"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Sabtu, 12 November 2011

FAISAL TEHRANI DAN KESUSASTERAAN ILMU

OLEH:Mazri b Abd Rahman
1. Biodata Faisal Tehrani
Saya remaja yang agak awal meletakkan sikap. Masalah remaja kini ialah mereka tidak bersikap. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak bersikap dalam hal kemasukan budaya asing sebagai contoh. Mereka tidak bersikap dalam hal politik negara yang iklimnya tidak menentu kebelakangan ini. Mereka tidak bersikap dalam hal agama yang menuntut kita menerobos masuk wilayah sempit untuk tiba ke samudera yang lebih luas lagi. Mereka tidak bersikap apa-apa pun. Mereka hanya melulu. Bukan meletakkan sikap pada sesuatu isu. Oleh sebab terburu-buru itulah mereka masuk ke jaringan yang rancu. Tanpa sikap, kita tidak dapat menentukan situasi diri kita. Untuk bersikap, seseorang perlu menggali jati dirinya kembali. Hanya dengan bersikap, remaja dapat mengenal letak dirinya, sama ada di tengah hedonisme melanda ataupun di tengah gelodak pluralisme menduga.
(Faisal Tehrani dalam Dewan Siswa, April 2010)
Mohd Faizal bin Musa atau Faisal Tehrani dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Hospital Kuala Lumpur. Beliau dibawa berpindah ke Melaka oleh ibu bapanya semasa berusia 5 tahun dan mendapat pendidikan rendah di Bandaraya Bersejarah itu, bermula di Sekolah Sacred Heart dan kemudiannya di Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang. Beliau menyambung pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga tingkatan tiga. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Faisal melanjutkan pelajarannya ke Kolej Islam Kelang (Kolej Islam Sultan Alam Shah).
Faisal seterusnya meneruskan legasi pendidikannya ke Akademi Islam Nilam Puri, Kelantan sebelum ke peringat ijazah pertamanya dalam bidang Syariah Politik di Universiti Malaya pada tahun 1998. Beliau menjadi fellow di Universiti Sains Malaysia di samping meneruskan pengajian dan mendapat ijazah yang kedua di universiti yang sama dalam bidang Kesusasteraan pada tahun 2000. Faisal melengkapkan pengajiannya di peringkat Ph.D di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2010. Sekarang, beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Penulisan, akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
2. Karya-karya Faisal Tehrani
Faisal mula melibatkan diri dalam dunia penulisan seawal usia 16 tahun. Pada ketika itu, beliau menulis sekadar untuk mendapatkan duit poket menampung perbelanjaan harian sahaja tetapi lama kemudiannya menjadi suatu minat yang tak dapat disekat-sekat. Sehingga kini, Faisal telah menghasilkan lebih daripada 30 buah cerpen, 20 novel, sebilangan skrip drama, antologi puisi dan kritikan. Cerpen merupakan genre pertama yang dihasilkan oleh Faisal. Cerpen pertama beliau ialah Anastasia yang tersiar dalam majalah Muslimah pada tahun 1992. Pada masa itu, kemunculan Faisal dalam dunia kesusasteraan tidak mendapat perhatian dan sanjungan daripada khalayak sehinggalah dua tahun berikutnya apabila dua cerpennya, Anak dan Opah telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia- Public Bank pada tahun 1994.
Semenjak itu, Faisal tidak menoleh ke belakang lagi. Rentetan cerpen-cerpennya mula menghiasi ruangan-ruangan sastera di dalam media massa. Antaranya ialah Malam Ini Philadelphia Menangis (1994) yang telah memenangi Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat pada tahun 1994 , Pemberontakan Kedua (1995) yang memenangi Hadiah Sastera Utusan 1995. Perempuan Anggerik (1996), Api KL Belum Terpadam (1996) turut memberikan rezeki kepada Faisal apabila kedua-dua cerpen ini memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat untuk tahun 1996, malah Perempuan Anggerik juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997. Cerpen ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai, Inggeris dan Jepun dan turut diadaptasikan kepada dramatari oleh kareografi terkenal, Jasni Abdul Hamid dari Adikara Dance Theatre pada 29 Julai 2001. Pada tahun 1996 juga, cerpennya, Menanti Subuh (1996) telah meraih Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS kelapan.
Surat Untuk Gabe 1 (1997) juga tidak menghampakan Faisal. Cerpen ini telah meraih anugerah Hadiah Sastera Karya tahun 1997. Cerpen Cinta Gendang Kasturi (1998), Bulan dan Wira (1999), Irisan-irisan mimpi (2000), Syahid Raja Api (2000) juga telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia antara tahun-tahun 1998 hingga 2000. Cerpen Cahaya Pada Jiwa (2001) pula telah meraih Hadiah Sastera Berunsur Islam pada tahun 2001. Cerpen beliau, Kerana Manisnya Epal telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai cerpen kajian untuk peringkat SPM.
Antara kumpulan cerpen yang dihasilkan oleh Faisal ialah Kumpulan cerpen mini Sehari Dalam Perang (1997), Kumpulan Cerpen Safari Gilgit (1997), Kumpulan Cerpen Underground bersama Azman Husin (2000), Kumpulan Cerpen Lagi-lagi Underground bersama Saharil Hasril Sanin (2002), Kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo ( Aberdeen World,2006) dan Kumpulan Cerpen Tiga Kali Seminggu (2010).
Walaupun novel merupakan genre kedua yang diceburi oleh Faisal tetapi beliau merupakan novelis yang prolifik. sehingga kini, Faisal telah menghasilkan lebih daripada 20 buah novel, iaitu, Cinta Hari-hari Rusuhan (Creative Enterprise, 2000) yang dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana tahun 2000/2001. Begitu juga dengan novel Perempuan Politikus Melayu (Penerbitan Pemuda, 2000). Novel ini mendapat pujian daripada beberapa pengkritik termasuk Prof Madya Amida Abd Hamid, SM Zakir dan Dato Johan Jaafar yang menganggap novel ini merupakan sebuah novel yang berani.
Novel 1515 (Utusan Publication & Distributor, 2003) telah menjadi penanda aras kehebatan Faisal dalam berkarya. Novel ini telah memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu-Exxon Mobil pada tahun 2002. 1515 turut dipilih oleh Universiti zu Koln, Jerman sebagai teks bacaan wajib para mahasiswa Pengajian Melayunya. Novel ini turut menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu.
Novel 1511H [Kombat] (Utusan Publication & Distributor, 2004) menyusul dengan memenangi hadiah pertama sayembara yang sama pada tahun 2003. Advencer Si Peniup Ney (Utusan Publication & Distributor, 2005) dan Detektif Indigo (Utusan Publication & Distributor, 2004)terus melonjakkan nama Faisal dalam dunia kesusasteraan.Kedua-dua novel ini memenangi tempat pertama dan kedua dalam sayembara Hadiah Sastera Utusan Malaysia-ExxonMobil untuk tahun 2004.
Surat-surat Perempuan Johor (Aberdeen Books World, 2007) pula memenangi sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1 pada tahun 2005. Di samping itu, novel Bedar Sukma Bisu ( Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007) meletakkan Faisal sebagai pengarang tersohor apabila meraih tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2007. Novel ini juga turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2006/2007. Begitu juga dengan novel Manikam Kalbu ( Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007) yang dihasilkan pada tahun yang sama telah memenangi tempat pertama Sayembara mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2007 kategori remaja dan Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Manikam Kalbu turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007. Lain-lain novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani ialah maaf Dari Sorga ( 2003), rahsia Ummi (2003), Nama Beta Sultan Alauddin ( Aberdeen World,2007), Tuhan Manusia (Ameen Publishing, 2007), Tunggu Teduh Dulu ( Ameen Publishing, 2008), Detektif Indigo Kembali ( 2008), Saasatul Ibaad (Aberdeen World, 2008), Ketupat Cinta Musim Pertama (2009), Bahlut (2010) dan Sebongkah Batu di Kuala Berang (2011)
Selain genre cerpen dan novel, bakat Faisal dalam bidang kesusasteraan turut terserlah dalam genre drama dan puisi. Antara hasil garapan Faisal ialah drama Rintih Chicago yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997, drama Angin Madinah yang memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Drama monsopiad dan lain-lain cerita pula telah dicalonkan untuk Anugerah Cameronian Award 2003 kategori skrip drama Malayu terbaik.
Dewan bahasa dan Pustaka telah memperuntukkan dana untuk mementaskan dua drama Faisal iaitu Misi (1999/2000) yang telah dipentaskan di Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang dan drama Tivi yang diadaptasikan daripada novelet Shahnon Ahmad.
Selain daripada itu, drama-drama lain yang dihasilkan oleh Faisal ialah Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun (2008), Karbala (Aberdeen World,2008), novel drama Bila Tuhan Berbicara (Ameen Publishing, 2007) dan Kopitiam Ghadir(2010). Faisal juga pernah menerima anugerah tertinggi kerajaan, Anugerah Seni Negara pada tahun 2006 dalam bidang penulisan skrip drama pentas.
Dalam bidang puisi pula, Faisal telah menghasilkan kumpulan puisi pertamanya, Ingin Jadi Nasrallah yang diterbitkan oleh Ameen Publishing pada tahun 2010. Faisal juga pernah menghasilkan buku panduan penulisan kreatif iaitu, Karya Nan Indah( Ameen Publishing, 2007)
3. Kesusasteraan Ilmu
Kertas kerja ini memberi fokus kepada novel Advencer Si Peniup Ney. Dalam perbincangan ini, penulis akan menggunapakai teori gagasan Persuratan Baru (PB) janaan Mohd Affandi Hassan sebagai kerangka kajian.
Dalam PB, ilmu merupakan sesuatu yang cukup penting dalam berkarya. PB meletakkan ilmu sebagai teras dalam penghasilan dan penghayatan sastera (Ungku Maimunah,2010:389). Hal yang demikian kerana PB diasaskan atas tiga prinsip utama iaitu Hakikat Insan, Hakikat Ilmu dan Amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera yang bermula dan berpaksikan ayat daripada surah az-Zariyat ayat 56,
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”


Dan surah al-A’raf ayat 172 yang bermaksud,
‘Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan : “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”.
PB menggariskan kegiatan kesusasteraan merupakan ibadah kerana golongan pengkarya ini memiliki ilmu dan kemahiran mengarang yang tidak dimiliki oleh orang biasa. Sebagai suatu ibadah, seseorang pengarang mestilah memulakan penulisan dengan niat yang benar dan cara pelaksanaan yang benar. Ini bertepatan dengan tuntutan agama sebagaimana dirakamkan di dalam al-Qur’an surah al-Syu’ara ayat 224-227 yang bermaksud,
“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah. Dan bahawasanya mereka suka menyatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya. Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal salih dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.”
PB merupakan suatu gagasan yang meletakkan ilmu sebagai asas dalam segala aspek kehidupan termasuklah bidang kesusasteraan. Dalam hal ini, PB melihat kepentingan ilmu sebagai asas penguasaan kesusasteraan. Apa sahaja tindakan dan perilaku manusia mestilah ditentukan dengan pertimbangan ilmu yang benar. Menurut PB lagi, ilmu yang benar merujuk kepada ilmu yang berupaya menjadikan manusia mengenali Penciptanya serta membawa mereka ke arah kebaikan dengan meninggalkan kemungkaran (amal ma’ruf nahi mungkar). Dalam hal ini, PB menjelaskan bahawa ilmu dalam pengertian yang hakiki ialah ilmu yang membawa manusia kepada Allah melalui tanda-tanda yang telah diperlihatkanNya kepada manusia. Berdasarkan
Ilmu merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia untuk membuat pertimbangan baik atau buruk sesuatu perkara khususnya dalam hubungan antara manusia dengan manusia dan antara manusia dengan Penciptanya. Dalam hal ini, Mohd Affandi Hassan(1992:20) mengkategorikan sumber ilmu kepada tiga iaitu ilmu wahyu, ilmu bersumberkan akal dan pengetahuan. Antara ketiga-tiga sumber ini, wahyu berada pada kedudukan tertinggi kerana wahyu itu sendiri datangnya terus daripada Allah kepada para nabi. Melalui wahyulah, kita dapat mengetahui hal-hal berkaitan kewujudan Allah dan perkara-perkara yang ghaib seperti syurga, neraka, pembalasan di akhirat dan hakikat kejadian manusia itu sendiri.
Mohd Affandi juga turut membezakan antara ilmu dan pengetahuan. Menurut beliau, ilmu berada setahap lebih tinggi daripada pengetahuan. Hal yang demikian kerana ilmu diperolehi melalui keimanan di mana pemerolehan ilmu itu adalah anugerah oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya manakala pengetahuan pula diperolehi melalui akal melalui pencarian, pembelajaran, dan usaha sendiri. Kerana itulah biasanya ilmu lebih mendorong ke arah kerja kebaikan manakala pengetahuan lebih menjurus kepada perlakuan yang negatif.
Dalam hal ini, sebagai insan yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian dan dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, kita perlu mengadunkan antara ilmu dan pengetahuan agar dapat bergerak seiring. Pengetahuan diperlukan untuk mencapai tahap terbaik dalam kehidupan kita tetapi ilmu yang didorong oleh keimanan akan menjadi panduan dan benteng agar kita tidak terjerumus ke suatu tempat yang tidak sepatutnya atau dengan kata lain, ilmu akan membantu kita ke arah hakikat kejadian kita sebagai hamba Allah yang bersyukur.
Dalam soal berkaitan ilmu ini, agama Islam turut meletakkan ilmu (dan pengetahuan) sebagai sesuatu yang cukup penting dan bernilai dalam kehidupan. Ini bertepatan dengan ayat pertama yang diwahyukan kepada nabi Muhammad SAW. Firman Allah dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud,
‘Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku dara beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.’
4. Analisis Novel Advencer Si Peniup Ney.
Dalam penulisan, Faisal berpegang pada prinsip saya menulis bukan sahaja untuk khalayak hari ini tetapi juga untuk khalayak esok. Atas keadaan itulah kebanyakan karya Faisal lebih menjurus kepada karya keilmuan yang jarang diketengahkan oleh penulis lain. Dalam kertas kerja ini, kita akan melihat beberapa pengetahuan dan ilmu yang terdapat dalam dua novel Faisal yang dipilih.
Dalam novel Advencer Si Peniup Ney, Faisal mengetengahkan dan membicarakan isu hedonisme dalam kalangan masyarakat. Advencer Si Peniup Ney telah memenangi tempat pertama Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Sebagaimana kita sedia maklum, masyarakat kita sejak dari dahulu hingga sekarang terpengaruhi dengan budaya hiburan. Persembahan nyanyian sudah sebati dengan apa sahaja program yang dilaksanakan. Pelbagai rancangan realiti TV yang memberikan fokus kepada bidang hiburan kerap dipertontonkan. Ini tidak termasuk konsert-konsert nyanyian yang kerap terpampang di kata TV. Sikap masyarakat terutama golongan muda menjadikan artis-artis sebagai idola dan mengagungkan mereka sebenarnya membawa kepada kerosakan dalam masyarakat itu sendiri. Hal yang demikian kerana pengaruh muzik yang kebanyakannya melalaikan dan menjurus kepada berlakunya perkara-perkara yang negatif dan merugikan.
Atas kesedaran itulah Faisal menghasilkan novel ini, sesuai dengan pernyataan di awal penulisan ini, seseorang itu perlu memiliki sikap dan jati diri. Antara yang disentuh oleh Faisal ialah bagaimana muda-mudi sekarang begitu mengagung-agungkan muzik dan nyanyian tanpa mengetahui bahawa semua itu adalah agenda Yahudi berdasarkan protokol Perkara XIII-3 yang antara lain menjadikan kesenian dan kesukanan seperti hiburan, keghairahan, nyanyian dan lain-lain lagi untuk menyesatkan golongan muda dan dalam konteks ini pemuda Islam (halaman 23).
Sebagai sebuah novel ilmu, Faisal telah mengemukakan beberapa fakta yang merupakan suatu ilmu sebagaimana tuntutan PB iaitu, yang diperlukan oleh manusia untuk membuat pertimbangan baik buruk sesuatu perkara dan membawa manusia kepada hubungan yang baik antara sesama manusia atau dengan Rabbuljalil.
Perkara pertama ialah kedudukan muzik dalam Islam. Sebilangan besar meletakkan muzik itu sebagai sesuatu yang haram, bahkan Imam Syafei ada mengatakan bahawa muzik dan nyanyian adalah makruh dan hanya diamalkan oleh orang safih atau bodoh (halaman 33). Menurut ulama fikah pula, apa sahaja nyanyian kecuali nyanyian kanak-kanak di majlis perkahwinan hukumnya haram (halaman 33). Sebuah hadis nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang antara lain bermaksud, pada akhir zaman nanti, sekumpulan umat Islam yang berhibur dengan alat bunyian dan penyanyi wanita akan ditukar wajahnya menjadi monyet dan babi(halaman 32). Walaupun begitu, ada pandangan ulama mazhab zahiriyyah dan sufiyah yang membolehkan hiburan sebagai memenuhi naluri manusia( halaman 34). Ini bersandarkan pandangan bahawa muzik itu haram bukan kerana zatnya tetapi kerana hal-hal lain seperti nyanyian yang menyanjungi kezaliman dan gaya dan penampilan yang membangkitkan rangsangan (halaman 91-92)
Namun begitu, Faisal, lewat novel ini turut memberikan pengetahuan tentang muzik dalam Islam. Dijelaskan bahawa zikir adalah muzik yang utama dalam Islam kerana melalui zikir, yakni mengingati Allah akan menjadikan jiwa tenteram kerana zikir adalah makanan hati (halaman 61). Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud,
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram
Di samping itu, notasi dalam muzik iaitu, do re, mi fa, so, la, dan ti mempunyai persamaan dengan abjad-abjad Arab iaitu, da, ra, mim, fa, sod, lam, ta (halaman 48). Muzik turut digunakan oleh Sultan Beyazid Kedua di Turki untuk mengubati pesakit malah Sultan Beyazid juga telah menubuhkan sebuah kompleks kesihatan menggunakan muzik sebagai terapi (halaman 190).
Di samping itu, Faisal turut memberikan pandangan sejarah notasi muzik. Ramai ahli muzik moden berpendapat bahawa notasi muzik adalah ciptaan Guido Arezzo dari Itali sejak tahun 1026 masehi lagi tetapi hakikat yang sebenarnya, notasi muzik ini dihasilkan oleh orang Islam. Dikatakan Arezzo pernah belajar di Catalogna, Andalusia yang dikuasai oleh kerajaan Islam dan berguru dengan Ibnu Farnes dan Zariyab, pensyarah muzik tersohor di Andalusia(47-50).
Umat Islam juga dikatakan sebagai pelopor dalam bidang muzik ini. semasa pemerintahan kerajaan Umaiyyah, telah terdapat pelajaran berkaitan sout atau bunyi, talif atau gubahan, iqa atau ritma. Selain itu, Ibnu Farabi telah menulis kitab-ul-Musiqi yang membicarakan konsonan dalam muzik(halaman 58) dan Ibnu Kindi menggunakan muzik sebagai terapi mengubati sakit lumpuh seorang kanak-kanak (halaman 60).
5. Kesimpulan
Berdasar analisis ringkas yang dinyatakan di atas, Faisal banyak mengemukakan aspek-aspek keilmuan yang menjadi teras kepada cerita. Dengan kata lain, Faisal melalui Advencer Si Peniup Ney menggunakan ilmu dalam membangunkan cerita. Bermula daripada peringkat awal penceritaan lagi, Advencer Si Peniup Ney mengetengahkan kegilaan golongan muda terhadap muzik. Mereka menjadikan muzik sebagai suatu yang penting dalam kehidupan sehingga lalai dan leka dan melupakan kehidupan beragama. Faisal memberikan penyelesaian keilmuan dengan memberikan pandangan dan pendapat tentang muzik dan kedudukan muzik itu sendiri dalam Islam. Dengan mengemukakan dalil naqli dan akli, ilmu muzik dimartabatkan sesuai dengan tuntutan agama. Sebagai konklusinya, Advencer Si Peniup Ney menepati konsep PB dengan menjadikan sebuah karya kesusasteraan itu sebagai wadah perjuangan ilmu dan bukannya sebagai sebuah karya penceritaan semata-mata.
Rujukan
Faisal Tehrani (2005), Advencer Si Peniup Ney, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Mohd Affandi Hassan (1992), Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mohd Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Mohd Zariat Abdul Rani (2008),
Gagasan Persuratan Baru: pengenalan dan Penerapan, ATMA UKM, Bangi.
Syed Muhammad Naguib al-Attas (2007), Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, Penerbit USM, Pulau Pinang.
Ungku Maimunah Mohd Tahir (2010), Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, ATMA UKM, Bangi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan