"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Selasa, 22 November 2011

PEMULIHAN 2

KANAK-KANAK ISTIMEWA
Kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan khas boleh digolongkan dalam tujuh kategori seperti yang berikut:
Kanak-kanak kerencatan akal (mentally retarded)
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran (learning disabilities)
Kanak-kanak kecelaruan tingkah laku (behavioral disorders)
Kanak-kanak cacat pendengaran dan bermasalah komunikasi
Kanak-kanak cacat penglihatan
Kanak-kanak cacat fizikal (psikomotor atau neurosis)
Kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat istimewa
Di sini kita akan membincangkan dua kategori secara ringkas.

1. Kanak-kanak Kerencatan Akal
Kanak-kanak kerencatan akal ialah kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan (Intelligent Quotient, IQ) di antara 35 hingga 85. Kanak-kanak kategori ini biasanya menghadapi kerosakan sistem saraf akibat masalah kelahiran, kecederaan, warisan baka keluarga, kekurangan zat makanan atau gangguan hormon dan sebagainya.
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan antara 50-70 merupakan kadar kecacatannya ringan atau sederhana. Mereka boleh dididik dan dilatih di sekolah. Kanak-kanak cacat ini adalah digolongkan dalam kumpulan murid yang belajar lambat (slow learners).
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di antara 35-49 biasanya menghadapi masalah menjaga diri sendiri. Mereka hanya boleh dilatih mengurus hal peribadi seperti memakai pakaian, memakan, membuang air dan sebagainya. Mereka sukar dididik kerana kekurangan kemahiran untuk belajar. Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di bawah 35 merupakan kecacatan mental yang buruk. Mereka kurang keupayaan untuk berdikari dan memerlukan penjagaan yang rapi.

Kanak-kanak cacat yang mempunyai Darjah Kecerdasan antara 50-70 boleh dididik dan juga boleh dilatih. Ciri-ciri mereka dapat diperhatikan seperti berikut:
Kanak-kanak ini boleh mengikuti pelajaran dari tahun 2 hingga tahun 4, sehingga mereka mencapai umur 16 tahun.
Taraf akademik bagi kanak-kanak ini adalah di antara setengah hingga tiga-perempat daripada taraf pencapaian murid-murid biasa.
Kanak-kanak ini hanya boleh membaca atau memahami konsep Matematik secara formal pabila umur mereka mencapai di antara 9 hingga 12 tahun.
Sukar bagi mereka belajar konsep yang abstrak.
Ingatan mereka tidak kekal, dan cepat lupa apa yang baru dipelajari.
Mereka belajar lambat, dan perlukan banyak aktiviti pengukuhan untuk mengekalkan kemahiran.
Mereka hanya boleh belajar satu kemahiran asas dalam satu tempoh masa sahaja, dan tidak berupaya belajar lebih dari satu kemahiran secara serentak ataupun konsep yang abstrak.

Kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan di antara 35-49 hanya boleh dilatih sahaja. Ciri-ciri kanak-kanak ini boleh diperhatikan seperti berikut:
Kanak-kanak golongan ini boleh dilatih untuk menguruskan hal peribadi sendiri, seperti memakai baju, makan, menjaga diri sendiri, buang air dan sebagainya.
Kanak-kanak ini tidak berupaya belajar kecuali dengan cara menghafaz. Mereka tidak boleh mengikuti pelajaran di sekolah biasa.

Kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan di bawah 35 tidak boleh berdikari langsung. Kanak-kanak golongan ini mudah dikenal pasti kerana mereka tidak boleh menjaga diri dalam sebarang urusan hal peribadi. Mereka memerlukan bantuan orang normal untuk menolong mereka, seperti makan, membersihkan badan, memakai baju dan aktiviti-aktiviti harian yang lain.

2. Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah murid-murid yang tidak berupaya mengikuti pelajaran dalam kelas biasa. Punca kanak-kanak sering menghadapi masalah pembelajaran biasanya disebabkan masalah keluarga atau peribadi atau kedua-duanya. Golongan kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini biasanya mempunyai konsep kendiri negatif, motivasi rendah, sifat introvert, tabiat malas berusaha, kekurangan minta dan kecenderungan dalam pelajaran ataupun sering sakit.
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran tidak meliputi mereka yang cacat yang memerlukan perkhidmatan berganda serta pendidikan khas yang lebih canggih. Selain itu, kanak-kanak yang tidak berpeluang belajar, tetapi boleh belajar dengan kaedah biasa, tidak pula digolongkan dalam kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Benan (1974) merujuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran sebagai murid belajar lambat (slow learners). Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini mempunyai tahap keupayaan intelek sederhana atau sedikit lebih daripada intelek kanak-kanak normal. Mereka mempunyai kebolehan melihat tetapi kekurangan kemahiran menerima, mengurus, menyusun, menyimpan dan mengingat stimuli visual dengan berkesan. Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini dapat dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:
Mempunyai konsep kendiri rendah dan tidak mempunyai harapan untuk kejayaan dalam bidang akademik.
Masa menumpukan perhatian terhadap pelajaran adalah singkat, dan perhatiannya mudah dialihkan oleh rangsangan luar.
Hanya boleh mengikuti pelajaran atau arahan yang ringkas dan jelas sahaja.
Tidak peduli dan tidak berbangga sahsiah sendiri.

Peranan Guru Resos dan Guru Biasa: Pengajaran Kanak-kanak Istimewa Secara Kolaboratif Dan Koperatif

Mengikut Program Pendidikan Inklusif, kanak-kanak istimewa, sama ada cacat atau pintar-cerdas, ditempatkan di dalam kelas biasa mengikut umur seperti kanak-kanak biasa. Ini bermakna guru biasa hendaklah juga mengajar mereka bersama dengan kanak-kanak biasa. Dalam keadaan ini, kanak-kanak istimewa pula terpaksa mengikuti pendidikan kurikulum biasa bersama dengan kanak-kanak biasa. Bagi sekolah yang belum sempat melaksanakan program pendidikan khas, guru biasanya menggunakan kaedah kumpulan untuk menguruskan aktiviti pemulihan bagi kanak-kanak lambat (slow learners) kerana kecacatan bidang tertentu, dan menguruskan aktiviti pengayaan bagi murid-murid pintar-cerdas.
Bagi sekolah yang mendapat peluang bagi melaksanakan program pendidikan khas kerana diperuntukkan guru pendidikan khas atau guru resos serta kemudahan-kemudahan yang sesuai dan lengkap, guru biasa akan bekerjasama dengan guru resos itu.
Untuk menjayakan program pendidikan khas, guru biasa hendaklah mengajar secara kolaboratif dan koperatif dengan guru resos, berusaha bersama-sama menyediakan inventori untuk mengenal pasti kanak-kanak istimewa, merancang program pengajaran, menyediakan alat-alat bantu mengajar, menentukan strategi, kaedah dan teknik mengajar, serta isi pelajaran dan penilaian. Melalui usaha secara kolaboratif dan koperatif antara guru biasa dan guru resos, program pendidikan khas yang dirancangkan untuk kanak-kanak istimewa dapat dilaksanakan dengan licin dan sempurna, dan matlamat memperkembangkan potensi dan bakat mereka secara sepenuhnya dapat dicapai dengan jayanya.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Keberkesanan Pendidikan Kanak-kanak Istimewa Dalam Kelas Biasa

Faktor utama yang menjayakan program pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam kelas biasa ialah kerjasama dan kolaborasi antara guru resos dan guru biasa. Keberkesanan pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa dalam kelas biasa amat bergantung pada faktor yang berikut:
Ada peruntukan guru khas atau guru resos yang terlatih dan berpengalaman.
Guru Besar/Pengetua dan guru-guru biasa telah memahami program pendidikan khas dan sudi melaksanakannya dengan penuh minat dan dedikasi.
Ada dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan untuk program pendidikan khas, misalnya alat bantu mengajar, bilik khas, pusat sumber dan sebagainya.
Terdapat hubungan baik antara guru resos, pihak sekolah dan ibu bapa yang terbabit.
Dapat menyediakan dan menguruskan ujian saringan dan ujian diagnostik secara berkesan.
Dapat memberi layanan yang berpatutan untuk murid-murid istimewa.
Berjaya menggalakkan interaksi dan kerjasama antara murid-murid istimewa dengan murid-murid biasa di sekolah.
Berjaya menguruskan khidmat bimbingan dan kaunseling untuk murid-murid istimewa dan ibu bapa yang terlibat.
Dapat mengurangkan bilangan murid dalam kelas dengan tidak melebihi 30 orang.

Konsep Pendidikan Inklusif

Di bawah konteks pendidikan, pendidikan inklusif boleh diertikan sebagai pendidikan umum, iaitu setiap orang individu, sama ada normal, pintar-cerdas atau cacat, adalah berhak diberi peluang pendidikan umum. Ini adalah Dasar Pendidikan Negara dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang berbunyi:
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang berpendidikan untuk perkembangan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani emosi, sosial dan jasmani, supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan berupaya memberi sumbangan terhadap keharmonian serta kemakmuran masyarakat dan negara.
Setiap orang, sama ada normal, pintar-cerdas atau cacat, mempunyai potensi yang tersendiri. Potensi ini adalah dimiliki oleh manusia sejak lahir. Ia meliputi unsur-unsur seperti intelek, rohani, emosi dan jasmani. Potensi individu ini dapat diperkembangkan dan dipertingkatkan melalui proses pendidikan.
Di samping kanak-kanak normal dan pintar-cerdas, kanak-kanak cacat juga mempunyai potensi tersendiri. Potensi kanak-kanak ini juga boleh dididik dan diperkembangkan supaya menjadi rakyat yang berguna. Oleh itu, kanak-kanak cacat harus juga diberi peluang menerima pendidikan di bawah satu program khas sesuai dengan potensi dan kebolehan mereka.
Berdasarkan falsafah dan tujuan pendidikan yang dihuraikan di atas, Pendidikan Inklusif merupakan peluang pendidikan umum yang diberikan kepada semua kanak-kanak Malaysia, termasuk kanak-kanak cacat. Di bawah program Pendidikan Inklusif ini, kanak-kanak cacat khasnya, yang mempunyai potensi belajar, adalah ditempatkan dalam kelas biasa di bawah bimbingan seorang guru resos (guru terlatih khas) yang bekerjasama dengan guru-guru biasa.
Bagi kanak-kanak cacat yang tidak mengikuti kurikulum biasa pada peringkat permulaan, mereka akan ditempatkan di dalam Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP). Kanak-kanak ini akan mengikuti satu program pendidikan khas, semata-mata diajar oleh guru terlatih khas atau guru resos. Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan Taman Segar di Cheras yang mula melaksanakan program pendidikan khas untuk kanak-kanak cacat pada tahun 1995, kini mempunyai 55 orang kanak-kanak cacat berumur di antara 6 hingga 14 tahun. Mereka ditempatkan di beberapa Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran yang dikelolakan oleh seorang penyelia, 15 guru dan 2 orang guru pembimbing. Kanak-kanak cacat ini mengikuti satu program pendidikan khas yang dirancangkan berdasarkan kebolehan mereka. Selain pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris, mereka pula diajarkan kemahiran manipulatif seperti berkebun, membasuh, menggosok dan memasak. Apabila kanak-kanak cacat itu mencapai kemajuan yang memuaskan, mereka yang berkenaan akan ditempatkan dalam kelas biasa sesuai dengan taraf pencapaian mereka. Di Malaysia, sehingga tahun 1996, Program Pendidikan Inklusif telah dilaksanakan di dalam 224 buah sekolah di seluruh Malaysia.

KONSEP PENDIDIKAN KHAS

Secara am, Pendidikan Khas ialah program pendidikan dirancang khusus untuk kanak-kanak istimewa, iaitu kanak-kanak cacat dan juga kanak-kanak pintar-cerdas.
Secara khususnya, Pendidikan Khas merujuk kepada satu pendekatan, rancangan pendidikan, strategi, kaedah dan teknik mengajar, untuk kanak-kanak bukan normal tetapi luar biasa kerana mereka tidak akan dapat faedah dan pencapaian yang sepatutnya daripada program sekolah biasa.
Mengikut Dr. Chua Tee Tee (1982), pendidikan khas ini adalah satu program dirancangkan khas untuk kanak-kanak istimewa, atau luar biasa dari segi intelek, jasmani, sosial atau emosi. Mereka tidak akan dapat mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa, hinggakan mereka tidak berupaya mendapat faedah sepenuhnya daripada program pendidikan sekolah biasa.
Kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan khas boleh digolongkan dalam 7 kategori seperti berikut:
Kanak-kanak kerencatan akal (mentally retarded)
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran (learning disabilities)
Kanak-kanak kecelaruan tingkah laku (behavioral disorders)
Kanak-kanak cacat pendengaran dan bermasalah komunikasi
Kanak-kanak cacat penglihatan
Kanak-kanak cacat fizikal (psikomotor atau neurosis)
Kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat istimewa
Program Pendidikan Khas menegaskan kepentingan memelihara setiap kanak-kanak yang mempunyai potensi yang berbeza. Potensi ini mewujudkan pelbagai keperluan pendidikan. Kanak-kanak ini hendaklah diberi peluang mengikuti satu program pendidikan khas yang sesuai dengan potensi mereka. Program Pendidikan Khas ini akan dapat memperkembangkan potensi mereka secara optimum, dan seterusnya menjadi rakyat yang berguna, berupaya memberi sumbangan dan perkhidmatan kepada negara.
Berlandaskan kepada kenyataan di atas, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1986 mengisytiharkan Falsafah Pendidikan Khas yang berbunyi:
“Falsafah Pendidikan Khas ialah untuk meyediakan peluang yang sama kepada kanak-kanak khas seperti yang diberi kepada kanak-kanak biasa untuk perkembangan psikologi yang seimbang. Falsafah ini diselaraskan dengan objektif untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat…dan…untuk memastikan bahawa sistem pendidikan itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.”
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara, tujuan pendidikan khas ialah memperkembangkan potensi kanak-kanak istimewa dari segi intelek, jasmani, sosial dan emosi secara optimum. Dengan cara demikian, kanak-kanak istimewa ini dapat peluang dilatih menjadi rakyat yang berguna, dan seterusnya memberi sumbangan, bersama-sama dengan rakan-rakan normal mereka, terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Untuk mencapai tujuan tersebut, Kementerian Pendidikan telah menentukan 8 strategi berikut supaya melaksanakan program pendidikan khas bagi kanak-kanak istimewa di negara kita.
Menyediakan peluang persekolahan dengan membina sekolah-sekolah khas dan kelas khas bermasalah pembelajaran untuk kanak-kanak cacat.
Melatih kanak-kanak cacat dengan kemahiran dan vokasional yang membolehkan mereka menjadi warganegara yang berguna.
Melalui Bimbingan dan Kaunseling untuk pihak yang berkenaan agar mengikis pandangan atau sikap negatif terhadap ketidakupayaan kanak-kanak cacat menjalankan aktiviti pembelajaran di sekolah.
Menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bagi kanak-kanak cacat dengan tujuan meningkatkan konsep kendiri dan membantu mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran hidup yang sebenar.
Melatih tenaga pengajar dengan melaksanakan program pendidikan khas dengan berkesan.
Menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak cacat supaya mereka dapat bekerjasama dengan pihak sekolah, demi mempertingkatkan peluang menjayakan program pendidikan khas dan mencapai tujuannya dengan berkesan.
Menyediakan kemudahan perubatan dan penyelidikan untuk merawat atau memulihkan kecacatan fizikal, mental atau emosi kanak-kanak cacat.
Bekerjasama dengan agensi persendirian atau pertubuhan sukarela untuk membantu mereka dari segi kewangan atau latihan untuk orang cacat.
Di Malaysia, program pendidikan khas telah dilaksanakan mengikut dua model berikut:
Program pendidikan khas diintegrasikan dengan program pendidikan biasa dalam institusi pendidikan yang sama.
Program pendidikan khas dilaksanakan dalam institusi khas, misalnya sekolah kanak-kanak buta dan sekolah kanak-kanak bisu dan tuli.
Kedu-du model tersebut di atas telah ditunjukkan dalam Jadual 13.1. Biasanya kanak-kanak buta atau pekak sekali adalah ditempatkan dalam sekolah khas. Manakala, kecacatan kanak-kanak yang bukan buruk adalah ditempatkan di dalam Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP) yang terletak di bawah pentadbiran sekolah biasa.

JENIS KANAK-KANAK ISTIMEWA

Sebagaimana yang telah dijelaskan, kanak-kanak istimewa adalah diklasifikasikan dalam tujuh kategori, iaitu kanak-kanak kerencatan akal, kanak-kanak bermasalah pembelajaran, kanak-kanak kecelaruan tingkah laku, kanak-kanak cacat pendengaran, kanak-kanak cacat penglihatan, kanak-kanak cacat fizikal, dan kanak-kanak pintar-cerdas.

1. Kanak-kanak Kerencatan Kala (Mentally Retarded)
Kanak-kanak kerencatan akal ialah kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan (Intelligent Quotient, IQ) di antara 35 hingga 85. Kanak-kanak kategori ini biasanya menghadapi kerosakan sistem saraf akibat masalah kelahiran, kecederaan, warisan baka keluarga, kekurangan zat makanan atau gangguan hormon dan sebagainya.
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan antara 50-70 merupakan kadar kecacatannya ringan atau sederhana. Mereka boleh dididik dan dilatih di sekolah. Kanak-kanak cacat ini adalah digolongkan dalam kumpulan murid yang belajar lambat (slow learners).
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di antara 35-49 biasanya menghadapi masalah menjaga diri sendiri. Mereka hanya boleh dilatih mengurus hal peribadi seperti memakai pakaian, memakan, membuang air dan sebagainya. Mereka sukar dididik kerana kekurangan kemahiran untuk belajar apa mata pelajaran pun di sekolah.
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di bawah 35 merupakan kecacatan mental yang buruk. Mereka kurang keupayaan untuk berdikari dan memerlukan penjagaan yang rapi.

Mengenal Pasti Kanak-kanak Kerencatan Akal.

Untuk mengenal pasti kanak-kanak kerencatan akal, kita boleh menggunakan Ujian Mengukur Darjah Kecerdasan yang disyorkan oleh Binat dan Terman, dengan mengaitkan dengan umur akal kanak-kanak kepada umur masanya. Mengikut Terman, seorang kanak-kanak yang umur masanya genap 10 tahun boleh menjayakan sesuatu ujian yang dijangkakan, boleh disempurnakan oleh kanak-kanak normal yang juga berumur 10 tahun, maka umur akal adalah sama dengan umur masanya. Dalam kes ini, kanak-kanak tersebut mempunyai kebolehan akal yang normal mengikut umurnya. Jika umur kanak-kanak kurang 10 tahun, maka kanak-kanak itu dikatakan mempunyai kebolehan yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang berumur sama dengannya. Jika umur kanak-kanak itu lebih 10 tahun, maka dia mempunyai kebolehan akal yang lebih rendah daripada kanak-kanak yang berumur sama dengannya.

2. Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran (Learning Disabilities)

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah murid-murid yang tidak berupaya mengikuti pelajaran dalam kelas biasa. Punca kanak-kanak sering menghadapi masalah pembelajaran biasanya disebabkan masalah keluarga atau peribadi atau kedua-duanya. Golongan kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini biasanya mempunyai konsep kendiri negatif, motivasi rendah, sifat introvert, tabiat malas berusaha, kekurangan minta dan kecenderungan dalam pelajaran ataupun sering sakit.
Definisi untuk kanak bermasalah pembelajaran yang diterima umum adalah definisi digariskan oleh Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak Cacat pada tahun 1986. Definisi ini adalah diturunkan seperti berikut:
“Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah dimanifestasikan daripada salah satu atau beberapa proses psikologi yang melibatkan gangguan tatatertib dalam kefahaman dan penggunaan bahasa lisan atau tulisan.”
Mengikut Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Bagi Kanak-kanak Cacat, keadaan gangguan tertib tersebut dapat diperlihatkan daripada proses mengingat semula peristiwa lama, pemikiran, pertuturan, membaca, mengeja atau mengira. Ini juga termasuk keadaan-keadaan yang dirujuk sebagai handicap persepsi, dyslexia, asphyxia, dan kecederaan ringan otaknya.
Bagaimanapun, kanak-kanak bermasalah pembelajaran tidak melibatkan kanak-kanak cacat menghadapi masalah pembelajaran kerana kecacatan mental (kerencatan akal), penglihatan, pendengaran, emosi dan fizikal. Kanak-kanak cacat ini memangnya ada masalah pembelajaran, tetapi mereka memerlukan perkhidmatan berganda serta pendidikan khas yang lebih canggih daripada kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Selain itu, kanak-kanak yang tidak berpeluang belajar, tetapi boleh belajar dengan kaedah biasa, tidak pula digolongkan dalam kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Berdasarkan definisi dan huraian di atas, keadaan kanak-kanak bermasalah pembelajaran khusus dirujuk sebagai halangan psikologi atau neurologikal terhadap gerak balas bahasa, sama ada lisan atau tulisan, persepsi kognitif, atau aktiviti psikomotor. Halangan ini dapat dihuraikan daripada kriteria-kriteria berikut:
Percanggahan di antara tingkah laku yang spesifik dengan kebolehan atau pencapaian kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Mereka tidak berupaya mengikuti kaedah mengajar khas untuk membantu mereka belajar.
Kaedah mengajar khas ini bukan digunakan terutamanya untuk mengajar kanak-kanak yang tidak berpeluang belajar.
Benan (1974) merujuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran sebagai murid belajar lambat (slow learners). Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini mempunyai tahap keupayaan intelek sederhana atau sedikit lebih daripada intelek kanak-kanak normal. Mereka mempunyai kebolehan melihat tetapi kekurangan kemahiran menerima, mengurus, menyusun, menyimpan dan mengingat stimuli visual dengan berkesan. Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini dapat dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:
Mempunyai konsep kendiri rendah dan tidak mempunyai harapan untuk kejayaan dalam bidang akademik.
Masa menumpukan perhatian terhadap pelajaran adalah singkat, dan perhatiannya mudah dialihkan oleh rangsangan luar.
Hanya boleh mengikuti pelajaran atau arahan yang ringkas dan jelas sahaja.
Tidak peduli dan tidak berbangga sahsiah sendiri.
Haigh (1977) membahagikan murid-murid bermasalah pembelajaran kepada tiga kumpulan, iaitu:
Kumpulan murid-murid yang mempunyai kebolehan terhad.
Kumpulan murid-murid yang mempunyai kebolehan normal, tetapi sering menghadapi masalah pembelajaran dalam salah satu atau beberapa mata pelajaran.
Kumpulan murid-murid yang mempunyai kebolehan belajar, tetapi menghadapi masalah-masalah yang berkaitan dengan faktor-faktor persekitaran seperti ponteng sekolah, atau mempunyai keluarga yang bermasalah.

Mengenal Pasti Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran: Satu Rumusan

Berdasarkan huraian-huraian di atas, kanak-kanak bermasalah pembelajaran dapat dikenal pasti dengan ciri-ciri yang dirumuskan berikut:
Pencapaian akademik keseluruhannya tidak sampai tahap memuaskan.
Lemah pencapaian dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa
Sering mengantuk dalam kelas.
Tidak menunjukkan minat dalam pelajaran.
Sentiasa menjauhkan diri daripada rakan-rakan sedarjah atau guru.
Hanya berupaya memberi tumpuan singkat terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Sering meniru atau menyalin kerja rumah rakan sedarjah, atau tidak membuat kerja rumah langsung.
Ingatan lemah, mudah lupa.
Bersifat pemalu dan introvert.
Bersifat pendiam dan tidak berani bertanya.
Sering ponteng sekolah.
Masalahnya tidak dipedulikan atau tidak dapat dibantu mengatasinya oleh anggota keluarga.
Mempunyai konsep kendiri rendah.
Tidak menghargai sahsiah diri sendiri.
Mereka bukan murid-murid lembam yang gagal sama sekali di sekolah. Mereka mungkin menghadapi masalah dalam Matematik, tetapi tidak boleh mencapai peringkat lulus dalam Bahasa, dan dapat prestasi baik dalam seni lukis, Kemahiran Manipulatif atau mata pelajaran yang lain.

3. Kanak-Kanak Kecelaruan Tingkah Laku (Behavorial Disorders)

Secara am, kanak-kanak kecelaruan tingkah laku boleh diklasifikasikan kepada empat kategori seperti berikut:
Tingkah laku terbias: mempunyai tingkah laku yang menentang autoriti, tidak memenuhi peraturan atau undang-undang, kurang bertimbang rasa dan suka menyerang orang. Kanak-kanak golongan ini adalah hiperaktif atau hiperkinetik.
Sifat pengongkongan dalaman: kanak-kanak yang bersifat pemalu, pendiam, sensitif, pasif, tidak suka berkawan, dan mudah tersinggung. Mereka melakukan tindakan di luar dugaan.
Tingkah laku ketidakmatangan: kanak-kanak yang kurang berupaya menumpukan perhatian dalam pelajaran. Mereka tidak berminat belajar, sering berkhayal dan tidak mengendahkan nilai kendiri sendiri.
Tingkah laku antisosial: kanak-kanak sering bertindak liar dan kerap menimbulkan masalah disiplin sekolah seperti memeras, mengugut, mencuri, ponteng kelas da ponteng sekolah.

Kanak-kanak kecelaruan tingkah laku boleh dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:
Bersifat hiperaktif, hiperkinetik dan hiperagresif.
Menunjukkan sifat penarik diri dan sering memencilkan diri daripada kumpulan sebaya.
Bersifat pemalu dan pendiam.
Suka membohong dan sentiasa berkhayal.
Suka mencuri barang orang lain.
Mudah kehilangan akal dan perasaannya amat sensitif.
Mempunyai nilai kendiri yang amat negatif.
Suka menentang autoriti dan sering melanggar peraturan sekolah.
Tidak berminat belajar dan sering ponteng sekolah.

4. Kanak-kanak Cacat Pendengaran Dan Bermasalah Komunikasi

Kanak-kanak cacat pendengaran sering menghadap masalah komunikasi dan sukar mempelajari sebutan perkataan-perkataan dengan jelas dan tepat.
Kanak-kanak cacat pendengaran biasanya digolongkan dalam dua kumpulan, iaitu kanak-kanak cacat pendengaran pretutur (prelingual) dan kanak-kanak cacat pendengaran postutur (postlingual).
Kanak-kanak cacat pendengaran pretutur adalah kanak-kanak pekak dari sejak lahir, manakala kanak-kanak cacat pendengaran postutur adalah cacat pendengaran separa atau sepenuhnya, yang berlaku selepas telah mempunyai pengalaman bercakap. Memangnya, kanak-kanak cacat pendengaran dalam peringkat pretutur menghadapi masalah pembelajaran dan masalah komunikasi lebih teruk daripada kanak-kanak cacat pendengaran dalam peringkat postutur. Punca-punca cacat pendengaran biasanya disebabkan kerosakan gegendang telinga, saraf pendengaran ataupun warisan baka.
Kanak-kanak cacat pendengaran boleh dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:

Bersifat pendiam, pemalu dan tidak suka bertanya.
Terlalu pasif dan tidak suka bergaul dengan rakan-rakan sebaya.
Pertuturan mereka kurang lancar, sering tersekat-sekat atau berulang-ulang.
Menghadapi masalah memahami kata orang lain.
Kurang berupaya menggunakan perkataan-perkataan tepat untuk menerangkan atau menyatakan sesuatu perkara atau idea.
Persepsi kurang tepat kerana tidak boleh mendengar sesuatu dengan tepat dan jelas.
Sering bergantung membaca pergerakan bibir orang untuk memahami maksud kata.
Sering cuba mengelakkan daripada menjawab soalan lisan orang lain kerana kurang pasti tepat apa yang disoal.
Mencondong mukanya ke depan untuk mendengar jelas kata orang.

5. Kanak-kanak Cacat Penglihatan

Kanak-kanak cacat penglihatan adalah kanak-kanak buta atau mempunyai kadar kecekapan penglihatan di antara 20/200 hingga 20/70 selepas pembetulan, berbanding dengan kanak-kanak penglihatan normal yang mempunyai kadar kecekapan penglihatan 20/20
Kanak-kanak cacat penglihatan boleh digolongkan dalam beberapa jenis, iaitu kanak-kanak rabun dekat, rabun jauh, rabun malam, rabun warna, astigmatisme, katarak, glaukoma dan juling. Di antar punca-punca cacat penglihatan ialah kesakitan mata, kekurangan zat makanan atau kerosakan saraf optik dan menghidap penyakit seperti hipermetropia, myopia, dyslexia dan sebagainya.
Kecacatan penglihatan merupakan kecacatan deria yang buruk sekali. Murid-murid cacat penglihatan tentunya akan menghadapi masalah dalam aktiviti pengejaran dan pembelajaran, khasnya dalam proses persepsi dan penangkapan konsep dengan tepat.
Kanak-kanak cacat penglihatan boleh dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:

Kesukaran membaca tulisan dan ilustrasi dalam buku serta di papan kapur.
Sering membawa buku dekat matanya untuk membaca.
Sering mengesat matanya.
Matanya kelihatan kemerah-merahan.
Matanya juling, terpesong sedikit kedudukan mata hitamnya.
Sering merasa pening kepala.
Matanya amat sensitif terhadap cahaya.
Tidak dapat membaca dalam tempoh lama.
Kerap menulis perkataan-perkataan dengan ejaan lama.

6. Kanak-kanak Cacat Fizikal

Kanak-kanak cacat fizikal ialah kanak-kanak yang kecacatan ortopedik atau anggotanya. Kecacatan ortopedik mempengaruhi fungsi tulang sendi atau otot, menyebabkan pergerakan leher, pinggang, tangan atau kakinya menjadi lemah dan kurang berdaya. Kecacatan fizikal ini akan menjejaskan pencapaian akademik, khasnya dalam pelajaran yang bergantung kecekapan anggota-anggota badan, misalnya mata pelajaran seni lukis, kemahiran manipulatif, muzik dan pendidikan jasmani.
Punca-punca utama kanak-kanak kecacatan fizikal ialah kekurangan zat makanan atau kecederaan disebabkan kemalangan.
Pergerakan anggota-anggota badan yang kurang cekap atau lancar adalah ciri yang jelas diperlihatkan bagi kanak-kanak cacat.

7. Kanak-kanak Pintar-Cerdas Dan Berbakat

Secara am, kanak-kanak pintar-cerdas atau berbakat merujuk kepada kanak-kanak yang ada Darjah Kecerdasan melebihi 120. Mereka biasanya digolongkan dalam tiga kategori, iaitu:
Kanak-kanak yang mempunyai intelek yang tinggi.
Kanak-kanak yang mempunyai bakat mencipta.
Kanak-kanak yang berbakat khas dalam seni lukis, penulisan, drama, muzik, kraftangan, sukan dan sebagainya.
Menurut Dr. Chua Tee Tee, kanak-kanak pintar-cerdas adalah kanak-kanak yang menunjukkan potensi atau kebolehannya dengan cemerlang dalam aktiviti intelek seperti pemikiran abstrak, pemikiran logik atau kemahiran bertutur. Mereka juga mempunyai daya ingatan yang tinggi serta berbakat mencipta atau berbakat khas dalam seni lukis, drama, muzik, penulisan dan sebagainya.
Dr. Chua juga mengenal pasti tujuh ciri kanak-kanak pintar-cerdas:
Mempunyai keupayaan berfikir kreatif.
Memperoleh kebolehan intelek am.
Memiliki kebolehan akademik khusus.
Berbakat dalam satu atau lebih kesenian.
Cekap menyesuaikan diri dari segi sosial atau emosi.
Boleh bervisi jauh.
Mempunyai bakat memimpin.
J. C Stanley (19800 mentakrifkan kanak-kanak pintar cerdas ialah kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan tinggi, mengikut skala Sranford-Binet. Manakala E. Paul Torrence (1982) mengaitkan pintar-cerdas dengan pemikiran kreatif. Beliau berpendapat, kanak-kanak pintar-cerdas ialah kanak-kanak yang boleh menunjukkan prestasi dan sumbangan cemerlang dalam satu atau beberapa bidang, termasuk tingkah laku yang penting, untuk masyarakat dan negara.
Kenyataan E. P Torrance ini mengakui definisi kanak-kanak pintar-cerdas hendaklah merangkumi juga unsur-unsur yang lain daripada ukuran Darjah Kecerdasan atau keputusan inventori pencapaian akademik sahaja.
Sedangkan, Painters F. (1980) mengikut kajiannya, mengklasifikasikan kanak-kanak pintar-cerdas dalam enam kategori, iaitu:
Kanak-kanak yang berjaya mencapai skor tinggi dalam ujian kecerdasan.
Kanak-kanak pintar-cerdas dilahirkan semula jadi, tetapi tidak disedari orang ramai, kerana sebab-sebab tertentu.
Kanak-kanak pintar-cerdas tetapi memilih sendiri supaya tidak berbeza dengan kanak-kanak biasa.
Kanak-kanak pintar-cerdas yang tidak berpeluang diberikan motivasi yang sesuai, menyebabkan pembelajarannya di sekolah tidak lagi menjadi cabaran untuk mereka.
Kanak-kanak pintar-cerdas yang sengaja menyembunyikan bakatnya kerana hendak melindungi faedah diri sendiri.
Kanak-kanak pintar-cerdas mempunyai bakat dalam bidang tertentu sahaja, misalnya bidang intelek, kreatif, kepimpinan sosial, muzik, drama, seni lukis, sukan dan sebagainya.

Mengenal Pasti Kanak-Kanak Pintar-Cerdas Dan Berbakat

Kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat boleh dikenal pasti berdasarkan ciri-ciri am dan ciri-ciri spesifik seperti yang dihuraikan berikut:
1. Ciri-ciri am kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat
Mempunyai kemahiran kognitif yang tinggi.
Mempunyai sifat ingin tahu yang amat kuat dan ketara.
Mempunyai potensi kreativiti dan sensitiviti.
Mempunyai motivasi yang kuat.
Mempunyai perasaan afektif yang tinggi.
2. Ciri-ciri spesifik kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat
Ciri-ciri spesifik yang dimanifestasikan oleh kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat boleh ditinjau daripada dua aspek, iaitu:
(a) Ciri-ciri aspek positif
Boleh belajar dengan mudah dan cepat.
Dapat mengukuhkan dan mengekalkan dalam ingatan apa yang dipelajari tanpa banyak latihan berulang-ulang.
Menunjukkan sifat ingin tahu terhadap bidang dan skop yang mendalam dengan kerap kali bertanya serta membaca.
Memperoleh perbendaharaan kata yang banyak dengan ditonjolkan dalam pemikiran dan pendapatnya.
Suka membaca bahan-bahan di paras kematangan.
Menunjukkan minat terhadap rekaan dan ciptaan yang canggih.
Menguasai kemahiran pemikiran kognitif dengan cekap, jelas dan tepat, serta berupaya memahaminya dengan cepat.
Berupaya membuat generalisasi, mempersepsi perkaitan, dan membuat asosiasi secara logikal.
Cekap menyiasat, menjadual, mengklasifikasi, mengumpul, menginferensi dan melapor.
Mengetahui dan menaruh minat terhadap banyak perkara dan peristiwa di mana kanak-kanak biasa tidak pernah menyedarinya.
Berminat terhadap asal-usul manusia dan alam persekitarannya.
Suka berkawan dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih matang daripada kanak-kanak sebaya.
Mempunyai sifat lucu dan sering nampak riang
Mempunyai keinginan yang kuat untuk menunjukkan kehebatannya.
(b) Ciri-ciri aspek negatif
Hiperaktif dan tidak boleh berdiam diri, tidak boleh menumpukan perhatian dan sering mengganggu rakan-rakan di sekelilingnya.
silap dengan ejaan, tulisan kurang kemas atau silap dalam kira-mengira kerana kekurangan kesabarannya.
Sikap acuh tak acuh terhadap kerja yang diberikan oleh guru.
Suka mencari kelemahan dan mengkritik secara terbuka rakan-rakan dan guru-gurunya.

Mengikut tinjauan Hertsberger dan Wheatley (1980), untuk mengurangkan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat, serta membantu mereka memperkembangkan potensi dan bakat mereka secara optimumnya, mereka tidak patut dipaksa mengikuti kurikulum yang dirancangkan untuk kanak-kanak biasa. Bakat dan potensi mereka hendaklah diperkembangkan dengan satu kurikulum yang lebih kompleks dan mencabar, khasnya merangkumi kemahiran-kemahiran penyelesaian masalah, serta topik-topik yang akan diajar nanti untuk kanak-kanak biasa.

Masa kini, kebanyakan negara telah sedar dan mengakui kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat adalah aset yang ternilai sekali kepada negara mereka. Justeru itu, mereka menyediakan peluang pendidikan khas untuk kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat dengan tujuan memperkembangkan bakat dan potensi mereka secara sepenuhnya. Misalnya, di Singapura, kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat adalah dikenal pasti pada akhir tahun 3 dan akhir tahun 6 melalui ujian saringan, dan ditempatkan dalam kelas khas yang didirikan di sekolah biasa. Di Filipina, kerajaan membina sekolah khas untuk menampung kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat.
Di Malaysia, pada masa yang lalu, kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat adalah diberikan peluang menyertai aktiviti pengayaan semasa aktiviti kumpulan dalam kelas biasa, selaras dengan objektif-objektif Pendidikan Khas untuk kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat yang disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 1982:
· memperluas lagi pengetahuan dan pengalaman mereka;
· menjalani kegiatan-kegiatan pembelajaran yang lebih mencabar;
· menggunakan masa lapang mengikut minat dan bakat mereka;
· meminati dan menguasai bacaan luas dengan merujuk kepada pelbagai bahan dan sumber maklumat;
· memupuk minat untuk belajar sendiri;
· melahir atau memperkembangkan daya cipta atau kreativiti; dan
· memajukan kualiti kepimpinan.

Mulai tahun 1997, murid-murid tahun 3 yang telah mencapai prestasi cemerlang
dalam Penilaian Tahap satu, dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan kali pertama pada tahun 1996, adalah dikecualikan belajar dalam tahun 4, tetapi diberi peluang kenaikan terus ke darjah 5.
Di negeri China, kanak-kanak berbakat dalam bidang kesenian adalah dikenal
pasti semasa di peringkat sekolah rendah. Mereka dipilih mengikuti kursus latihan di institusi kesenian tempatan pada hujung minggu atau sesi petang, selepas mereka menghadiri kelas biasa dalam sesi pagi.

Mengenal Pasti Kanak-kanak Istimewa Melalui Ujian Saringan (Screening Test)

Sebagaimana yang telah dihuraikan, kanak-kanak istimewa boleh dikenal pasti dengan cara memerhatikan ciri-ciri tingkah laku mereka. Tetapi, cara pemerhatian ini adalah kurang objektif dan kurang jitu. Cara yang sah dan boleh dipercayai ialah penggunaan Ujian Kecerdasan (Intelligent Test). Bagaimanapun, menyediakan inventori ujian kecerdasan ini adalah sukar dan rumit, malah memerlukan kepakaran untuk menggubal soalan-soalan yang bermutu tinggi. Cara yang lebih praktik dan oleh dijalankan ialah penggunaan pemerhatian bersama dengan ujian saringan untuk mengenal pasti kanak-kanak istimewa.
Lazimnya, ujian saringan untuk mengenal pasti kanak-kanak cacat adalah disediakan khas untuk menentukan peringkat pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa dan Matematik sahaja. Bagaimanapun, ujian saringan ini juga mengukur tahap pengamatan murid, iaitu kuasa penglihatan, pendengaran dan psikomotor.
Berikut ialah contoh ujian saringan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan matematik untuk mengenal pasti kanak-kanak cacat di sekolah rendah. Contoh-contoh Ujian Saringan yang disediakan oleh Innotech Malaysia: A Basic Programme For Remedial Education.

Contoh Ujian Saringan Bagi Bahasa Melayu

1. Baca huruf-huruf ini: a, c, f, l, m, x, z.
2. Baca huruf-huruf ini: A, C, K, N, R, T, W, Y.
3. Sebut perkataan-perkataan ini: saya, emak, adik, kawan, rumah.
4. Baca ayat dan buat mengikut maksud ayat:
(a) Saya buka buku.
(b) Saya tutup pintu.
(c) Saya berdiri di atas kerusi.
(d) Saya menulis di papan kapur.
5. Isikan huruf di tempat kosong:

Bagi kanak-kanak pintar-cerdas, ujian saringan hendaklah mengandungi item-item yang berbentuk pengayaan.
Sesungguhnya, ujian saringan untuk kanak-kanak istimewa, sama ada kanak-kanak cacat atau kanak-kanak pintar-cerdas, adalah banyak menumpukan usaha mengukur peringkat pencapaian berbentuk ilmiah dan jarang sekali melibatkan ukuran penguasaan bidang kemahiran yang lain, seperti psikomotor, penulisan, kesenian ataupun bakat kepimpinan. Sehubungan ini, untuk mengenal pasti kanak-kanak istimewa secara menyeluruh dan jitu, ujian aptitud khas dan minat mereka hendaklah juga diadakan bersama dengan ujian saringan. Hasil penilaian daripada pemerhatian, ujian saringan dan ujian aptitud khas dapat membantu pendidik mengenal pasti kanak-kanak istimewa dengan lebih tepat dan objektif. Dengan cara yang demikian, pendidik akan dapat menyediakan ujian diagnostik yang sesuai, dan selepas itu, merancang satu kurikulum pendidikan khas bagi kanak-kanak istimewa dengan berkesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan