"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Isnin, 14 November 2011

BUSTANUL SALATIN OLEH NURRUDIN AL-RANIRI

Saudara saudari yang dihormati,
Saya mulakan kuliah kita pada pagi ini dengan memetik kata-kata Khalifah Abu Bakar al-Siddiq. Kata beliau, Jadilah pohon, walaupun ditetak, ditebang,ia tetap mengeluarkan buah untuk keperluan manusia.
Begitulah apa yang akan kita pelajari pada hari ini, sebuah kitab lama yang yang dihasilkan ratusan tahun dahulu tapi masih memberikan manafaat kepada kita jika kita sudi mengambil iktibar daripadanya.
Kitab Bustan al-Salatin merupakan salah sebuah karya penting penghasilan Sheikh Nuruddin al-Raniri. Menurut Dr Tudjimah, selain daripada kitab ini, Sheikh Nuruddin turut menghasilkan 23 kitab lain seperti Al-Durat al-Fara’id, Hidayat al-Habib, Asrarul Insan, Hujjatul Siddiq dan An Nahdatu Fi dakwah. Ada juga pendapat menyatakan karya beliau berjumlah 29 buah tetapi yang pastinya Sheikh Nuruddin merupakan seorang ulama pengarang yang mengarang banyak kitab.

Menurut Dr Jelani Harun dalam bukunya Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu, kitab Bustan al-Salatin ini tergolong sebagai sebuah karya saduran kerana banyak pengaruh Arab dan Parsi yang sama ada diceduk atau diambil oleh Sheikh Nuruddin menjadi kandungan kitab ini manakala RO Winstedt mengkelaskan kitab ini sebagai sastera sejarah kerana pengkisahan sejarah yang terdapat di dalam kitab ini boleh dikatakan lengkap terutama dari segi sejarah kesultanan Melayu khususnya kerajaan Melayu Melaka dan Acheh tetapi sarjana tempatan memikirkan kitab ini lebih sesuai dikategorikan sebagai sastera ketatanegaraan atau sastera adab, yakni hasil penulisan yang boleh dijadikan petunjuk kepada raja-raja dan pemerintah dalam mentadbir negeri.
Saudara Saudari,
Sebelum kitab membedah kitab ini dan pada hari ini saya fokuskan kepada 4 aspek ketatanegaraan, iaitu keadilan raja, kebijaksanaan pembesar, mentaati pemerintah dan pembangunan negara, saya rasa ada baiknya jika kita kenali dahulu pengarangnya. Kitab Bustan al-Salatin dikarang oleh seorang ulama terkenal Acheh, iaitu Syeikh Nuruddin al-Raniri Muhammad Jailani bin Ali bin Hasanji ibn Muhammad Hamid atau lebih dikenali sebagai Sheikh Nuruddin al-Raniri. Beliau bukanlah berketurunan Melayu. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga berketurunan Quraisy di Ranir, Gujerat, India
Sheikh Nuruddin merupakan seorang ulama, pengarang, ahli tasawuf dan dilantik kemudiannya sebagai penasihat di istana Acheh oleh Sultan Iskandar Thani. Sheikh Nuruddin menguasai bahasa Melayu, Arab dan Parsi melalui kehidupannya yang dilingkungi oleh tradisi keilmuan. Ini kerana ada dalam kalangan ahli keluarganya yang terkenal sebagai ahli ilmuan agama di samping kedudukan Gujerat sebagai pusat perkembangan budaya dan bahasa Parsi. Jadi, bukanlah sesuatu yang ganjil apabila Bustan al-Salatin ini terpengaruh dengan kesusasteraan Parsi.

Selain daripada itu, kembara beliau ke Kepulauan Melayu dan Makkah menyumbang kepada penguasaan ilmunya. Semasa beliau menunaikan haji pada tahun 1621, Sheikh Nuruddin telah mengambil peluang mempelajari bahasa Melayu dengan bergaul dengan jemaah haji Melayu. Kehidupan lamanya di Pahang turut membantu.
Saudara saudari yang dihormati,
Sekarang kita tinjau pula tujuan dan kepentingan penulisan kitab ini. Apakah tujuan penulisan kitab ini?
TUJUAN DAN KEPENTINGAN PENULISAN KITAB BUSTAN AL-SALATIN ialah;
· Mengikut arahan Sultan Iskandar Thani yang merupakan pemerintah Acheh yang mahukan sebuah kitab yang dapat mendaulatkan diri baginda sebagai pemerintah yang berdaulat. Apabila menulis atas perintah raja, hasil penulisannya memenuhi keperluan pemerintah demi menjaga martabat dan seterusnya memaparkan aspek-aspek positif terhadap pemerintah. Kitab ini sama ada secara langsung atau tidak langsung turut mengagung-agungkan Sultan Iskandar Thani sebagai pemerintah Acheh.
· Satu-satunya kitab yang membicarakan sejarah kesultanan Acheh dan Melayu secara terperinci.
· Merupakan usaha Sheikh Nuruddin untuk menyaingi Taj al-Salatin dalam usaha untuk memberikan panduan kepada masyarakat alam Melayu khususnya raja-raja dan para pembesar dalam mentadbir negeri dengan mengambil iktibar kelakuan terpuji dan keji yang dilakukan oleh pemerintah khususnya dari Timur Tengah. Hal yang demikian kerana Sheikh Nuruddin amat arif tentang apa sahaja yang berlaku dalam sejarah Timur Tengah. Contoh-contoh yang diambil juga bersesuaian kerana persamaan agama antara raja-raja Timur Tengah dengan Kepulauan Melayu. Namun begitu usaha Sheikh Nuruddin untuk menyaingi Tajus Salatin tidak berjaya kerana Tajussalatin lebih berpengaruh dalam kalangan pemerintah.
· Menurut T. Iskandar, kitab ini bukan sahaja berguna kepada raja-raja tetapi juga kepada pengarang-pengarang karya klasik zaman berikutnya. T Iskandar memberikan contoh bahawa pengarang Hikayat Hang Tuah telah menggunakan kitab ini bagi memberi gambaran taman di Rom sama dengan taman yang terdapat di Acheh pada zaman Sultan Iskandar Thani.
· Dari sudut bahasa pula, Bustan al-Salatin ditulis dalam bahasa Melayu klasik. Kitab ini adalah dalam bentuk prosa tetapi pengarangnya turut menyelitkan puisi Rubai, iaitu puisi pengaruh Parsi.

Saudara saudari sekelian.
Seterusnya kita lihat pula dari segi kandungan kitab ini.
Kitab Bustan al-Salatin ini terdiri daripada 7 bab tetapi bilangan fasalnya pelbagai versi. Winstedt menyatakan ada 40 fasal manakala Raffles pula 60 fasal. Hal yang demikian berlaku kerana kitab yang lengkap tidak pernah ditemui sebaliknya tercerai-cerai. Namun begitu isi kandungannya tidak jauh berbeza. Semua versinya membicarakan perkara pokok yang sama. Mengikut Winstedt:
1. BAB 1
· Terdiri daripada 10 fasal menerangkan tujuh petala langit dan bumi, Nur Muhammad, Luh Mahfuz, kalam arsy dll.
· Dalam bab ini, Sheikh Nuruddin membuat huraian tentang penciptaan alam yang bermula daripada fasal kejadian nur Muhammad,fasal lohmahfuz, fasal arasy, fasal qalam, fasal kejadian-kejadian malaikat, sidratul muntaha, syurga dan neraka, kaabah, matahari, bintang, dll . Kandungannya banyak persamaan dengan kisah penciptaan alam yang terkandung dalam Qisas al-Anbiya yang bersumber drpd ibn Abbas, Kaab Ahbar, Wahb ibn Munabbih dan Abdullah ibn Salam.

2. BAB 2
· Menerangkan sejarah para nabi dan raja-raja. Bab ini mengandungi 13 fasal. Yang terpenting ialah dua fasal terakhir iaitu fasal 12 dan 13. Fasal 12 merupakan saduran daripada Sejarah Melayu iaitu mengenai sejarah Acheh yang mencapai puncak kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Fasal 13 pula membicarakan sejarah raja-raja Acheh.
· Bab ini menceritakan tentang perjalanan sejarah dunia yang bermula daripada nabi Adam, diikuti dengan nabi-nabi lain dan seterusnya kepada zaman nabi Muhammad SAW.
· Mengisahkan juga tentang raja-raja purba benua Yunani, Rom, Mesir, Arab, Kindah, hijaz.
· Turut menyelitkan kisah raja-raja kerajaan Umaiyyah, Abbasiyah, benua India,
· Diteruskan kepada sejarah raja Melayu Melaka, Pahang dan Acheh. Boleh dikatakan sejarah yang disampaikan oleh Sheikh Nuruddin dalam kitab ini bersifat fakta dan selaras dengan sejarah perkembangan Islam.

3. BAB 3
· Menceritakan raja-raja yang adil dan menteri yang bijaksana. Bab ini terdiri daripada 6 fasal.
· Bab 3 ini terbahagi kepada dua bahagian; bahagian pertama berkaitan raja manakala bahagian kedua memberi fokus kepada pegawai atau orang-orang yang penting dalam kehidupan raja seperti menteri, wazir, kadhi, utusan, panglima. Bab ini mengetengahkan tema berkaitan keadilan raja dan pegawai raja dalam urusan pentadbiran.
· Bab ini juga mengambil kisah khalifah, raja dahulu sebagai panduan dan kias ibarat kepada raja dan pegawai agar menjadikannya sebagai contoh ikutan.
4. BAB 4
· Menerangkan raja-raja yang bertapa dan para wali yang salih. Bab ini terdiri daripada 2 fasal.
· Bab 4 juga menceritakan satu sifat raja yang penting iaitu perlu sering mendekatkan diri dengan ajaran agama dengan harapan pemerintahannya sentiasa bersifat adil. Dalam bab ini, Sheikh Nuruddin menasihati raja agar mendalami ajaran agama dan mengamalkan ajaran tareqat sebagai panduan untuk memerintah dengan lebih adil.

5. BAB 5
· Menerangkan raja-raja yang zalim dan pembesar negeri yang bodoh yang menipu rakyat mereka. Bab ini terdiri daripada 2 fasal.
· Bab 5 pula menceritakan tentang perihal raja dan pembesar raja yang zalim dan membuat aniaya terhadap rakyat.
· Bab ini didirikan dengan 2 bahagian. Bahagian pertama tentang raja yang zalim dan membuat aniaya dan zalim kepada rakyat dan bahagian 2 pula tentang menteri yang zalim dan khianat.
· Bab ini dipenuhi dengan pelbagai panduan kepada raja dan para menteri, dihiasi dengan ayat2 al Qur’an dan hadis serta cerita-cedrita sebagai teladan dan iktibar.
6. BAB 6
· Mengenai segala orang murah lagi mulia dan segala pahlawan yang gagah berani. Bab ini terdiri daripada 2 fasal.
· Bab 6 pula khusus membicarakan dua sifat penting yang harus dimiliki oleh seseorang raja. sifat tersebut ialah sifat pemurah dan berani. pemerintah disarankan agar sentiasa membantu rakyat miskin, bersedekah dan memberi hadiah kepada rakyat yang berjasa kepada mereka dan negara.
7. BAB 7
· Menyatakan akal, ilmu dan firasat dan khifayat dan ilmu tabib dan segala sifat perempuan dan sesetengah daripada hikayat ajaib dan gharib. Bab ini terdiri daripada 5 fasal.
· Bab 7 pula memperlihatkan gabungan beberapa aspek ilmu pengetahuan yang penting diketahui untuk panduan pembaca dalam menjalani kehidupan seharian seperti perubatan tradisional, ilmu firasat, sifat perempuan, anatomi, dan hal-hal kekeluargaan.
· Bab yang berkaitan sifat atau tabiat perempuan agak menarik kerana Sheikh Nuruddin mengkategorikan tabiat wanita kepada 10 mengikut jenis haiwan iaitu babi, kera, anjing, baghal, ular, kala, tikus, unggas, serigala dan kambing. Di manakah kedudukan kita?

Menurut manuskrip Raffles pula, Bustan al-Salatin juga terdiri daripada 7 bab dan terbahagi kepada 60 fasal; bab 1 ada 30 fasal, bab 2 ada 13 fasal, bab 3 ada 2 fasal, bab 4, 5 dan 6 masing-masing ada 2 fasal dan bab 7 ada 5 fasal.

Sebelum ini saya ada menjelaskan bahawa kitab ini tidak dapat menyaingi Tajussalatin tetapi Bustan al- salatin tetap merupakan kitab yang amat penting kepada masyarakat alam Melayu. Ini terbukti apabila terdapat bahagian-bahagian tertentu daripada kitab ini yang dicetak dan dikembangkan dalam masyarakat.

ADAB/ASPEK KETATANEGARAAN DALAM BUSTAN AL-SALATIN.
Seperti yang telah saya jelaskan di awalnya, kitab-kitab ketatanegara ini iaitu Bustan al-Salatin dan Tajussalatin ini merupakan garis panduan atau penanda aras kepada para pemerintah dalam mengendalikan pentadbiran negeri. Antara aspek yang akan dibincangkan dalam kuliah kita ini ialah;

A. KEADILAN RAJA
· Sheikh Nuruddin memberi panduan kepada raja agar mementingkan keadilan di dalam pentadbirannya. Pemerintah, wajib memerintah dengan adil dan saksama agar rakyat akan mendapat manafaat daripadanya. Hal yang demikian kerana seseorang raja adalah memikul amanah Allah dan akan dinilai kelak atas apa yang dilakukan.
· Dalam konteks keadilan ini, pengarang menyarankan agar raja mencontohi kepimpinan nabi Muhammad SAW yang diketahui umum sebagai seorang yang adil dan bijaksana dalam urusan pentadbiran.
· Di samping itu, Sheikh Nuruddin turut memberikan contoh keadaan di Dar as-Salam yang mana pemerintahnya berpegang kepada prinsip keadilan khususnya dalam pentadbiran. Di sini diperlihatkan pemerintahnya menjaga kebajikan rakyat jelata tanpa mengira kedudukan, darjat dan pangkat.
· Pemerintah juga mengguna pakai undang-undang Islam yang kita semua tahu berpaksikan keadilan. Antara yang diberi penekanan oleh pemerintah ialah soal peminum, judi, pembangunan ummah, percukaian, baitul mal dan tanggungjawab menunaikan solat.
· Salah satu petikan berkaitan keadilan yang dipaparkan oleh Sheikh Nuruddin ialah dalam Bab 3 fasal 1 yang antara lain memberi pilihan antara keperkasaan dan keadilan. Raja atau pemerintah yang baik akan memilih keadilan berbanding keperkasaan. Raja yang adil tentunya akan dikasihi, disayangi, dikenang dan dikagumi oleh rakyat.
· Raja atau pemerintah digalakkan menuntut ilmu untuk kebaikan diri sendiri agar dapat meningkatkan keimanan, berfikir untuk membezakan yang hak dan batil dan kemudiannya meningkatkan kesempurnaan hidup.
· Hal yang demikian kerana salah satu ciri keadilan raja ialah akal. Akal merupakan alat untuk raja berfikir dan membuat pertimbangan antara yang benar dan yang salahg. Kebolehan berfikir inilah akan membantu pemerintah berada pada jalan kebenaran dan menjauhkan diri daripada jalan kezaliman. Salah satu perkara yang disentuh oleh Sheikh Nuruddin berkaitan akal ini ialah beliau membuat perbandingan antara akal dengan cahaya matahari di mana akal jika digunakan pada jalan kebenaran dan keadilan, cahayanya lebih gemerlap berbanding cahaya matahari. Bahkan kemuliaan dan martabat seorang raja atau pemerintah itu terletak kepada keadilan yang dilakukannya.
· Dalam hal keadilan ini juga, pemerintah telah melantik wazir, pegawai-pegawai penguatkuasa agar tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pegawai-pegawai ini mestilah orang yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam hal-hal yang bersangkutan dengan tugas. Wazir dan pegawai-pegawai yang tidak jujur, tidak adil, zalim dan tidak berilmu akan mengganggu kelicinan pentadbiran.
· Justeru, pemerintah akan terlebih dahulu melaksanakan temuduga dalam memilih wazir dan pegawai agar amanah, bercakap benar, beradab sopan, berilmu dan bertaqwa bagi membolehkan mereka menjadi pembantu raja menguruskan hal-hal kemasyarakatan.
· Yang terakhirnya berkaitan keadilan dalam pentadbiran ini ialah, sikap turun padang pemerintah untuk melihat keadaan rakyat yang sebenarnya. Ini boleh dilakukan secara rasmi atau secara rahsia dengan mengambil contoh keadilan khalifah Umar Al-Khattab.

CIRI-CIRI RAJA YANG ADIL
· Raja harus memahami tugas dan tanggungjawab
- Seseorang raja yang menaiki takhta harus mengetahui dan memahami tugas dan tanggungjawab yang harus dilakukan. Raja, bukan sekadar mejadi ketua kerajaan tetapi sebaliknya juga memikulk amanah daripada Allah sebagai pemimpin rakyat dan negara. Dalam Bustan al-Salatin, Sheikh Nuruddin mengingatkan raja yang baginda akan ditanya di akhirat apakah yang dilakukannya sebagai seorang pemerintah.
· Raja harus menjadikan peribadi yang adil pada masa lalu sebagai contoh
- Seorang raja yang baik sewajarnya menjadikan peribadi baik dan mulia nabi Muhammad SAW, para sahabat sebagai contoh ikutan dalam pentadbirannya. Bustan al-Salatin mengambil contoh Umar al-Khattab, Harun Aminurrasyid sebagai ikutan kepada raja-raja.
· Raja harus mengamalkan sifat sederhana
- Seorang raja biasanya memiliki harta kekayaan yang cukup banyak. Harta yang dimiliki biasanya tidak terbatas. Kekayaan yang dimiliki itu kadang kala boleh membawa kepada ketakburan, tamak, zalim, sombong dll sifat negatif yang tidak sewajarnya dimiliki oleh seorang raja. Justeru, Bustan al-Salatin menasihati raja agar mengamalkan sifat bersederhana, rendah diri dan mensyukuri nikmat anugerah Allah.
· Raja harus sentiasa mendampingi kehidupan rakyat
- Raja harus mengetahui keadaan hidup rakyat dengan melihat sendiri kehidupan mereka. Raja seharusnya keluar dari istana dan mendekati rakyat sama ada melalui lawatan secara langsung atau secara rahsia tanpa ketahuan rakyat. Bustan al-Salatin menasihati raja agar sentiasa bertanya khabar keadaan rakyat.
· Raja harus mengadili pertikaian rakyat
- Raja biasanya akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai pertikaian antara rakyat ataupun pertikaian yang berlaku dalam kalangan rakyat. Raja seharusnya bertindak sebagai hakim dan mengadilinya secara adil, tanpa berat sebelah atau pilih kasih. Raja juga bertanggung jawab melantik hakim yang adil bagi menguruskan persoalan kehakiman dan undang-undang dalam negeri. Bustan al-Salatin menegaskan bahawa raja mesti bertindak adil dalam menjatuhkan hukuman tanpa mengira sama ada kaum keluarga, para menteri mahu pun rakyat biasa agar mereka ini tidak teraniaya.
· Raja harus mengasihi rakyat
- Raja harus memiliki sifat kasih kepada rakyat jelata. Sifat ini akan menjadikan raja sentiasa memikirkan kesejahteraan rakyat. Sifat ini juga akan menjadikan raja sentiasa sabar, pemurah, tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi, pemaaf dan mesra dengan rakyat. Bustan al-Salatin menggesa raja supaya memaafkan kesalahan rakyat kerana balasan daripada Allah cukup besar. Sikap raja yang mengasihi rakyat akan memberi kesan kebaikan kepada raja itu sendiri kerana rakyat akan mendoakan kesejahteraan, kesihatan raja dan mengasihi raja.
· Raja harus mengekalkan peribadi yang baik
- Raja harus memiliki peribadi yang baik dan mengekalkannya sepanjang masa. Seorang raja yang baik mesti memiliki sifat-sifat atau adab-adab yang mulia dalam percakapan, cara berpakaian, makan dan tidak harus melibatkan diri dalasm kegiatan yang tidak bermoral seperti minum arak, bermain judi, melakukan perbuatan maksiat dsb. Bustan al-Salatin menasihati raja supaya memelihara nama baik dengan tidak melakukan pekerjaan yang boleh mencemarkan nama baik baginda dan memelihara daripada dicerca, umpat dcan keji oleh rakyat kerana berkeperibadian buruk.
Selain daripada ciri-ciri yang dinyatakan di atas, terdapat, ada 3 lagi ciri yang seharusnya dimiliki oleh seseorang raja yang adil tetapi tidak jelas dinyatakan di dalam Bustan al-Salatin iaitu:
· Raja harus beriman dan beramal salih
· Raja harus menghormati ulama
· Raja harus bijaksana
B.KEBIJAKSANAAN PEMBESAR
· Dalam sistem pentadbiran sama ada moden atau feudal, pemerintah akan dibantu oleh pembesar. Pada Zaman feudal, raja dibantu oleh bendahara, temenggung, penghulu bendahari, laksamana dan syahbandar manakala pada zaman moden ini, pentadbiran sesebuah negeri dikendalikan oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri, jemaah menteri dan seterusnya pihak berkuasa tempatan.
· Para pembesar merupakan golongan pentadbir yang begitu rapat dengan raja, bahkan mereka menjadi pembantu kepada pemerintah.
· Menurut Bustan al-Salatin, pembesar mestilah memiliki pengetahuan, pengalaman dan ciri-ciri tertentu seperti amanah, bercakap benar, beradab sopan, berilmu dan bertaqwa bagi membolehkan mereka menjadi pembantu raja menguruskan hal-hal kemasyarakatan.
· Tugas dan tanggungjawab pembesar ini sebenarnya amatlah berat kerana keamanan dan keteguhan sesebuah negeri bukannya terletak pada raja semata-mata tetapi juga pembesar.
· Dalam konteks ini, Bustan al-Salatin menyarankan pembesar mestilah bijaksana dalam urusan pentadbirannya. Sebagai contohnya, dalam urusan menasihati raja, pembesar mestilah menggunakan saluran yang betul laksana menarik rambut di dalam tepung. Pembesar tidak harus menegur kesalahan atau kesilapan raja secara terbuka di khalayak ramai, sebaliknya teguran itu seharusnya dilakukan secara lebih sopan dan persendirian. Ini bagi membolehkan raja tidak mendapat malu dan pembesar pula tidak dimurkai raja.
· Dalam Bustan al-Salatin, Sheikh Nuruddin menyarankan agar pembesar berdatang sembah pada ketika sunyi atau ketika raja tidak dihadap pembesar atau ketika berseorangan dan memberi nasihat kesan daripada perlakuan raja yang tidak baik yang boleh mencemarkan nama baik raja tersebut pada matya rakyat.
· Dalam pada itu, ada juga pembesar yang mengambil kesempatan menggunakan kedudukannya mempengaruhi raja untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Di sinilah pentingnya akal kepada seorang raja sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Raja perlulah menggunakan pertimbangan akal agar tidak memberikan kemudaratan dan kerugian kepada raja sendiri.
· Dalam Bustan al-Salatin, Sheikh Nuruddin menyenaraikan 22 ciri yang perlu dimiliki oleh seseorang pembesar; antaranya ialah beriman, taat setia kepada raja, sabar, memelihara rahsia raja, bijaksana, alim, tidak tamak, berilmu dan amanah.
C. MENTAATI PEMERINTAH.
· Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, tujuan Sheikh Nuruddin menulis kitab ini adalah kerana perintah Sultan Iskandar Thani. Justeru, kandungannya mestilah mengagungkan pemerintahnya.
· Dalam kitab ini jelas tergambar sanjungan dan ketaatan Sheikh Nuruddin kepada Sultan Iskandar Thani. Hal yang demikian kerana Sultan Iskandar Thanilah yang memberikan kedudukan tertinggi kepada Sheikh Nuruddin di istana sebagai ulama negara.
· Bustan al-Salatin memberi nasihat kepada rakyat agar sentiasa mentaati raja atau pemerintah. Ini kerana suruhan mentaati pemerintah merupakan sebahagian daripada ajaran agama Islam. Rakyat yang tidak mentaati pemerintah dianggap sebagai penderhaka dan boleh diperangi dan dibunuh.
· Ketaatan yang dimaksudkan oleh Bustan al-Salatin ialah seseorang rakyat mesti mentaati pemerintah selagi pemerintah tersebut menjalankan hukum secara adil dan berpegang kepada hukum Allah atau tidak melanggar hukum syarak.
· Walaubagaimanapun, kepatuhan dan ketaatan rakyat kepada pemerintash atau raja mempunyai had yang tertentu. Menurut Bustan al-Salatin, rakyat tidak harus mematuhi perintah raja yang bertentangan dengan hukum syarak. Apabila raja menyuruh rakyatg melakukan sesuatu yang bertentangan atau menyalahi hukum agama seperti melakukan maksiat, perintah tersebut tidak harus dituruti.
· Selain daripada itu, Bustan al-Salatin turut menasihati rakyat agar sentiasa memberi penghormatan kepada raja. Bustan al-Salatin menggambarkan rakyat pada masa itu telah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah sehingga sanggup meninggalkan pekerjaan yang sedang mereka lakukan semata-mata-mata mahu melihat perarakan raja.

D. PEMBANGUNAN NEGARA
· Seorang pemerintah yang baik dan bertanggungjawab semestinya tidak melupakan peranan yang perlu dilaksanakannya dalam usaha menyediakan segala kemudahan kepada rakyat. Dalam konteks ini, memandangkan Acheh merupakan sebuah negara yang mementingkan pembangunan agama Islam, sudah semestinya aspek ini diberi keutamaan.
· Dalam hal ini, Bustan al-Salatin menjelaskan bahawa raja Acheh telah memantapkan ilmu berkaitan sistem keagamaan dengan membina masjid-masjid sebagai tempat untuk menuntut ilmu. Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat solat tetapi fungsinya juga sebagai tempat guru-guru atau para ulama mengembangkan ilmu keagamaan seperti fiqah dan ilmu usul.
· Disamping itu, keagungan Acheh dalam bidang perdagangan turut mendapat perhatian daripada raja yang memerintah. Oleh hal yang demikian, raja akan memperelokkan frasarana seperti kemudahan di pelabuhan, pasar agar urusan perdagangan dapat berjalan dengan lancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan