"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Rabu, 9 November 2011

KULIAH 13/11/2011

“Orang yang kuat, tidak takut memikul beban yang berat. Tetapi orang yang lemah, jangankan beban orang lain, bebannya sendiripun tiada terpikul olehnya.” Petikan kata-kata Daminah dalam hikayat berbingkai Kalilah dan Daminah. Kata-kata ini menggambarkan bahawa hikayat cerita berbingkai kebiasaannya sarat dengan nilai falsafah yang cukup tinggi dan dijadikan panduan dan teladan kepada pembaca atau pendengar. Kisah-kisah yang menuturkan pengajaran agama, pengajaran politik, pengetahuan dan panduan kehidupan keduniaan di samping hiburan tentunya boleh dijadikan hikayat atau cerita yang cukup popular.

Berbalik kepada kuliah kita pada hari ini, iaitu Hikayat Berbingkai, Kalilah dan Daminah: Dari Kesusasteraan India ke Kesusasteraan Melayu.
Sebelum itu, ada baiknya saya jelaskan sedikit berkaitan cerita berbingkai.Mengapa dikatakan cerita berbingkai? Cerita berbingkai adalah antara kesusasteraan klasik yang termasyhur di seluruh dunia. Dikatakan cerita berbingkai kerana sesebuah cerita disisipkan dengan cerita-cerita lain. Antara keistimewaan cerita berbingkai ini ialah, ceritanya agak panjang dan bersambung-sambung isi ceritanya di mana cerita berbingkai ini mempunyai cerita pokok dan beberapa cerita sisipan yang merupakan cerita tambahan kepada cerita asal. Cerita sisipan ini, jika dipisahkan daripada cerita bingkainya, tetap dapat berdiri sendiri sebagai sebuah cerita.
Bagi RO Winstedt (1969:114), cerita berbingkai ialah cerita-cerita berputar kerana cerita utama sebagai pusat cerita dan cerita-cerita sisipan pula berputar mengelilingi cerita utama. sebenarnya, cerita-cerita sisipan ini tidak berputar kepada cerita utama tetapi lahir daripada satu-satu peristiwa tertentu. Biasanya, cerita-cerita sisipan ini dikemukakan oleh seorang tokoh dalam cerita utama atau dasar untuk menghasilkan hujah atau kebenaran kepada kata-katanya.
Cerita berbingkai ini sering mengandungi watak binatang yang diberikan sifat manusia seperti pandai bertutur dan boleh pula memberikan nasihat kepada tuannya dalam pelbagai perkara seperti cerita bayan budiman yang menasihati isteri khoja maimun daripada melakukan zina. Kadang-kadang cerita/hikayat berbingkai ini seakan-akan cerita binatang kerana sebahagian daripada watak-wataknya adalah binatang yang hidup di dalam hutan rimba. walaubagaimanapun, watak-watak dalam cerita pokok masih lagi manusia biasa dan bukannya binatang.
Pada dasarnya, cerita berbingkai mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi bersabit dengan sifat-sifat ketabahan, kesetiaan, kejujuran dan seadilan sebagai serpihan daripada kebulatan iman yang menjamin kesejahteraan sesebuah institusi kekeluargaan atau politik (Noriah, 1988:50). Biasanya sifat-sifat kebaikan ini dipertentangkan dengan sifat-sifat buruk atau sifat berlawanan dengan sifat-sifat baik sehingga bertentangan ini mencetuskan cerita-cerita sisipan daripada cerita dasar atau cerita pokok. cerita-cerita yang dikemukakan juga biasanya berakhir dengan orang yang melakukan kejahatan akan dihukum dan orang yang melakukan kebaikan menjdapat balasan atau ganjaran.
Liaw Yock Fang (1975:170-186) telah mengkelaskan cerita berbingkai kepada tiga kategori iaitu;
1. cerita yang dicipta untuk menyampaikan pengajaran agama seperti cerita Jataka, cerita mengenai agama Buddha dll
2. cerita yang mengandungi pengajaran dalam bidang politik dan pengetahuan duniawi seperti pancatantra dan pelbagai cerita yang berasal daripadanya.
3. Cerita yang dicipta semata-mata untuk hiburan. Cerita dalam kategori ini tidak mengutamakan ajaran moral. Cerita yang paling terkenal ialah Sukasaptati.
Antara cerita-cerita yang tergolong dalam kelompok hikayat berbingkai ialah hikayat bayan budiman, hikayat bakhtiar, hikayat ghulam, hikayat bakhtiar, hikayat nakhoda muda, hikayat maharaja ali, hikayat 1001 malam dan hikayat khalilah dan daminah. Saya tak akan menyentuh atau berbincang kesemua hikayat berbingkai di atas kecuali yang terakhir sahaja iaitu khalilah dan daminah.
Sekarang, kita sama-sama telusuri sejarah kedatangan cerita atau hikayat berbingkai ini dalam kesusasteraan Melayu. Pendapat pertama, Cerita atau hikayat berbingkai ini dikatakan berasal dari India dengan bahasa sanskrit tetapi banyak mengandungi unsur Islam. Ketibaannya dalam kesusasteraan Melayu ini tidaklah melalui jalan langsung atau terus daripada sastera India, sebaliknya melalui melalui terjemahan bahasa Parsi dan hindustan. Maksudnya, hikayat berbingkai ini terlebih dahulu diasimilasikan kepada kesusasteraan Parsi sebelum tiba di alam Melayu.
Kedua, Hikayat berbingkai ini dikatakan berasal dari India, kemudiannya tersebar luas keseluruh dunia dan mempengaruhi cerita-cerita rakyat di Asia dan Eropah tetapi kebanyakan hikayat berbingkai ini yang bercorak keIslaman yang berlegar dalam kesusasteraan Melayu dikatakan berasal dari bahasa Arab dan Parsi kerana isinya telah diubahsuai sesuai dengan pemikiran Islam. Bentuk ceritanya juga disesuaikan dengan dimulakan dengan doxonogi keIslaman seperti pujian kepada Allah dan rasulullah.
Ketiga, Hikayat ini diterjemah kedalam bahasa Melayu oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi daripada bahasa Tamil dengan bantuan seorang india bernamaTambi Muttu Virabattar. Terjemahan yang dilakukan oleh Abdullah Munsyi ini agak hambar kerana diceritakan secara ringkas dan sepintas lalu sahaja. abdullah Munsyi menamakan hikayat ini Pancatanderan

Kalilah dan Daminah berasal daripada sebuah karya kesusasteraan india yang terkenal iaitu Pancatantra. Hikayat ini dikatakan telah wujud semenjak abad ketiga sebelum masehi lagi. Hikayat ini dikatakan masuk ke alam melayu melalui sumber Parsi. Hikayat ini dikarang oleh Baidaba, seorang pengarang India yang menamakannya pancatantra yang bermaksud lima cerita moral. Menurut cerita, Baidaba telah diarahkan oleh pemerintah pada masa itu, maharaja Dabshalim untuk menghasilkan sebuah kitab yang akan memberikan nasihat kepada semua orang yang membacanya. Pada awalnya, kitab ini hanya terbatas kepada anak-anak raja sahaja tetapi seiring dengan peredaran masa, kesesuaian dan pengajaran yang terkandung di dalamnya menjadikan kitab ini sesuai untuk semua lapisan rakyat termasuk golongan muda dan rakyat biasa.
Pancatantra kemudiannya telah disadur dan disalin ke dalam bahasa Pahlawi atas arahan raja Parsi, Khosru Anusyirwan dengan menambah cerita-cerita lain (8 cerita binatang dan 3 dipetik daripada kitab mahabrata) dan menamakannya keratako wa damanakala. Daripada versi pahlawi, hikayat ini diterjemah ke dalam bahasa Syria dengan tajuk Kalilag wa Damanag. Hikayat ini kemudiannya diterjemahkan pula ke dalam bahasa Arab oleh Abdullah al-Muqaffa’ (abad ke-8) dan diberi tajuk Kalilah wa Dimna. Melalui versi Kalilah wa Dimna inilah pancatantra menjadi karya yang terkenal.
Versi bahasa Parsi yang asal dikatakan telah hilang dan pengarang parsi bernama Nasrullah(1142 Masihi) kemudiannya telah menterjemahkan kembali hikayat ini ke dalam bahasa Parsi melalui karya Arab yang dihasilkan oleh Abdullah al-Muqaffa’ tadi dan versi inilah yang kemudiannya dipercayai sampai ke alam Melayu. Ini berdasarkan pandangan dan pendapat yang dikemukakan oleh J. Brandes apabila beliau mendapati banyak persamaan antara versi Nasrullah dengan versi Melayu. Namun begitu, ada pandangan mengatakan bahawa hikayat berbingkai ini masuk ke alam Melayu melalui terjemahan daripada bahasa Belanda dan bukannya terus daripada bahasa Arab atau Parsi.
Kerana karya hikayat ini disadur daripada Arab dan Parsi, maka tema yang dipaparkan adalah berkaitan dan dipengaruhi oleh pemikiran Islam. hikayat ini banyak membawa hal atau cerita yang berkaitan etika moral keIslaman. Ini berdasarkan kandungan atau petikan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis nabi SAW sering terdapat dalam hikayat ini sebagai bukti penekanan kepada ajaran agama Islam.
Hikayat Kalilah dan Daminah merupakan sebuah karya sastera yang bercorak dedaktik. Dalam hikayat ini, terdapat sejumlah cerita dalam cerita. Hikayat ini bermula dengan Raja Amarasakti yang sangat bijaksana. Baginda amat berdukacita kerana ketiga-tiga puteranya tidak berminat untuk belajar. Seorang sami, Visnusarman berjanji akan mengajar ketiga-tiga putera tersebut dalam masa enam bulan. Kerana ketiadaan minat mereka untuk belajar, terpaksalah sami tersebut mencari jalan yang berbeza untuk mengajar mereka. Beliau mengajar dengan bercerita lima cerita binatang dalam bentuk cerita berbingkai. Kalau berdasarkan pernyataan awal saya, watak dalam cerita pokok ialah manusia manakala cerita-cerita sisipan pula terdiri daripada binatang atau haiwan.
Awal cerita ini dibuka ketika seorang Baidaba yang menceritakan kepada Maharaja Dabasyalim. Dalam permulaan cerita itu, Baidaba menceritakan tentang orang tua yang mempunyai dua anak yang selalu berfoya-foya tetapi kemudiannya, sedar setelah dinasihati oleh Baidaba. Setelah itu, salah seorang daripada mereka hendak berniaga dengan membawa dua lembu yang kemudian diberi nama Bandabah dan Syatrabah. Dalam perjalanan, lembu pertama, Syatrabah terjebak ke dalam lumpur dan tersangkut atau tidak dapat keluar daripada lumpur itu, lalu akhirnya ditinggalkan Syatrabah di situ karena diperkirakan akan mati di tempat itu. Namun akhirnya Syatrabah dapat melepaskan diri dan berjalan ke hutan, di dalam hutan itu ia mendapatkan banyak rumput sehingga ia dapat hidup dan tubuhnya segar kembali, ia pun sering melengguh keras yang terdengar hingga ke segenap penjuru hutan. Suara itupun didengar oleh raja hutan, yakni singa. Ia sangat ketakutan karena tidak pernah mengenal lembu sebelumnya.Ketakutan raja hutan dirasakan pula oleh seekor srigala yang bernama Dimnah. Hal ini kemudian diungkapkan Dimnah kepada saudaranya yang juga seekor srigala yang bernama Kalilah. Karena keinginannya untuk menjadi orang mulia dan dekat dengan raja, Dimnah akhirnya bertemu dengan raja singa dan menanyakan prihal kegundahan hati yang membuat raja singa berhari-hari tidak keluar dari kamarnya. Setelah tahu sebabnya, Dimnah akhirnya menuju ke sumber suara itu, setelah diketahuinya bahwa suara itu berasal dari hewan pemakan rumput belaka, maka Dimnah kembali menghadap, tetapi raja masih takut dan Dimnah menawarkan diri untuk membawa Syatrabah kepada raja singa. Dimnah pun memujuk Syatrabah untuk pergi menghadap raja singa. Setelah menjamin keselamatan Syatrabah, akhirnya Syatrabah pergi mengadap raja singa. Dan akhirnya hubungan antara raja dan Syatrabah malah menjadi karib dan bahkan Syatrabah akhirnya menjadi orang kepercayaan Raja Hutan. Melihat hal itu, Daminah irihati dan dengki dan merancang hal buruk pada keduanya. Ia kemudian memfitnah keduanya hendak saling membunuh. Fitnahan itu pun berhasil membuat kedua karib itu akhirnya bertengkar hingga Syatrabah mati. Namun raja kemudian menyesalkan perbuatannya itu. Melihat hal demikian, semua penduduk hutan risau termasuk seekor harimau yang kemudian tak sengaja mendengar percakapan antara Kalilah dan Dimnah, di sanalah baru tahu bahwa itu hanya rekayasa yang dibuat Daminah. Mendengar hal itu, harimau tersebut memberitahu kepada ibu raja singa dan akhirnya ibunya pun memberitahu anaknya. Raja terkejut mendengar itu dan memanggil Daminah untuk diadili, karena pandainya Daminah, Daminah mampu menangkis semua tuduhan, namun demikian ia tetap dipenjara terlebih dahulu, karena hal itu, Kalilah teramat sedih dan meninggal. Namun pada akhirnya Daminah pun dapat dihukum mati oleh Raja Hutan.
Antara cerita yang terkandung dalam hikayat ini ialah:
i. Hikayat singa dengan lembu
ii. Hikayat burung dara dengan tikus
iii. Hikayat burung hantu dengan gagak
iv. Hikayat kera dengan kura-kura
v. Hikayat orang saleh dengan cempelai
vi. Hikayat tikus dengan kucing
vii. Hikayat raja dengan kakak tua
viii. Hikayat singa dengan serigala yang saleh
ix. Hikayat singa betina dengan tukang pemanah
x. Hikayat raja balad dengan permaisuri irah
xi. Hikayat musafir dengan pandai emas
xii. Hikayat anak raja dengan kawan-kawannya.
sebagaimana yang telah saya jelaskan pada awal kuliah tadi, hikayat cerita berbingkai ini lebih terarah kepada siasah khusus kepada golongan pemerintah atau pembesar. Antaranya ialah
pertama, kiasan tentang dasar-dasar politik dan hubungan yang sepatutnya antara raja dengan pembesar dan sebagainya.
kedua, tentang sikap amanah, setia dan bersatu padu dalam hidup dan persahabatan antara sesama manusia yang dikiaskan melalui cerita burung yang lemah tetapi berkat bersatu padu dapat mengalahkan musuh yang lebih kuat.
ketiga, berkaitan kewajipan raja dan menteri dalam peperangan yang melibatkan strategi-strategi tertentu seperti peperangan dan tipu muslihat seperti dalam cerita burung gagak dan burung hantu.
keempat, penggunaan akal dan kecerdikan dalam melepaskan diri daripada musuh-musuhnya seperti kisah kera melepaskan diri daripada buaya dalam kisah kera dan kura-kura.
dan kelima, petunjuk kepada manusia supaya tidak mengikut hawa nafsu dan sentiasalah bersabar dalam kisah cempelai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan