau pemerintah harus banyak bergaul dengan alim ulama dan orang-orang yang salih serta menjauhi diri daripada orang-orang jahat.Raja juga dilarang menindas rakyat dan selalu memerhatikan hal berkaitan rakyat. Raja-raja dahulu membahagikan masa mereka kepada empat bahagian. Pertama kewajipan kepada agama, kedua, kewajipan dalam pemerintahan, ketiga makan dan tidur dan keempat istirehat.
Fasal kelapan: mengenai keadilan raja yang bukan Islam. Antaranya diceritakan keadilan raja Nusyirwan Adil. Kerana keadilannya itulah dia digelar Nustyirwan Adil. Dengan kata lain, tidak sia-sia jika seseorang raja itu melakukan kebajikan atau keadilan hatta bukan Islam sekali pun dan jika dilakukan oleh raja beragama Islam dan beriman, akan bertambah-tambahlah kemuliaan raja dan kebajikan yang diperolehi. Kalau tak silap saya, keadilan Nusyirwan Adil ini telah diceritakan dengan jelasnya oleh Siti Zubaidah Noor.
Fasal kesembilan: mengenai kezaliman dan penindasan. Dalam fasal ini, Taju’ssalatin memperingatkan bahawa celakalah orang yang membuat aniaya dan kezaliman. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud, pada hari itu tiada manfaatnya bagi orang-orang yang zalim dan mereka itu akan mendaspat laknat dan bagi mereka seburuk-buruk tempat. Dalam fasal ini juga dijelaskan sebuah hadis nabi yang bermaksud,pada hari qiamat nanti ada dua kelompok manusia yang tidak akan mendapat shafaat baginda iaitu raja yang membuat aniaya terhadap rakyatnya dan orang yang menambah-nambah aturan agama. Sebuah hadis lagi menjelaskan bahawa 5 golongan yang sangat dimurkai Allah iaitu, raja yang membuat aniaya atau zalim, penghulu atau menteri yang pemarah, orang yang laslai dalam mengajar ahli keluarganya hal-hal berkaitan agama, orang yang menganiaya atau mengurangi hak-hak isterinya dan raja yang melanggar hukum agama.
Fasal kesepuluh: mengenai tugas dan kewajipan serta budi pekerti pembesar-pembesar kerajaan. Sebuah kerajaan diibaratkan sebagai sebuah mahlkigai yang didirikan di atas empat tiang pokok, apabila suatu tiang itu tidak ada, akan runtuh dan hancurlah kerajaan tersebut. Keempat-empat tiang itu ialah, pertama menteri yang berwibawa dan bijaksana, sabar, budiman dan dikatakan menteri sebegini sebagai perhiasan kerajaan dan kemakmuran, kesentosaan dan kesejahteraan kerajaan tersebut bergantung kepada menteri ini. Kedua, panglima yang berani dan mulia dimana menjaga dan melindungi rakyat daripada segala bahaya dan kesulitan. Ketiga harta kerajaan. Menteri kewangan kalau pada zaman kita ini mestilah seorang yang amanah dalam menjaga harta negara sehingga dapat digunakan harta tersebut dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan umum dan keempat ialah mukhbir, iaitu orang yang menyampaikan berita dengan jujur. Dia tidak menyampaikan sesuatu yang berunsur fitnah dan hanyha menyatakan apa yang benar sahaja.
Fasal kesebelas: mengenai tugas dan kewajipan penulis kerajaan. Untuk menjadi penulis kerajaan, Taju’ssalatin menggariskan beberapa syarat yang perlu dimiliki; pertama, hendaklah luas pengetahuan dalam ilmu-ilmu falak, kesusasteraan dll ilmu yang bersangkutan. Kedua, keperibadiannya haruslah terpuji, kata-kata yang dituturkan halus, kuat ingatannya, petah dalam mengeluarkan pandangan dan baik tulisannya. Ketiga, pada waktu menulis, pilih tempat yang suci dan terhindar dari segala gangguan sehingga tidak mengganggu intipati tulisan. Keempat, telitilah apa yang ditulis dan tidak boleh siapapun membaca tulisannya tanpa izin. Kelima, kata-kata yang dipilih harus tepat, tidak diulang-ulang dan betul ejaannya sehingga menghindari salah tafsir.
Fasal kedua belas: mengenai tugas dan kewajipan duta kerajaan/wakil kerajaan. Duta atau wakil kerajaan ini dianggap sebagai ganti mata, telinga dan lidah raja dan gambaran yang dimiliki oleh duta atau wakil kerajaan itu sebenarnya menggambarkan budi dan bicara raja yang melantiknya. Oleh hal yang demikian, seorang duta mesti memiliki wajah yang baik, manis tuturkatanya, fasih berbicara dan betul perbuatannya. Kedua hendaklah memiliki pengetahuan yang luas. Ketiga hendaklah kuat imannya, bijaksana dan budiman. Keempat, jangan memiliki sifat tamak dan hendaklah berbudi pekerti dan terakhirnya, kata-katanya sahih, benar dan boleh dipercayai.
Fasal ketiga belas: mengenai budi pekerti hamba raja. Taju’ssalatin menggariskan dua puluh lima sifat atau syarat untuk menjadi hamba yang terpuji. Antaranya ialah, mengaku hak Allah melebihi hak seorang raja, lebih menyukai dan menghormati raja lebih daripada anugerah yang diberikan oleh raja, dalam urusan kerja, hendaklah mengharapkan keredhaan Allah lebih daripada keredhaan raja, lebih takutkan Allah taala lebih daripada takutkan raja, sempurnakan kerja raja untuk kesenangan dunia tetapi jika inginkan kesenangan akhirat, dahulukanlah pekerjaan akhirat. Jangan puji orang lain dihadapan raja, jangan berbisik-bisik dengan orang lain semasa di hadapan raja dll.
Fasal keempat belas: mengenai cara mendidik anak. ini sudah saya jelaskan pada peringkat awal kuliah.
Fasal kelima belas:mengenai hemat/pemerhatian yang benar. Taju’ssalatin menjelaskan bahawa hendaklah berlaku hemat yang benar kerana tidak akan dipandang hina orang yang berbuat demikian.
Fasal keenam belas: mengenai akal dan orang yang berakal. Dikatakan bahawa budi dan akal manusia itu merupakan cahaya yang dapat menyinari manusia. Orang yang menggunakan akal biasanya dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Taju’ssalatin turut memberikan tanda-tanda orang yang berbudi, antaranya ialah pertama membalas keburukan orang lain kepadanya dengan kebaikan. Kedua, sentiasa merendah diri biarpun kepada orang yang lebih rendah darjat daripada dirinya. Ketiga, berusaha agar dia selalu dapat berbuat baik. Keempat, membenci perbuatan jahat dan menjauhi orang yang jahat. Kelima, sentiasa ingat kepada Allah, mohon ampun kepadanya dan ingat akan kesudahan hidupnya. Keenam, hanya menyatakan hal atau perkara yang benar-benar diketahuinya dan sesuai dengan tempatnya dan yang terakhirnya, selalu menganggap kesukaran yang dihadapi adalah kurniaan allah dan hanya Allah tempat meminta pertolongan. disamping itu dijelaskan juga tanda-tanda orang yang kurang budinya
Fasal ketujuh belas: mengenai undang-undang dasar kerajaan. Seorang raja hendaklah mematuhi semua undang-undang kerajaan dan wajib melaksanakannya. Dalam soal ini, syarat atau undang-undang dasar kerajaan dan petunjuk pelaksanaan bagi raja ialah, pertama, raja hendaklah menghukum dan rakyat yang dihukum adalah mengikut hukum yang sama. Kedua, raja hendaklah menerima pengaduan rakyat yang merasakan dihukum atau tidak menerima keadilan daripada kerajaan. Ketiga, raja hendaklah mengikut jejak raja-raja terdahulu yang baik, beriman, budiman dan adil. Keempat, raja hendaklah sentiasa bermusyawarah dan meminta bimbingan dan pandangan alim ulama dalam melaksanakan hukum. Kelima, raja hendaklah bertingkah laku yang benar, jujur, lemah lembut supaya rakyat hormat dan takutkan raja. Keenam, hendaklah menjauhi perbuatan sombong kerana perbuatan tersebut merupakan pangkal segala kejahatan. Ketujuh, raja hendaklah bijaksana, berhati-hati serta mempertimbangkan semua perbuatannya terlebih dahulu supaya terhindar daripada kejahatan dan yang terakhir, raja hendaklah mengetahui dan memerhati tingkah laku rakyat dan pembesar dengan memberi ganjaran kepada yang terpuji.
Fasal kelapan belas: mengenai ilmu kiafat dan firasat, juga telah saya ceritakan suatu kisah daripada beberapa kisah berkaitan kiafat dan firasat ini. Berkaitan dengan ilmu firasat ini, contoh yang pertama sudah saya jelaskan pada mukaddimah kuliah ini iaitu tentang imam Shafei. Selain daripada itu, dikisahkan juga kisah nabi sulaiman yang mengadili perebutan seorang anak oleh dua orang perempuan. Mungkin sebilangan daripada kita pernah mendengar cerita atau kisah ini.
Fasal kesembilan belas: mengenai tanda-tanda ilmu kiafat dan firasat. Dalam fasal kesembilan belas, diberikan pengetahuan dan ilmu yang lengkap tentang ilmu kiafat dan firasat. Antara yang dinyatakan di dalam Taju’ssalatin yang boleh kita kongsi bersama ialah; rambut yang hitam itu tanda budi dan orang yang menunaikan janji manakala rambut yang kuning itu kurang budi dan rambut yang merah kehitaman itu tanpa orang yang terpuji. Bulu yang lebat pada belikat itu tanda banyak syahwat dan bulu yang lebat pada dada dan perut itu tanda kurang budi. Dahi yang luas tanpa urat dan banyak kedut itu tanda memiliki sifat kebencian dan suka membantah. Dahi yang besar itu tanda malas dan dahi yang sedang tanpa kedut itu tanda orang yang terpuji. Telinga yang besar itu tanda budi tapi tidak tetap pendiriannya. Kening yang lebat itu tanda percintaan dan kening yang panjang bulunya tanda membesarkan diri. Kening yang bertemu bulunya tanda sentiasa menghadapi masalah. Mata yang besar itu tanda malas, mata yang lembut berkelip-kelip itu tanda kurang budi. Mata yang jarang berkelip-kelip itu tanda kesempurnaan budi dan bicara. Mata yang hitam itu tanda kebaikan, mata yang biru itu tanda tiada malu dan mata yang merah itu tanda berani dan mata yang teramat merah itu tanda kejahatan. Hidung yang panjang dan mancung itu tanda kurang budi, hidung yang rendah besar tanda syahwat. Mulut yang luas itu tanda berani dan mulut yang sempit itu tanda penakut. Janggut yang kecil itu tanda cerdik, janggut yang amat lebat itu tanda hemat yang besar. Janggut yang sedang itu tanda kesempurnaan budi dan bicara. Tapak tangan dengan segala jari yang panjang itu tanda cerdik.
Fasal kedua puluh: mengenai hubungan hamba beragama Islam dengan raja. Dalam fasal ini dinyatakan dua puluh hak hamba terhadap seorang raja. Antaranya ialah jangan membesarkan diri dihadapan hamba rakyat dengan tujuan untuk bermegah-megah, seorang raja itu tidak boleh mempercayai hasutan daripada rakyat terhadap rakyat yang lain sebelum memastikan kebenarannya, raja hendaklah menjaga kebajikan semua rakyatnya tanpa memilih kasih, jangan sesekali seseorang raja itu memasuki rumah rakyat tanpa kebenaran tuannya, raja hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripadanya, raja janganlah membuka aib hamba rakyatnya dan raja hendaklah menghukum dengan adil.dll.
Fasal kedua puluh satu: mengenai hubungan hamba bukan Islam dengan raja. Dalam fasal ini turut diceritakan bagaimana hubungan khalifah Umar dengan hamba rakyatnya yang bukan Islam yang dalam kitab ini disebut kafir.Hubungan ini sebenarnya membawa kepada keamanan dan kesejahteraan dalam negeri. Antara syarat yang ditetapkan oleh khalifah Umar kepada rakyat yang kafir ini ialah tidak boleh membina berhala baru, berhala yang sedia ada jika rosak tidak boleh diperbaiki, jika orang Islam dalam musafir dan singgah di rumah orang kafir, hendaklah diperjamu selama tiga hari secara percuma, jika keluarga orang kafir itu mahu memeluk Islam, keluarganya tidak boleh menegah, hendaklah orang kafir memberi hormat kepada orang Islam seperti hamba menghormati tuannya, jangan memakai pakaian seperti orang Islam, tidak boleh menyimpan senjata di dalam rumah, tidak boleh menamakan anak seperti nama orang Islam, tidak boleh menjual arak dan minum di hadapan orang Islam, tidak boleh menaiki kuda berpelana,tidak boleh membakar mayat dekat perkuburan orang Islam dan tidak boleh membuat rumah berhampiran rumah orang Islam.
Fasal kedua puluh dua: mengenai keadilan dan sifat mulia. Taju’ssalatin menjelaskan bahawa Allah mengasihi orang yang pemurah dan benci kepada orang yang bakhil. Sifat pemurah merupakan perhiasan manusia dan sifat bakhil itu merupakan sifat yang tercela bagi manusia. Orang yang pemurah akan masyhur dan namanya sentiasa disebut kenang dan disayangi kerana kebaikan tetapi orang yang bakhil akan juga disebut tetapi dengan kejian dan dibenci. Dalam fasal ini diceritakan sifat pemurah raja Hatim Tai (Chatim Thaj) yang sanggup menyembelih kuda yang paling disayanginya semata-mata mahu menjamu tetamu yang datang ke negerinya dan sanggup berhutang untuk memenuhi kehendak tetamunya. Wallahuaklam.
Fasal kedua puluh tiga: mengenai sifat menepati janji. Taju’ssalatin menyarankan semua raja, pembesar, dermawan, budiman, pegawai agar menepati janji. Dalam Taju’ssalatin ada menceritakan kisah seorang raja yang menepati janji. Nak dengar ke? Pada suatu masa dahulu, ada seorang raja yang menghadapi kesukaran yang teramat. Baginda berjanji jika dipermudahkan Allah, baginda akan mendermakan semua harta di dalam perbendaharaan kepada fakir miskin. Dengan izin Allah, segala kesukaran raja tersebut dipermudahkan Allah dan baginda menyuruh diberikan semua kekayaan di dalam perbendaharaan sebagaimana yang telah dijanjikan. Namun begitu para menteri menasihati baginda supaya tidak mengotakan janjinya. Raja sedih kerana hajatnya tidak dapat dipenuhi sehingga baginda bertanyakan pandangan seorang lelaki gila. Orang gila tersebut bertanyakan raja, adakah semasa berjanji dahulu, raja dalam urusan kerja dan kerana Allah. Apabila raja menjawab ya, orang gila tersebut menasihati baginda mengotakan janjinya. Alhamdulillah berkat kotakan janji, perbendaharaan kerajaan makin bertambah.
Fasal kedua puluh empat: penutup.
Daripada 24 fasal seperti yang telah dinyatakan di atas, Taju’ssalatin ini sebenarnya dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian. Bahagian pertama terdiri daripada 4 fasal merangkumi fasal kejadian manusia, pengenalan Khalik, mengenal dunia dan nafas akhir ketika menanti tibanya maut. Fasal-fasal ini mengemukakan hujah-hujah sufi khususnya hubungan manusia dengan Allah dan keadilan raja sebagai pemerintah. Dalam konteks ini, pandangan sufi menjelaskan bahawa manusia mempunyai hubungan rapat dengan Khaliknya kerana manusia merupakan sebaik-baik kejadian dan diberikan jawatan atau gelaran khalifah Allah di muka bumi.
Dalam konteks dunia pula, sebagaimana kita yang beriman ini sedia maklum, dunia merupakan tempat ujian tingkah laku, perbuatan dan amalan kita dalam perjalanan menuju tempat yang kekal abadi sama ada dipenuhi azab sengsara atau kenikmatan yang abadi. Tepuklah dada tanyalah iman kita. Sebagaimana yang telah dijelaskan, Taju’ssalatin merupakan panduan kepada golongan pemerintah, jadi golongan raja merupakan sasaran nasihat yang utama kitab ini. Oleh hal yang demikian, raja perlu adil dalam pemerintahannya kerana azab dan balasan Allah cukup berat kepada pemerintah yang tidak berlaku adil. Tambahan pula, raja itu seumpama bayangan Tuhan di atas muka bumi dan seorang raja itu perlu memiliki sifat Rahman dan Rahim, barulah kehidupan dalam keadaan harmoni dan sempurna. Saya rasa saudara saudari sudah jelas hubungan antara kejadian manusia, Khalik, dunia dan kematian.
Bahagian yang kedua pula, terdiri daripada 5 fasal tentang martabat raja, keadilan, budi pekerti raja yang adil, raja-raja bukan Islam yang adil dan kezaliman dan penindasan raja yang zalim. Bahagian ini memberikan penekanan yang sangat jelas berkaitan keadilan khususnya keadilan sosial. Bukhari al-Jauhari memberikan banyak contoh berkaitan keadilan. Menurutnya, konsep keadilan ini pada awalnya diletakkan pada nabi-nabi, para khalifah dan kemudiannya kepada raja-raja. Konsep keadilan ini begitu dititikberatkan kerana balasan Allah cukup berat kepada pemerintah yang tidak adil sehingga dikatakan bahawa doa orang yang teraniaya tak kira sama ada yang beragama Islam atau tidak akan dimakbulkan. Dalam konteks keadilan ini, bukan sahaja raja yang perlu bersikap adil, tetapi juga para pembesar yang menjadi pembantu raja, bahkan mereka juga perlu sentiasa memastikan raja berlaku adil dalam pemerintahan. Satu konsep keadilan yang cukup menarik untuk kita semua renung dan jadikan pegangan ialah, jangan lakukan kepada orang lain apa yang kamu tidak mahu dilakukan kepada dirimu sendiri.
Dalam bahagian yang ketiga, dinyatakan sifat-sifat yang bersangkutan dengan konsep keadilan ini seperti hemat/perhatian, kebijaksanaan atau dalam kitab ini disebut peri budi dan menggunakan pertimbangan akal.
Bahagian yang terakhir pula membincangkan ilmu firasat yang membolehkan penilaian terhadap seseorang yang lain dengan betul agar tidak berlaku penganiayaan kepada mereka di samping soal-soal menepati janji. Pada punutup kitab ini Bukhari al-Jauhari menyeru raja supaya membaca Taju’ssalatin setiap pagi selepas solat subuh dalam ketika suasana masih hening dan menjadikannya sebagai sahabat dan penasihat setia. Bukhari juga mahu kitab ini dimuliakan sebagaimana katanya, dengan taruh katanya seperti mutiara pada telinga budi dan simpan maknanya seperti permata pada cincin hati yang bermaksud menempatkan kandungan kitab ini pada kedudukan yang istimewa dan dijadikan sebagai panduan dan pegangan dalam sebarang kerja buat.
Taju’ssalatin ini dihasilkan di Acheh dan dipercayai ditujukan khusus untuk Sultan Alauddin Riayat Syah yang memerintah Acheh antara tahun 1586 – 1604. Dalam menghasilkan kitab ini, dikatakan bahawa Bukhari al-Jauhari merupakan seorang yang tekun dan hebat kerana tercatat sekurang-kurangnya 50 buah sumber rujukan yang merupakan buku yang lahir dalam tradisi kesusasteraan Arab dan Parsi. Rujukan-rujukan ini bukan sahaja perlu dibaca, malah disalin, diterjemah dan diolah semula sehingga terhasilkan sebuah kitab adab ini. Di samping itu terdapat sekurang-kurangnya 62 petikan Al-Qur’an, 60 petikan hadith dan 89 buah cerita nasihat.
Saudara/saudari,
Kitab Taju’ssalatin ini sebenarnya mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu. ada beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan dengan kitab ini. Antaranya;
Pertama, fasal berkaitan ilmu firasat telah membantu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang menakluk banyak negeri mengenal bakal raja yang akan menggantikan baginda memerintah Acheh ketika merenung wajah putera Pahang yang ditawannya. Putera itu dikahwinkan dengan puteri baginda dan akhirnya menggantikan baginda menjadi pemerintah Acheh dengan memakai gelaran Sultan Iskandar Thani.
Kedua, selepas kemangkatan Iskandar Thani tanpa putera pengganti, para pembesar Acheh merujuk kitab ini juga sebagai panduan. Dalam kitab ini ada menyatakan bahawa jika sesebuah negeri itu tiada mempunyai keturunan putera, seorang perempuan bolehlah dilantik menjadi raja. Jadi permaisuri baginda dijadikan raja di Acheh memakai gelaran Sri Sultan Taj al-Alam Safiatuddin.
Ketiga, Sultan Hussin pemerintah Singapura pernah menggunakan kitab ini sebagai rujukan untuk menolak cadangan Raffles yang menyuruh baginda menjalankan perniagaan untuk mengatasi kesulitan kewangan yang sedang dihadapi baginda.
Keempat, Munsyi Abdullah turut merujuk kitab ini untuk memahami perangai Raffles. Abdullah merujuk fasal ke sembilan belas mengenai ilmu kiafat dan firasat.
Saudara saudari yang dihormati,
Apa yang sudah saya sampaikan fasal demi fasal bermula fasal pertama sehingga fasal ke dua puluh tiga merupakan ilmu yang diterapkan oleh Bukhari al-Jauhari lewat Taju’ssalatin sebagai panduan kepada orang-orang yang membaca kitab ini khususnya para raja yang memerintah. Ilmu tentang bagaimana menilai keperibadian manusia, bagaimana mentadbir kerajaan dengan adil sehingga disukai dan disanjungi oleh rakyat serta halangan dan larangan yang perlu dipatuhi agar kerajaan terus kekal aman dan sejahtera.
Sebagaimana yang telah saya jelaskan sebelum ini, kitab ini merupakan panduan dan nasihat yang cukup jelas kepada pemerintah sehingga Bukhari al-Jauhari ada menyatakan bahawa apabila seseorang raja memiliki, mempelajari dan mengikut petunjuk kitab ini, pastilah baginda menjadi raja yang sempurna sehingga layak baginya suatu mahkota. Antara keduanya iaitu ilmu dan nilai murni ini saling berkait kerana Bukhari al-Jauhari menggunakan atau menerapkan nilai murni melalui ilmu. Maksudnya, nilai-nilai murni yang ingin disampaikan oleh Bukhari al-Jauhari seperti nilai keadilan, menepati janji, amanah, bijaksana, berbudi pekerti, hemat, berani dan bertanggungjawab dapat dimiliki jika ilmu tentang semua nilai murni ini dipelajari dan dikuasai. Kuliah ini hanya akan membicarakan satu sahaja nilai iaitu nilai keadilan yang dapat kita kaitkan dengan pemerolehan ilmu. Mungkin timbul satu persoalan dalam minda saudara saudari mengapa saya hanya memilih nilai keadilan sahaja?
Sebenarnya, Taju’ssalatin memberikan fokus yang lebih kepada nilai keadilan ini. Kita boleh katakan bahawa keseluruhan kitab ini menumpukan kepada keadilan. Saya akan cuba menjelaskan beberapa fakta yang menunjukkan kepentingan nilai keadilan ini disamping mengaitkannya dengan konsep ilmu.
Sebelum itu ada baiknya jika kita imbau kembali kuliah kedua saya pada 10/10/2010 yang lalu. Dalam kuliah tersebut, saya memberikan perincian konsep keadilan khususnya keadilan raja, ada 10 ciri raja yang adil. Saya rasa tidak salah jika diulang kembali kerana sesuatu yang baik dan penting itu wajar diulang-ulangkan.
Pertama, raja harus memahami tugas dan tanggungjawab.Seseorang raja itu apabila menaiki takhta, mesti sedar dan mengetahui tugas dan tanggungjawabnya. Raja bukan hanya sebagai ketua kerajaan tetapi yang lebih penting ialah memikul amanah Allah sebagai pemimpin ummah dan negara. Tugas sebagai pemerintah ini akan dinilai dan diberi balasan samada pahala atau dosa bergantung kepada kebaikan atau keburukan yang dilakukan. Dalam Taju’ssalatin ada memaparkan pemahaman tugas dan tanggungjawab raja ini. Seorang raja hendaklah menjaga dan mematuhi segala hukum yang telah ditetapkan. Setiap rakyat hendaklah dihukum mengikut hukuman dan peraturan yang sama tanpa mengira darjat, taraf kedudukan dan hubungan kekeluargaan. raja sebagai ketua kerajaan akan bertanggungjawab
Kedua, raja harus beriman dan beramal soleh. Seorang raja seharusnya beriman kepada Allah dan sentiasa melakukan amal soleh. Sifat keadilan akan lahir daripada raja yang sentiasa bermuhasabah diri, menyempurnakan ibadah yang difardukan seperti solat, puasa dan yang lainnya. Raja yang beriman akan menasihati rakyat supaya melakukan perkara kebaikan dan menegah daripada melakukan keburukan. Taju’ssalatin dalam fasa kelima menasihati raja-raja supaya mematuhi segala suruhan dan perintah Allah kerana sebarang keingkaran akan menerima hukuman dan siksaan Allah pada hari qiamat nanti.
Ketiga, raja harus menjadikan peribadi raja yang adil pada masa lalu sebagai contoh. Seorang raja seharusnya menjadikan keadilan raja-raja yang terdahulu sebagai contoh yang perlu diikuti serta dijadikan contoh panduan. Jasa dan sumbangan junjungan besar nabi Muhammad SAW dan para sahabat Khalifah al-Rasyiddin, Nusyirwan Adil dan Hatim Tai yang walaupun tidak beragama Islam tetapi mempunyai keperibadian yang mulia dalam pemerintahan. Sifat keadilan dan kebijaksanaan mereka ini wajar dijadikan iktibar dan panduan kepada generasi kemudian. Salah satu daripada cerita tentang Hatim Tai telah saya ceritakan sebelum ini. Cerita kedua berkaitan Hatim Tai ialah tentang bagaimana Hatim Tai sanggup dibunuh oleh orang yang mahu membunuhnya kerana tidak mahu mengecewakan harapan orang tetapi kerana keperibadiannya, pembunuh tersebut tidak jadi membunuhnya. (fasal ke 22)
Keempat, raja harus mengamalkan sifat sederhana. Pada kebiasaannya, raja memiliki harta kekayaan dan kekuasaan yang sangat banyak dan hebat. Dalam konteks zaman silam, kekayaan dan kekuasaan raja adalah tanpa batasan, meliputi seluruh rakyat dan negeri. Justeru, raja terdedah kepada pelbagai kemungkinan penyalahgunaan harta kekayaan dan kebesaran demi kepentingan diri sendiri dan seterusnya akan mendekatkan dirinya kepada sifat tamak, zalim, sombong, takbur sehingga menyebabkan rakyat menderita. oleh hal yang demikian, seorang raja dinasihatkan agar mengamalkan cara hidup yang sederhana, rendah diri dan mensyukuri nikmat anugerah Allah.
Kelima, raja harus mendampingi kehidupan rakyat. Raja harus sentiasa mengetahui keadaan rakyat jelata dengan cara melihat sendiri corak kehidupan mereka. Raja yang adil sewajarnya keluar daripada istana pada-pada waktu tertentu seperti waktu malam dengan memeriksa dan menyiasat sendiri keadaan rakyat. Pemeriksaan tersebut boleh dilakukan secara rasmi atau secara rahsia tanpa disedari oleh rakyat. Dengan melihat sendiri kehidupan rakyat, akan memberi maklumat dan pendedahan sebenar permasalahan dan keperluan rakyat akan dapat diatasi tanpa perantara para pembesar.
Keenam, raja harus mengadili pertikaian rakyat. Dalam mentadbir negeri, raja akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai pertikaian yang berlaku antara rakyat ataupun perbuatan jenayah yang dilakukan oleh rakyat. Pada ketika tertentu, raja akan bertindak sebagai hakim yang akan mengadili permasalahan rakyat. Raja yang adil akan bertindak berdasarkan hukum yang telah ditetapkan dan tanpa berat sebelah dan pilih kasih. Raja juga akan melantik hakim yang adil bagi menguruskan persoalan kehakiman dan undang-undang.
Ketujuh, raja harus menghormati ulama. Seorang raja dituntut memerintah negeri dengan berpandukan ajaran Islam. Dalam hal ini, ilmu berkaitan agama sangat penting, justeru, raja harus mendapatkan nasihat daripada ulama yang mahir berkaitan agama. Panduan, nasihat dan tunjuk ajar daripada ulama akan membantu raja memerintah dengan adil dan saksama. Taju’ssalatin turut memberikan contoh berkaitan menghormati ulama ini. Dalam fasal ketujuh ada menjelaskan yang seorang raja yang beriman dan budiman akan memelihara dirinya daripada orang-orang yang berniat jahat. Dalam hal ini, seseorang raja itu mestilah mematuhi nasihat yang disampaikan oleh alim ulama kerana pada kebiasaannya seorang yang memiliki ilmu agama yang tinggi dikatakan tidak takut kepada para raja, tidak malu kepada para hartawan kecuali kepada Allah jua yang ditakutinya.
Kelapan, raja harus bijaksana. Raja harus bijaksana dalam mentadbir kerajaannya. Raja yang bijaksana dapat berfikir dengan waras, mampu mengawal hawa nafsu, mempunyai budi bicara yang baik dan berhikmah dalam menyelesaikan masalah. Raja yang bijaksana juga mempunyai kemahiran tertentu dalam berkomunikasi dengan rakyat, memiliki ilmu firasat dan daya siasah yang tinggi dalam berhadapan dengan musuh atau pun dalam mengetahui emosi, kehendak dan keinginan rakyat. Kebijaksanaan raja akan menjadikan sesuatu pekerjaan atau permasalahan rakyat yang sukar menjadi senang dan mampu ditangani dengan baik.
Kesembilan, raja harus mengasihi rakyat. Raja yang baik dan adil harus memiliki sifat ehsan dan mengasihi rakyat. Sifat kasih dan sayang itu akan menjadikan raja seorang yang sentiasa memikirkan kesejahteraan hidup rakyat. Sifat kasih dan sayang akan menjadikan raja sentiasa sabar, penyayang, pemurah, tidak membebankan rakyat dengan pelbagai jenis cukai, pemaaf, pemberi anugerah kepada rakyat yang berjasa, mesra dan kesannya, rakyat akan mengasihi raja dan sentiasa mendoakan kesejahteraan raja tersebut.
Dan Kesepuluh, raja harus mengekalkan peribadi yang baik. Raja harus memiliki keperibadian yang baik dan mengekalkannya sepanjang masa. Raja mesti memiliki adab mulia dalam berpakaian, tutur kata, cara makan, beristirehat dan sebagainya. Raja tidak harus melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak bermoral atau tidak bermaruah seperti melakujkan maksiat, minum arak, berjudi dan lain-lain yang bertentang dengan moral baik raja. Semua kegiatan buruk itu akan menjadikan raja hina pada pandangan mata rakyat.
Taju’ssalatin turut menggariskan sepuluh perkara yang perlu seseorang raja itu miliki agar kerajaannya sempurna, iaitu melaksanakan tugas dengan adil, mempunyai ilmu, menteri yang akil baligh, memiliki rupa paras yang baik, bersifat pemurah, mengingatkan dirinya dan rakyat agar berbuat kebaikan, bersifat berani dan gagah, hidup dalam kesederhanaan, tidak berfoya-foya dengan wanita dan mesti daripada golongan lelaki.
Saudara saudari,
Sekarang kita akan membicarakan konsep keadilan yang menjadi dasar kitab ini. sebagaimana kita semua sedia maklum, keadilan itu merupakan suatu sikap terpuji dan tidak semua daripada kalangan pemerintah yang mampu memiliki nilai keadilan ini. Keadilan sebenarnya merupakan tunjang kepada pentadbiran yang baik dan berkesan. Seorang raja itu akan dikenang dan sentiasa disebut puji kerana keadilan dalam pemerintahan, begitu juga jika raja tersebut mengabaikannya dengan melakukan kezaliman, tetap akan dikenang tetapi diiringi umpat keji dan tohmahan terutama daripada kalangan rakyat.
Taju’ssalatin banyak memaparkan cerita tentang keadilan raja. Fasal keenam Taju’ssalatin dengan jelas menyatakan tentang keadilan dan bagaimanakah caranya menegakkan keadilan. Permulaan fasal ini juga dengan ayat al-Qur’an yang berbunyi inna llaha ya’muru bil adli wal ehsan yang bermaksud bahawa Allah taala memerintahkan agar berbuat adil dan ehsan. Diselitkan juga sebuah hadis yang bermaksud, Raja yang adil dalam dunia, pada hari qiamat duduk di dalam syurga di atas singgahsana daripada mutiara. Ada beberapa kelebihan jika seseorang raja berlaku adil dalam pemerintahan. Antaranya yang disebut di dalam kitab ini ialah mendapat pahala enam puluh orang pergi haji, melebihi pahala enam puluh tahun solat sunat, pada hari qiamat berada di bawah arasy Allah, disuratkan kebajikan dengan kebajikan sekelian rakyat dalam negeri, pada hari qiamat kelak, raja yang adil akan berada hampir dengan Allah taala.
Taju’ssalatin turut menceritakan contoh-contoh raja yang adil. Antara yang sering kita dengar ialah kisah Khalifah Umar al-Khattab yang keluar sendiri menyiasat keadaan rakyat. Mungkin kisah Umar al-Khattab ini sudah agak biasa kita dengar. Dalam kisah tersebut, dijelaskan bagaimana khalifah Umar keluar pada waktu malam untuk menyiasat keadaan rakyat sehingga berjumpa dengan seorang wanita yang sedang merebut batu. Atas rasa tanggungjawab, khalifah Umar sendiri memikul bahan makanan untuk diberikan kepada wanita tersebut. Sebagai ketua negara, khalifah Umar merasakan tanggungjawab memastikan keadilan dalam negara dapat dilaksanakan dengan setiap rakyat mendapat manafaat daripada kemakmuran dan kekayaan negara. Begitu juga dengan keadilan raja-raja Islam yang lain seperti Umar Ab Aziz.
Selain daripada itu, Taju’ssalatin turut memberikan contoh raja-raja bukan islam yang turut mengutamakan keadilan dalam pemerintahan mereka. Cerita yang terkenal dan popular ialah cerita raja Nusyirwan Adil dan raja China. Keadilan Nusyirwan Adil ini begitu mengagumkan sehingga dikatakan tubuhnya tidak dimakan bumi bahkan terdapat 3 cincin pada jarinya yang pada setiap satunya ada nasihat. Saya juga memakai tiga bentuk cincin tetapi ianya tidak berkait dengan Nusyirwan Adil. Cincin pertama berbunyi, jangan dikerjakan olehmu suatu pekerjaan lain daripada berbicara dengan segala orang yang berbudi. Cincin kedua, jangan gusar akan kesalahan orang, baik kekasihmu, musuhmu melainkan dengan kira-kira dan bicara juga dan cincin ketiga, barang siapa yang menghendaki diperbesarkan Allah keadaannya, maka hendaklah dia membesarkan segala orang beragama dan barangsiapa menghendaki kebesaran dan daulatnya, maka hendaklah berlaku adil. Saya juga memakai tiga bentuk cincin tetapi tidak ada kena mengena dengan Nusyirwan adil. Sebenarnya saya selalu membawa lima bentuk cincin dalam satu masa, tiga saya pakai dan dua lagi dalam poket saya. Ada la sebabnya mengapa sentiasa ada lima bentuk cincin bersama saya. Nak tahu boleh tanya saya selepas ni. Sebenarnya ada banyak perkara yang bersama kita ada makna disebaliknya. Mengapa baju Melayu berbutang lima, tidak tiga atau empat? Menurut Pak Tenas Affandy, bersesuaian dengan rukun Islam yang lima.
Seorang lagi raja bukan Islam yang turut mendapat tempat dalam Taju’ssalatin ialah cerita raja benua China. Dikatakan raja ini begitu adil sehingga meminta rakyatnya memakai pakaian berwarna merah sebagai tanda menghadapi masalah kerana raja tersebut tuli dan tidak dapat mendengar masalah rakyat. Rakyat yang berbaju merah menandakan ada kesulitan dan raja akan menyelesaikan masalah tersebut. Hebatnya raja-raja ini. Berbahagialah rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan raja-raja yang adil ini.
Selain daripada itu diceritakan kisah nabi Yusuf semasa menjadi pemerintah Mesir, tubuh baginda lemah dan kurus tetapi baginda tidak sakit. Apabila ditanya oleh para menteri, nabi Yusuf memberitahu bahawa yang menyebabkan tubuhnya lemah adalah lapar dan ubatnya ialah makanan. Tetapi nabi Nabi Yusuf tidak mahu makan kerana memikirkan ada rakyat Mesir yang lapar dan baginda mahu bersama merasai kelaparan. Ini jelas kepada kita bahawa seseorang pemerintah, walau sebesar manapun kerajaannya, sekaya manapun dirinya, hal kebajikan rakyat perlu sentiasa diambil kira. Dan kebajikan itu merupakan satu aspek dalam keadilan kerana raja yang sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya tidak akan berlaku zalim dan kontra kepada sifat zalim ini ialah adil.
Taju’ssalatin turut menerapkan nasihat yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk berlaku adil. Antaranya,
Pertama, menjatuhkan hukuman biarlah adil tanpa mengira siapa yang kita adili, anak, kawan atau musuh sekali pun.
Kedua, menyiasat terlebih dahulu sebelum menjatuhi hukuman kerana dibimbangi akan berlaku aniaya. Dalam konteks ini, ada dalam kalangan raja yang tergolong sebagai raja yang adil mengharapkan pegawainya yang bertindak sebagai mata dan telinga raja melihat dan mendengar permasalahan rakyat dan kemudiannya menyampaikan kepada raja tetapi adalah lebih adil dan bijaksana jika raja itu sendiri yang sanggup keluar malam menyiasat dan bertanya khabar masalah rakyat kerana dapat melihat vdan mendengar sendiri keadaan rakyat.
Ketiga, orang yang berkuasa jangan menggunakan kuasanya ke atas orang yang di bawah kekuasaannya.
Keempat, orang kaya jangan sesekali menganiaya orang yang miskin. Sebagaimana yang telah saya jelaskan tadi, zalim dan membuat aniaya kepada orang lain merupakan sifat yang bertentangan dengan keadilan.
Di samping itu, Taju’ssalatin memberi peringatan kepada raja bahawa tiga faktor boleh membawa kepada keruntuhan dan kehancuran sesebuah kerajaan, iaitu, pegawai kerajaan menyembunyikan masalah dalam negara daripada pengetahuan raja, raja memberi keistimewaan dan memuliakan golongan jahat dan musuh negara dan ketiga apabila pegawai kerajaan tidak berlaku adil dalam pemerintahan.
Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa ada enam faktor yang membawa kepada keruntuhan sesebuah kerajaan iaitu; lupa diri kerana kebesaran dan kebesaran, mengharapkan menteri yang tidak berpengetahuan, tidak berbicara dengan lemah lembut dengan rakyat, menyerahkan urusan pentadbiran kepada orang yang tidak ahli, melambatkan urusan yang sepatutnya dipercepatkan dan mempercepatkan urusan yang sepatutnya dilambatkan dan tidak membantu rakyat dalam kesukaran seperti tidak membiayai rakyat dan tidak pandai mengambil hati rakyat. Tetapi di negara kita baguss, beri subsidi, rakyat didahulukan dll slogan ke arah membantu rakyat.
Saudara saudari sekelian,
Di sinilah ilmu itu penting dalam pemerintahan. Tanpa ilmu yang sepatutnya dimiliki oleh raja dan pemerintah, bagaimana boleh baginda memerintah dengan adil dan saksama. Khalifah Umar Ab Aziz pernah berpesan bahawa seseorang raja itu perlu menggunakan akal dan pertimbangan agar rakyat yang ditadbir tidak teraniaya.
Taju’ssalatin turut mengetengahkan pelbagai bidang ilmu sebagai pedoman. Antaranya pendidikan akhlak yang perlu diberi kepada anak-anak kerana mereka yakni anak-anak akan menjadi pemimpin pada masa akan datang, lebih-lebih lagi bagi seorang raja. Anak merupakan asas dalam sesebuah keluarga. Akhlak anak yang baik biasanya memaparkan keperibadian ibu bapanya. Dalam hal ini, Taju’ssalatin menganjurkan didikan akhlak anak-anak perlu mengikut lunas-lunas agama Islam. Penekanan tentunya kepada putera-putera raja yang perlu kepada akhlak yang mulia bagi membolehkan mereka menjadi pemimpin yang baik.
Dalam bidang sosial, Taju’ssalatin menyarankan agar wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Justeru, Taju’ssalatin menyeru agar raja, pembesar dan orang-orang yang mempunyai kuasa agar patuh kepada ajaran agama yang menyeru kepada persamaan hak, sifat tolong menolong, membantu orang yang memerlukan pertolongan dan menentang kejahatan dan penindasan serta kezaliman.
Saudara saudari,
Bukhari al-Jauhari mengakhiri Taju’ssalatin ini dengan menyampaikan pesan kepada empat golongan; pertama kepada raja-raja Islam dengan mengharapkan agar menjadikan kitab ini sebagai sahabat yang sentiasa mengingatkan raja untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Pesan kedua kepada menteri, hulubalang dan hamba raja dengan membaca dan belajar kandungan kitab ini untuk mengenal dan mengetahui diri sendiri. Pesan yang ketiga kepada semua rakyat agar membaca kitab ini dan mengambil iktibar daripadanya dan pesan yang keempat ditujukan kepada penyalin kitab ini agar menyebarkannya kerana kandungannya yang berkaitan dengan ajaran Islam.
PENUTUP
Sebagai penutupnya, memang tidak dapat dinafikan kepada kita bahawa kitab ini sebenarnya bagitu berguna dan penting dalam memberikan panduan dan peringatan kepada semua khususnya raja memerintah. Kita tidak dapat menafikan kebenaran nasihat yang disampaikan oleh Bukhari al-Jauhari khususnya berkaitan keadilan, kebijaksanaan, sikap toleransi beragama, harga diri dan lain-lain lagi dengan harapan dapat melembutkan hati-hati raja pemerintah terutama di Acheh yang terkenal telah membunuh ribuan musuh kafirnya dan sesiapa sahaja yang menjadi penghalang kepada kedaulatan dan kekuasaannya hatta kepada keluarga dan isteri sendiri dan selalu mengganggap mandi dengan darah musuh adalah ubat terbaik dalam menyembuhkan penyakit diri tetapi mereka ini lupa bahawa penyakit utama yang perlu diubati ialah penyakit dari dalam hati dan diri itu sendiri.
Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan