"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Jumaat, 11 November 2011

STRATEGI DAN PENGGUNAAN AKAL DALAM KISAH NABI YUSUF

Pada hari ini, InsyaAllah kita akan berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan nabi Yusuf yang dikisahkan dalam surah Yusuf dan kisah yang terkandung dalam Qisas al-anbiya. Sebenarnya saya begitu teruja membicarakan kisah nabi Yusuf ini kerana berdasarkan ayat 3 surah tersebut, ada yang mengatakan bahawa kisah ini memiliki keistimewaan dibandingkan dengan kisah-kisah Al-Qur'an yang lain dilihat dari sisi kandungannya yang memuat berbagai ungkapan dan hikmah. Antaranya; pertama, ada yang mengatakan sedemikian kerana Nabi Yusuf mengampuni saudara- saudaranya dan bersikap sabar atas tindakan mereka yang merencanakan kematian atau pembunuhan terhadap baginda. Kedua, ada yang mengatakan lagi bahawa kerana di dalamnya terdapat kisah para nabi dan orang-orang soleh, ketiga, terdapat juga pelajaran tentang kehormatan diri dan adanya godaan, keempat, kehidupan para raja, lelaki dan wanita, tipu daya kaum wanita, kelima, di dalamnya juga disebut tentang aspek tauhid dan fiqih, pengungkapan mimpi dan penakwilannya. keenam, di samping itu, ia adalah surah yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dan petualangan emosi (perasaan atau cinta). ketujuh, ada yang mengatakan bahawa ia disebut sebagai kisah yang terbaik kerana semua orang-orang yang disebut di dalamnya pada akhirnya mendapatkan kebahagiaan. Antaranya, nabi Yusuf yang berpisah dengan bapanya diketemukan kembali, nabi Yusuf yang berpisah dengan saudara seibu sebapanya diketemukan kembali, nabi Yaakub yang tidak dapat melihat sembuh kembali, nabi yusuf mendapat penghormatan apabila mimpinya semasa kanak-kanak menjadi kenyataan dan sebagainya.
Sebuah hadis nabi Muhammad SAW yang boleh dijadikan hujah menyatakan kisah nabi Yusuf ini adalah kisah yang terbaik. Hadis tersebut bermaksud, orang yang mulia, anak dari orang yang mulia, anak dari orang yang mulia, Yusuf bin Ya’kub bin Ishak bin Ibrahim menjelaskan keistimewaan kisah nabi Yusuf ini dan nabi SAW sendiri juga pernah bersabda bahawa kisah Yusuf ini sama dengan kisah baginda SAW di mana nabi Yusuf dibenci dan cuba dibunuh oleh saudara-saudaranya dan nabi Muhammad SAW dibenci dan turut mahu dibunuh oleh kaumnya. Mungkin hadis ini bukan hadis sahih tetapi merupakan hadis hasan yang boleh kita jadikan bahan dalam perbahasan.
saudara saudari para siswa,
Pada kebiasaannya, apabila kita membicarakan kisah nabi Yusuf, yang terlintas dalam benak pemikiran saudara saudari mungkin tentang kisah cinta nabi Yusuf dan ketampanannya. Paparan kisah bagaimanan nabi Yusuf digoda untuk melakukan maksiat. Bagaimana kehebatan baginda diberikan mukjizat mentakwil mimpi yang tidak dapat ditafsirkan oleh orang lain dan banyak lagi. Memang tidak dapat dinafikan tentang ketampanan baginda sehingga wanita-wanita dan ibu-ibu yang sedang hamil disarankan membaca surah Yusuf dengan harapan anak yang bakal lahir nanti, jika lelaki akan mewarisi ketampanan nabi Yusuf. Namun begitu, pada hari ini, saya akan berkongsi sedikit pengetahuan lain masih lagi berkisar tentang kisah nabi Yusuf tetapi lain daripada kepompong cinta dan ketampanan sebaliknya kebijaksanaan dalam menggunakan akal dan minda yang dianugerahkan oleh Allah. Dalam hal ini, saya bahagikan kepada dua bahagian. Yang pertama bagaimana manusia menggunakan akal fikirannya kearah kebaikan diri, mengembalikan martabat dan kehormatan, maruah dan kesejahteraan negara. Dan bahagian yang kedua pula bagaimana manusia menggunakan akal fikirannya merancang melakukan yang sesuatu yang tidak baik tetapi harus diingat, perancangan ke arah yang dilarang oleh Allah dan agama tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana walaubagaimana sekalipun perancangan yang dilakukan oleh manusia, harus diingat bahawa perancangan Allah melebihinya.
Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an, nabi Yusuf telah dipenjarakan angkara fitnah yang dilemparkan oleh wanita-wanita Mesir. Semasa di dalam penjara, pemerintah Mesir telah bermimpi seakan-akan dia berada di sekitar sebatang sungai. Dari sana seakan-akan muncul tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk. Lembu-lembu itu meragut rumput di sana. Tidak lama kemudian muncul pula dari sana tujuh ekor lembu yang kurus-kurus. Kesemua tujuh ekor lembu yang kurus itu menelan kesemua tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk itu. Raja kemudian terbangun dalam keadaan ketakutan. Kemudian dia tertidur lagi. Kali ini dia bermimpi melihat tujuh tangkai gandum yang hijau segar berada pada satu batang. Tiba-tiba dia melihat tujuh tangkai gandum yang kering memusnahkan tujuh tangkai gandum yang hijau tadi. Saudara saudari boleh merujuk ayat 43 dalam surah Yusuf. Tiada sesiapa di Mesir dapat mentafsirkan mimpi raja tersebut. Dipendekkan cerita, nabi Yusuf telah berjaya mentadbirkan mimpi raja dan sebagai balasannya, raja memerintahkan agar nabi Yusuf dibebaskan daripada hukumun penjara tersebut. Namun begitu, nabi Yusuf tidak mahu keluar daripada penjara kerana baginda mahu nama baik dan maruah dirinya dibersihkan terlebih dahulu kerana sebagaimana yang telah saya jelaskan di awal tadi, nabi Yusuf dipenjarakan bukan kerana melakukan kesalahan tetapi sebaliknya fitnah. Nabi Yusuf telah meminta raja menyiasat kembali perbuatan yang dilakukan oleh isteri pembesar Mesir sehingga baginda dipenjarakan. Setelah nama dan maruah nabi Yusuf dibersihkan, barulah baginda keluar daripada penjara sebagai seorang yang tidak bersalah. Di sini, memberi gambaran yang jelas kepada kita peranan akal dan minda mampu mengembalikan maruah dan harga diri sesorang.
Kedua, rentetan daripada peristiwa di atas, nabi Yusuf telah dimuliakan oleh raja Mesir. Namun begitu, nabi Yusuf tidak menggunakan kesempatan ini untuk kepentingan dirinya. Sebaliknya, baginda meminta supaya diberikan jawatan sebagai pemegang perbendaharaan negara. Dalam al-Qur’an disebut khaza inul al ard atau pemegang khazanah bumi. Hal yang demikian kerana baginda memiliki kepandaian dan kebijaksanaan yang dikurniakan Allah. Akhirnya Mesir memiliki simpanan makanan yang cukup banyak yang mampu digunakan semasa kesukaran. Bahkan makanan tersebut boleh pula dijual kepada negeri-negeri sekitar termasuklah Kanaan, negeri asal keluarga nabi Yusuf.
Apa yang cuba saya jelaskan kepada saudara saudari ialah bagaimana nabi Yusuf melaksanakan transformasi ekonomi sehingga mampu membangunkan ekonomi Mesir ke arah kemakmuran dan kesejahteraan. Dalam satu kisah, dijelaskan bagaimana nabi Yusuf mengarahkan rakyat Mesir supaya menyimpan bekalan gandum dalam keadaan bertangkai agar tidak rosak dan baginda sendiri hanya memakan sedikit sahaja makanan sedangkan disekeliling baginda adalah limpahan makanan kerana bimbangkan rakyat Mesir tidak akan mendapat makanan yang mencukupi. Hal ini akan saya perjelaskan semasa kita mengikuti sesi intensif pada Februari nanti apabila saya membicarakan berkaitan tanggungjawab pemerintah dan peranan rakyat berdasarkan kitab Tajussalatin. Harap saudara saudari dapat mengikutinya nanti.
ketiga, jika saudara saudari menghayati keseluruhan kisah nabi Yusuf ini sama ada dalam surah Yusuf atau Qisas al-Anbiya, nabi Yusuf ada sebelas orang adik beradik sebapa dan baginda dan Bunyamin adalah adik beradik seibu sebapa. Nabi Yusuf paling disayangi oleh nabi Yaakub dan menimbulkan rasa dengki dan irihati saudara-saudaranya yang lain. Saudara- saudari boleh merujuk surah ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Saya akan menjelaskan strategi dan perancangan yang dilakukan oleh nabi Yusuf untuk bertemu dengan adiknya sahaja.
Semasa kedatangan saudara-saudaranya ke Mesir untuk mendapatkan makanan, nabi Yusuf telah merencanakan suatu maslahat atau siasah agar dapat bertemu dengan adiknya. Dalam kunjungan pertama ke Mesir, saudara-saudara nabi Yusuf telah datang ke Mesir tanpa adiknya. Nabi Yusuf telah melakukan helah agar saudara-saudaranya membawa bersama Bunyamin dan akhirnya Bunyamin turut datang ke Mesir. Dalam hal ini, kebanyakan ahli tafsir menjelaskan bahawa nabi Yusuf telah menanam budi kepada saudara-saudaranya sehingga mereka sanggup memujuk nabi Yaakub agar melepaskan Bunyamin ke Mesir. Budi yang ditanam oleh nabi Yusuf ialah dengan mengembalikan semula barang pertukaran yang dibawa oleh saudara-saudaranya dari Kanaan. Dengan kata lain, bekalan makanan yang dibeli di Mesir tidak dikenakan apa-apa bayaran dengan matlamat agar saudara-saudaranya terhutang budi dengan nabi Yusuf dan akan menunaikan apa-apa sahaja permintaan nabi Yusuf itu. Menurut ahli tafsir, barang pertukaran yang dibawa oleh saudara-saudara nabi Yusuf untuk pertukaran dengan barangan makanan ialah barangan kulit dan kasut. Barangan itu dikembalikanb kepada saudaranya bersama bekalan makanan yang dibeli. Walaupun pada awalnya nabi Yaakub tidak mahu melepaskan Bunyamin kerana bimbang peristiwa kehilangan nabi Yusuf berulang kembali tetapi mereka sanggup memujuk dan menabur janji kepada nabi Yaakub. Dalam hal ini, nabi Yaakub sangsi dengan anak-anaknya tetapi melepaskan juga setelah diyakini dan mengikut strategi yang dirancang oleh nabi Yaakub sendiri. Strategi ini akan saya jelaskan dalam strategi keempat nanti. Semasa di Mesir, nabi Yusuf telah sekali lagi menggunakan kebijaksanaan mindanya sehingga adiknya terpaksa terus tinggal di Mesir. Apa yang dilakukan oleh nabi Yusuf?
Baginda telah memasukkan piala bekas minuman ke dalam karung yang dibawa oleh Bunyamin dan Bunyamin telah ditangkap. Harus saudara saudari ingat, Bunyamin bukan pencuri tetapi sebaliknya strategi yang dilakukan oleh nabi Yusuf agar adik seibu sebapanya itu terus kekal tinggal di Mesir. Hal yang demikian kerana mengikut syariat nabi Yaakub, sesiapa yang mengambil hak orang lain atau mencuri akan dihukum menjadi hamba selama setahun dan itulah yang berlaku kepada Bunyamin. Maka terpaksalah dia tinggal di Mesir untuk selama setahun sebagai menebus kesalahannya. Sebenarnya, ini bukan kesalahan yang dilakukan tetapi satu maslahat atau siasah politik yang dilakukan oleh nabi Yusuf agar dapat bersama dengan adiknya yang sudah lama terpisah. Bukankah hebat strategi nabi Yusuf. Untuk makluman semua, sebelum melaksanakan strategi ini, nabi Yusuf terlebih dahulu telah bertanya tentang kesanggupan adiknya sama ada bersedia atau tidak untuk menetap di Mesir. Apabila Bunyamin sudah memberikan kesanggupan, barulah nabi Yusuf melaksanakan perancangannya. Saudara saudari boleh merujuk ayat 70 hingga 76 surah Yusuf.
keempat, strategi yang dirangka oleh nabi Yaakub semasa melepaskan anak-anaknya memasuki negeri Mesir. Sebaik sahaja saudara-saudara nabi Yusuf memohon kebenaran daripada nabi Yaakub untuk membawa Bunyamin memasuki Mesir, nabi Yaakub telah merencanakan strategi agar mereka semua selamat memasuki Mesir. Apa yang dilakukan oleh nabi Yaakub ialah meminta anak-anaknya memasuki Mesir daripada pintu atau laluan yang berbeza. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf, ayat 67 yang bermaksud, "Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; Strategi ini dilaksanakan agar semua anak-anaknya selamat. Hal yang demikian kerana jika mereka dihadap oleh musuh, sukar untuk musuh mengetahui atau mengesan mereka adik beradik kerana mereka berseorangan. Menurut Ibn Abbas dan beberapa ahli tafsir lain, nabi Yaakub meminta anak-anaknya memasuki pintu yang berlainan kerana rupa anak-anak nabi Yusuf bagus-bagus belaka dan ini memungkinkan wujud tanda tanya kepada sitiap orang yang melihatnya. Disamping itu, strategi ini juga dilakukan oleh nabi Yaakob agar anak bongsunya iaitu Bunyamin lebih selamat kerana perasaan sangsi yang masih menebal terhadap anak-anaknya yang lain. Hal yang demikian kerana peristiwa kehilangan nabi Yusuf masih menghantui nabi Yaakub. Dengan cara ini, Bunyamin pastinya akan selamat memasuki Mesir. Ada juga pandangan sesetengah ahli tafsir bahawa idea atau strategi yang dilakukan oleh nabi Yaakub ini dengan harapan mereka memperolehi berita tentang nabi Yusuf atau setidak-tidaknya memperolehi maklumat untuk menjejaki nabi Yusuf kelak.
Saudara saudari sekelian,
Saya tinggalkan dahulu strategi dan penggunaan akal yang menjurus kepada langkah yang baik atau positif ini dan akan menjelaskan pula perancangan-perancangan jahat yang dilakukan oleh orang yang dengki, irihati, cemburu dan khianat khususnya kepada nabi Yusuf. Sebelum itu, jika saudara saudari berkelapangan, bolehlah saudara saudari mengeposkan ke dalam forum bagaimana strategi yang dilakukan oleh isteri pembesar Mesir yang dalam Qisas al-Anbiya, bernama Zulaikha untuk menutup mulut wanita-wanita Mesir mengapa dia, yakni Zulaikha tergila-gilakan nabi Yusuf.
Berbalik kepada strategi tadi. Yang pertama ialah bagaimana saudara-saudara nabi Yusuf lakukan untuk menjarakkan atau menjauhkan baginda daripada bapanya nabi Yaakub, atau dengan kata lain supaya nabi Yaakub kembali memberikan kasih sayangnya yang sebelum ini banyak tertumpah kepada nabi yusuf. Ada sesiapa yang ingin memberikan pandangan? Pusat Wilayah Pulau Pinang? Kota Bharu? Ipoh?
Sebenarnya, nabi Yusuf disayangi oleh nabi Yaakub kerana menurut firasat baginda sebagai seorang nabi, Yusuf kelak akan menjadi nabi dan perlu dijaga agar tidak dikhianati oleh saudara-saudaranya yang lain. Ini berdasarkan mimpi yang dialami oleh nabi Yusuf bahawa melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku."(ayat 4)
Kasih sayang yang melimpahi ini menimbulkan iri hati dan dendam saudara-saudaranya yang lain sehingga mereka merancang membunuh nabi Yusuf. Dalam hal ini, ahli tafsir berpendapat bahawa saudara-saudara nabi Yusuf akan bertaubat selepas membunuh nabi Yusuf. Namun begitu ada juga saudaranya yang tak sampai hati membunuh nabi Yusuf dan mencadangkan agar dibuang nabi Yusuf ke dalam perigi di padang pasir dan kelak akan ditemui oleh pedagang-pedagang yang melalui tempat tersebut.
untuk membawa Yusuf ke tengah padang pasir bukanlah sesuatu yang mudah kerana tidak dibenarkan oleh nabi Yaakub tetapi setelah diyakini oleh anak-anaknya yang lain, nabi Yaakub membenarkannya.
Sesampai di tempat yang telah mereka rancang, nabi Yusuf dimasukkan ke dalam perigi dan saudara-saudaranya yang lain kembali kepada nabi Yaakub dan memerikan bahawa nabi Yusuf telah mati dimakan serigala. Mereka membawa balik baju nabi Yusuf tetapi dalam hal ini perancangan manusia tentu ada cacat celanya. Setelah mencampakkan nabi Yusuf ke dalam perigi, saudara-saudara nabi Yusuf telah mencipta bahan bukti, iaitu pakaian dengan melumurkannya dengan darah kambing yang disembelih. Mereka pulang kepada nabi Ya’kub dan menangis. Dalam masalah ini, ulama salaf selalu menasihati, kamu jangan terpedaya oleh tangisan orang yang zalim. Cukup ramai orang yang zalim menangis. Sebenarnya, dalam kisah nabi Yusuf yang dikatakan mati diserang serigala ini, ada perumpamaan lama yang berbunyi, bahaya dusta adalah terlupa. Dalam hal ini, adik beradik nabi Yusuf terlupa mencarik-carikkan baju nabi Yusuf sebagai bukti diserang serigala. Sebenarnya nabi Yaakub mengetahuinya tetapi baginda memilih untuk bersabar kerana keyakinan bahawa semuanya telah diatur oleh Allah. Sebab itulah akhirnya perancangan jahat yang dilakukan oleh saudara-saudara nabi Yusuf ini akhirnya terdedah jua. Wallah huaklam.
Kedua, perancangan yang dilakukan oleh isteri al-Aziz untuk menggoda nabi Yusuf. Sebagaimana yang telah saya jelaskan pada awal kuliah saya, nabi Yusuf adalah seorang yang cukup tampan. Isteri al-Aziz yang saban hari melihat ketampanan nabi Yusuf tentunya tergoda lalu merancang untuk melakukan maksiat dengan nabi Yusuf. Zulaikha, nama isteri al-Aziz menurut kata ahli tafsir telah bersolek dan berdandan dan kemudiannya mengunci semua pintu semasa mereka berdua berada di dalam rumah. Lalu berlakulah adegan goda menggoda dan kejar mengejar. Isteri al-Aziz menggoda dan nabi Yusuf digoda. Zulaikha mengejar dan nabi Yusuf dikejar. Akhirnya sampai dipintu, baju nabi Yusuf ditarik dibelakang dan pada ketika itulah al-Aziz sampai dimuka pintu. Zulaikha telah berdusta menyatakan bahawa nabi Yusuf ingin membuat jahat terhadapnya tetapi perancangan jahatnya terdedah apabila seorang saksi menyatakan bahawa jika baju nabi Yusuf koyak di depan, nabi Yusuf yang bersalah dan jika koyak di belakang, Zulaikha yang salah dan terbukti, baju nabi Yusuf telah koyak di belakang. Dalam hal ini, ada sumber mengatakan bahawa saksi yang dimaksudkan ialah seorang bayi yang masih berada dalam buaian. Ini bertepatan dengan sebuah hadis tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya yang bermaksud, Ada tiga orang yang dapat berbicara sewaktu masih dalam buaian iaitu Isa bin Maryam, Ibnu Juraij dan bayi yang menjadi saksi Yusuf. Dalam peristiwa ini, saya teringat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Ada tujuh golongan orang yang mendapat naungan Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain selain naunganNya iaitu, imam yang adil, orang yang mengingati Allah ditempat yang sunyi lalu airmatanya bercucuran, orang yang lekat hatinya dengan masjid, dua orang yang saling menyintai kerana Allah berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah, orang yang mengeluarkan sedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanan, pemuda yang rajin beribadat kerana Allah dan orang yang diajak berzina oleh perempuan yang mempunyai status sosial yang tinggi dan kecantikan, lalu dia menjawab, Aku takut kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan