"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Isnin, 14 November 2011

KEPERLUAN BERBEZA: PEMULIHAN DAN PENDIDIKAN KHAS

Oleh Mohd. Hanif Mat Nor
Pelita Bahasa Jun 2007


Kekaburan tentang sesuatu konsep dalam bidang pendidikan sedikit banyak dapat mencatatkan usaha membawa institusi pendidikan ke arah kecemerlangan dan kegemilangan. Ketidakjelasan aspek istilah, terutama kepada pentadbir atau pengurus institusi pendidikan, dilihat banyak memberi impak kepada hala tuju, misi dan visi yang ingin dicapai, apatah lagi terhadap bidang yang kurang diberikan perhatian oleh sesetengah pentadbir, iaitu bidang pemulihan dan pendidikan khas, yang pastinya banyak mengundang permasalahan, terutama kepada pelajar lemah berbanding dengan pelajar pintar.

Dalam pendidikan, terdapat tiga bidang pengajaran dan pemelajaran yang melibatkan pelajar yang menghadapi permasalahan dalam mengikuti pelajaran seperti kanak-kanak atau pelajar normal yang lain, iaitu Pemulihan dalam kelas, Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas. Ketiga-tiga bidang itu perlu diberikan perhatian serius agar setiap pelajar mempunyai peluang sama rata dalam mendapatkan hak mereka.

Dari segi konsep, Pemulihan dalam kelas merupakan kaedah yang digunakan untuk membantu pelajar lemah dalam menguasai sesuatu tajuk dalam mata pelajaran tertentu. Pemulihan Khas pula dimaksudkan sebagai usaha dalam pendidikan untuk mengatasi masalah penguasaan dalam satu-satu kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira).

Isahak Haron dan Koh Boh Boon menyatakan pendidikan pemulihan sebagai perkhidmatan untuk membantu keperluan pelajar yang menghadapi masalah pemelajaran di sekolah atau dengan kata lain, sebagai bentuk pendidikan atau tindakan atau intervensi yang dilaksanakan seawal yang mungkin terhadap pelajar yang lambat untuk mengembalikan mereka ke tahap pencapaian yang setaraf dengan pelajar lain dalam kumpulan mereka.

Pendidikan Khas merupakan program yang disediakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas mengikuti pemelajaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Mengikuti Akta Pendidikan 1996 “Pendidikan Khas” dijelaskan di bawah seksyen 2 (tafsiran) yang bermaksud pendidikan yang menyediakan keperluan pendidikan khas murid. “Sekolah Khas” dimaksudkan sebagai sekolah yang menyediakan Pendidikan Khas yang ditetapkan mengikut peraturan yang dibuat di bawah seksyen 41.

Pemilihan dan penetapan guru merupakan aspek penting dalam menentukan keberkesanan ketiga-tiga bidang tersebut. Bukan semua guru yang mampu mengurus bidang tersebut. Kepakaran tertentu seharusnya dimiliki bagi melayakkan mereka mendidik kanak-kanak yang berlainan upaya tersebut.

Bagi Pemulihan dalam kelas, individu yang sepatutnya ditugaskan mengajar ialah guru yang mengajarkan mata pelajaran tersebut. Berbeza daripada Pemulihan Khas, guru yang sepatutnya terlibat ialah guru Pemulihan Khas. Dari segi perjawatan, guru tersebut tidak termasuk dalam perkiraan peruntukan guru asas di sesebuah sekolah itu. Mereka juga perlu mempunyai latihan khas dan bukan dilantik sembarangan. Nisbah antara seseorang guru pemulihan dengan pelajar ialah tidak melebihi 15 orang.

Pendidikan Khas melibatkan guru yang dilatih khas oleh institusi tertentu, seperti Jabatan Pelajaran Negeri, Bahagian Pendidikan Guru, serta universiti tempatan dan luar negara. Harus diingatkan juga bahawa guru Pendidikan Khas tidak boleh dilibatkan sebagai guru ganti di sekolah.

Pelajar juga berbeza mengikut ketiga-tiga bidang. Pemulihan dalam kelas melibatkan pelajar normal di bilik darjah, tetapi mereka lambat menguasai kemahiran atau tajuk tertentu dalam mata pelajaran tertentu. Pelajar pemulihan khas ialah pelajar yang lambat tercicir dalam menguasai kemahiran asas 3M.

Pelajar Pendidikan Khas pula terdiri daripada pelajar berkeperluan khas seperti kanak-kanak tuna pendengaran, kanak-kanak tuna penglihatan, kanak-kanak bermasalah kerana kecacatan akal yang ringan dan sederhana, serta kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi dan tingkah laku dan bermasalah kerana faktor genetik.

Penentuan pelajar untuk melayakkan mereka masuk ke dalam ketiga-tiga bidang pun berbeza. Bagi pemulihan dalam kelas, pelajar masih berada di kelas biasa dan diajar oleh guru mata pelajaran pada akhir pengajaran dan pemelajaran.

Untuk pelajar Pemulihan Khas, mereka perlu melalui ujian tertentu, seperti ujian saringan dan ujian diagnostik. Apabila berjaya dipulihkan, mereka akan kembali ke kelas biasa. Pelajar Pendidikan Khas pula ditentukan melalui pengesanan pakar perubatan.

Guru, terutama pentadbir atau pengurus sekolah, perlu memahami bahawa penyediaan kurikulum berbeza antara ketiga-tiga bidang itu. Pengetahuan itu perlu bagi menjamin mereka mendapat hak mereka mengikut kemampuan tersendiri.

Kurikulum yang digunakan bagi Pemulihan dalam kelas ialah yang berdasarkan Kurikulum Baharu Sekolah Rendah. Cuma pelajar diajar di kelas biasa dengan menekankan konsep mengajar daripada yang mudah kepada yang lebih mencabar.

Bagi Pemulihan Khas, kurikulum yang digunakan memberikan penekanan terhadap penguasaan kemahiranan asas 3M.

Pelajar Pendidikan Khas menggunakan kurikulum Khas yang berdasarkan Peraturan Pendidikan Khas 1997 dan Akta Pendidikan 1996. Kurikulum khas itu disesuaikan dengan mengambilkira masa, bahan, budaya, kelas, teknik, bantuan kepakaran dan penglibatan masyarakat.

Kurikulum berbeza digunakan bagi memberikan impak terhadap penggunaan masa pelajar yang terlibat. Pemulihan dalam kelas dijalankan bersama-sama pelajar normal yang lain dan memberikan fokus terhadap mata pelajaran atau tajuk yang tidak dikuasai oleh pelajar.

Bagi Pemulihan Khas, mereka mengikuti jadual waktu kelas biasa dan pelajar dibawa ke kelas pemulihan semasa mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu.

Pendidikan Khas lebih istimewa dari segi keanjalan masa. Sesi pengajaran dan pemelajaran bagi kumpulan itu agak lewat berbanding dengan pelajar normal dan banyak bergantung pada pengurusan diri dan kesediaan belajar pelajar tersebut. Masa rehat pelajar Pendidikan Khas juga diawalkan 10 minit daripada pelajar normal bagi memberikan keselesaan kepada mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Aspek penyediaan kelas bagi ketiga-tiga bidang itu juga berbeza. Pemulihan dalam kelas hanya dijalankan di bilik darjah biasa dan tidak memerlukan ruang yang khusus.

Pemulihan Khas memerlukan sebuah bilik dengan keluasan tertentu. Bilik tersebut hendaklah mengandungi sudut pengajaran dan pemelajaran, sudut kerja berkelompok dan sudut rekreasi.

Pendidikan Khas memerlukan kelas khas atau sekolah tertentu melalui program integrasi. Kelas khas perlu mengandungi kelas, ruang tamu, ruang dapur, bilik tidur, bilik air dan tandas, ruang rekreasi, bilik pentadbiran dan keperluan lain yang difikirkan dapat memberikan sumbangan kepada pelajar untuk hidup berdikari.

Yang berbeza juga ialah penyediaan persediaan mengajar guru. Begitu juga dengan strategi dan kaedah pengajaran dan pemelajaran yang semestinya disesuaikan dengan tahap dan kebolehan pelajar mengikut bidang.

Pendemokrasian dalam pendidikan mungkin amat tepat bagi menjelaskan ketiga-tiga konsep tersebut. Peluang untuk mendapatkan hak dalam pendidikan di Malaysia harus diberikan secara saksama tanpa mengira keadaan diri seseorang pelajar. Pendidik juga seharusnya sedar bahawa pengurusan ketiga-tiga bidang itu berbeza dari segi dasar dan pelaksanaannya. Namun begitu, matlamatnya hampir sama, iaitu memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik kepada pelajar dengan menggunakan seluruh potensi diri yang ada pada pelajar semaksimum yang mungkin. Pemulihan dalam kelas, Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas seharusnya difahami sebaik-baik mungkin oleh semua pihak bagi menentukan kejayaan pelaksanaannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan