"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Jumaat, 13 April 2012

FAISAL TEHRANI DAN KESUSASTERAAN ILMU
Mazri b Abd Rahman
1. Biodata Faisal Tehrani
Saya remaja yang agak awal meletakkan sikap. Masalah
remaja kini ialah mereka tidak bersikap. Hal ini dikatakan demikian kerana
mereka tidak bersikap dalam hal kemasukan budaya asing sebagai contoh. Mereka
tidak bersikap dalam hal politik negara yang iklimnya tidak menentu
kebelakangan ini. Mereka tidak bersikap dalam hal agama yang menuntut kita
menerobos masuk wilayah sempit untuk tiba ke samudera yang lebih luas lagi. Mereka
tidak bersikap apa-apa pun. Mereka hanya melulu. Bukan meletakkan sikap pada
sesuatu isu. Oleh sebab terburu-buru itulah mereka masuk ke jaringan yang
rancu. Tanpa sikap, kita tidak dapat menentukan situasi diri kita. Untuk
bersikap, seseorang perlu menggali jati dirinya kembali. Hanya dengan bersikap,
remaja dapat mengenal letak dirinya, sama ada di tengah hedonisme melanda
ataupun di tengah gelodak pluralisme menduga.
(Faisal Tehrani
dalam Dewan Siswa, April 2010)
Mohd Faizal bin Musa atau Faisal
Tehrani dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Hospital Kuala Lumpur. Beliau dibawa
berpindah ke Melaka oleh ibu bapanya semasa berusia 5 tahun dan mendapat
pendidikan rendah di Bandaraya Bersejarah itu, bermula di Sekolah Sacred Heart
dan kemudiannya di Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang. Beliau menyambung
pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga tingkatan
tiga. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran
(SRP), Faisal melanjutkan pelajarannya ke Kolej Islam Kelang (Kolej Islam
Sultan Alam Shah).
Faisal seterusnya meneruskan legasi
pendidikannya ke Akademi Islam Nilam Puri, Kelantan sebelum ke peringat ijazah pertamanya dalam bidang
Syariah Politik di Universiti Malaya pada tahun 1998. Beliau menjadi fellow di Universiti Sains Malaysia di
samping meneruskan pengajian dan mendapat ijazah yang kedua di universiti yang
sama dalam bidang Kesusasteraan pada tahun 2000. Faisal melengkapkan
pengajiannya di peringkat Ph.D di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2010.
Sekarang, beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Penulisan, akademi Seni
Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
2. Karya-karya Faisal Tehrani
Faisal mula
melibatkan diri dalam dunia penulisan seawal usia 16 tahun. Pada ketika itu,
beliau menulis sekadar untuk mendapatkan duit poket menampung perbelanjaan
harian sahaja tetapi lama kemudiannya menjadi suatu minat yang tak dapat
disekat-sekat. Sehingga kini, Faisal telah menghasilkan lebih daripada 30 buah
cerpen, 20 novel, sebilangan skrip drama, antologi puisi dan kritikan. Cerpen
merupakan genre pertama yang dihasilkan oleh Faisal. Cerpen pertama beliau
ialah Anastasia yang tersiar dalam
majalah Muslimah pada tahun 1992. Pada masa itu, kemunculan Faisal dalam dunia
kesusasteraan tidak mendapat perhatian dan sanjungan daripada khalayak
sehinggalah dua tahun berikutnya apabila dua cerpennya, Anak dan Opah telah memenangi Hadiah Sastera Utusan
Malaysia- Public Bank pada tahun 1994.
Semenjak itu,
Faisal tidak menoleh ke belakang lagi. Rentetan cerpen-cerpennya mula menghiasi
ruangan-ruangan sastera di dalam media massa. Antaranya ialah Malam Ini Philadelphia Menangis (1994)
yang telah memenangi Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat pada tahun 1994 , Pemberontakan Kedua (1995) yang
memenangi Hadiah Sastera Utusan 1995. Perempuan
Anggerik (1996), Api KL Belum
Terpadam (1996) turut memberikan rezeki kepada Faisal apabila kedua-dua
cerpen ini memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat untuk
tahun 1996, malah Perempuan Anggerik juga
telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997. Cerpen ini juga
telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai, Inggeris dan Jepun dan turut diadaptasikan kepada dramatari oleh
kareografi terkenal, Jasni Abdul Hamid dari Adikara Dance Theatre pada 29 Julai
2001. Pada tahun 1996 juga, cerpennya, Menanti
Subuh (1996) telah meraih Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS
kelapan.
Surat Untuk Gabe 1 (1997) juga tidak
menghampakan Faisal. Cerpen ini telah meraih anugerah Hadiah Sastera Karya tahun 1997. Cerpen Cinta Gendang Kasturi (1998), Bulan
dan Wira (1999), Irisan-irisan mimpi
(2000), Syahid Raja Api (2000) juga
telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia antara tahun-tahun 1998 hingga
2000. Cerpen Cahaya Pada Jiwa (2001)
pula telah meraih Hadiah Sastera Berunsur Islam pada tahun 2001. Cerpen beliau,
Kerana Manisnya Epal telah dipilih
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai cerpen kajian untuk peringkat SPM.
Antara kumpulan
cerpen yang dihasilkan oleh Faisal ialah Kumpulan
cerpen mini Sehari Dalam Perang
(1997), Kumpulan Cerpen Safari Gilgit
(1997), Kumpulan Cerpen Underground
bersama Azman Husin (2000), Kumpulan
Cerpen Lagi-lagi Underground bersama Saharil Hasril Sanin (2002), Kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo ( Aberdeen World,2006) dan Kumpulan Cerpen Tiga Kali Seminggu
(2010).
Walaupun novel
merupakan genre kedua yang diceburi oleh Faisal tetapi beliau merupakan novelis
yang prolifik. sehingga kini, Faisal telah menghasilkan lebih daripada 20 buah
novel, iaitu, Cinta Hari-hari Rusuhan
(Creative Enterprise, 2000) yang dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera
Perdana tahun 2000/2001. Begitu juga dengan novel Perempuan Politikus Melayu (Penerbitan Pemuda, 2000). Novel ini
mendapat pujian daripada beberapa pengkritik termasuk Prof Madya Amida Abd Hamid,
SM Zakir dan Dato Johan Jaafar yang menganggap novel ini merupakan sebuah novel
yang berani.
Novel 1515 (Utusan Publication & Distributor, 2003) telah menjadi
penanda aras kehebatan Faisal dalam berkarya. Novel ini telah memenangi tempat
pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu-Exxon Mobil pada tahun 2002. 1515 turut dipilih oleh Universiti zu
Koln, Jerman sebagai teks bacaan wajib para mahasiswa Pengajian Melayunya.
Novel ini turut menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 untuk kategori Buku
Umum Fiksyen Bahasa Melayu.
Novel 1511H
[Kombat] (Utusan Publication & Distributor, 2004) menyusul dengan
memenangi hadiah pertama sayembara yang sama pada tahun 2003. Advencer Si Peniup Ney (Utusan
Publication & Distributor, 2005) dan
Detektif Indigo (Utusan
Publication & Distributor, 2004)terus
melonjakkan nama Faisal dalam dunia kesusasteraan.Kedua-dua novel ini
memenangi tempat pertama dan kedua dalam sayembara Hadiah Sastera Utusan
Malaysia-ExxonMobil untuk tahun 2004.
Surat-surat
Perempuan Johor (Aberdeen Books World, 2007) pula memenangi sayembara
Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1 pada tahun 2005. Di samping itu,
novel Bedar Sukma Bisu ( Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2007) meletakkan Faisal
sebagai pengarang tersohor apabila meraih tempat pertama Sayembara Mengarang
Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2007.
Novel ini juga turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2006/2007.
Begitu juga dengan novel Manikam Kalbu
( Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007) yang dihasilkan pada tahun yang sama telah
memenangi tempat pertama Sayembara mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP
2007 kategori remaja dan Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja
Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Manikam Kalbu turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia
2006/2007. Lain-lain novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani ialah maaf Dari Sorga ( 2003), rahsia Ummi (2003), Nama Beta Sultan Alauddin ( Aberdeen
World,2007), Tuhan Manusia (Ameen
Publishing, 2007), Tunggu
Teduh Dulu ( Ameen Publishing, 2008), Detektif
Indigo Kembali ( 2008), Saasatul
Ibaad (Aberdeen World, 2008), Ketupat
Cinta Musim Pertama (2009), Bahlut
(2010) dan Sebongkah Batu di Kuala Berang
(2011)
Selain genre cerpen dan novel, bakat
Faisal dalam bidang kesusasteraan turut terserlah dalam genre drama dan puisi. Antara
hasil garapan Faisal ialah drama Rintih
Chicago yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997, drama Angin Madinah yang memenangi Hadiah
Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan Dewan
Bahasa dan Pustaka dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Drama monsopiad dan lain-lain cerita pula
telah dicalonkan untuk Anugerah
Cameronian Award 2003 kategori skrip drama Malayu terbaik.
Dewan bahasa dan Pustaka telah
memperuntukkan dana untuk mementaskan dua drama Faisal iaitu Misi (1999/2000) yang telah dipentaskan
di Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang
dan drama Tivi yang
diadaptasikan daripada novelet Shahnon Ahmad.
Selain daripada itu, drama-drama
lain yang dihasilkan oleh Faisal ialah Dua
Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun (2008), Karbala (Aberdeen World,2008),
novel drama Bila Tuhan Berbicara
(Ameen Publishing, 2007) dan Kopitiam
Ghadir(2010). Faisal juga pernah menerima anugerah tertinggi kerajaan,
Anugerah Seni Negara pada tahun 2006 dalam bidang penulisan skrip drama pentas.
Dalam bidang puisi pula, Faisal
telah menghasilkan kumpulan puisi pertamanya, Ingin Jadi Nasrallah yang diterbitkan oleh Ameen Publishing pada
tahun 2010. Faisal juga pernah menghasilkan buku panduan penulisan kreatif
iaitu, Karya Nan Indah( Ameen
Publishing, 2007)
3. Kesusasteraan Ilmu
Kertas kerja ini memberi fokus
kepada novel Advencer Si Peniup Ney.
Dalam perbincangan ini, penulis akan menggunapakai teori gagasan Persuratan
Baru (PB) janaan Mohd Affandi Hassan sebagai kerangka kajian.
Dalam PB, ilmu
merupakan sesuatu yang cukup penting dalam berkarya. PB meletakkan ilmu sebagai
teras dalam penghasilan dan penghayatan sastera (Ungku Maimunah,2010:389). Hal
yang demikian kerana PB diasaskan atas tiga prinsip utama iaitu Hakikat Insan,
Hakikat Ilmu dan Amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera yang bermula dan
berpaksikan ayat daripada surah az-Zariyat ayat 56,
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan
untuk mengabdikan diri kepadaKu”


Dan surah al-A’raf
ayat 172 yang bermaksud,
‘Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan
keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman):
“Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: betul (Engkau Tuhan kami), kami
menjadi saksi. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak
mengatakan : “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah
terhadap ini (keesaan Tuhan)”.
PB menggariskan kegiatan kesusasteraan
merupakan ibadah kerana golongan pengkarya ini memiliki ilmu dan kemahiran
mengarang yang tidak dimiliki oleh orang biasa. Sebagai suatu ibadah, seseorang
pengarang mestilah memulakan penulisan dengan niat yang benar dan cara
pelaksanaan yang benar. Ini bertepatan dengan tuntutan agama sebagaimana
dirakamkan di dalam al-Qur’an surah al-Syu’ara ayat 224-227 yang bermaksud,
“Dan
penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat
bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah. Dan bahawasanya mereka suka
menyatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya. Kecuali orang-orang
(penyair-penyair) yang beriman dan beramal salih dan banyak menyebut Allah dan
mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu
kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.”
PB merupakan suatu gagasan yang
meletakkan ilmu sebagai asas dalam segala aspek kehidupan termasuklah bidang
kesusasteraan. Dalam hal ini, PB melihat
kepentingan ilmu sebagai asas penguasaan kesusasteraan. Apa sahaja tindakan dan perilaku manusia
mestilah ditentukan dengan pertimbangan ilmu yang benar. Menurut PB lagi, ilmu
yang benar merujuk kepada ilmu yang berupaya menjadikan manusia mengenali
Penciptanya serta membawa mereka ke arah kebaikan dengan meninggalkan kemungkaran (amal ma’ruf nahi mungkar). Dalam
hal ini, PB menjelaskan bahawa ilmu dalam pengertian yang hakiki ialah ilmu yang membawa manusia kepada
Allah melalui tanda-tanda yang telah
diperlihatkanNya kepada manusia. Berdasarkan
Ilmu merupakan
sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia untuk membuat pertimbangan baik
atau buruk sesuatu perkara khususnya dalam hubungan antara manusia dengan
manusia dan antara manusia dengan Penciptanya. Dalam hal ini, Mohd Affandi
Hassan(1992:20) mengkategorikan sumber ilmu kepada tiga iaitu ilmu wahyu, ilmu
bersumberkan akal dan pengetahuan. Antara ketiga-tiga sumber ini, wahyu berada
pada kedudukan tertinggi kerana wahyu itu sendiri datangnya terus daripada
Allah kepada para nabi. Melalui wahyulah, kita dapat mengetahui hal-hal
berkaitan kewujudan Allah dan perkara-perkara yang ghaib seperti syurga,
neraka, pembalasan di akhirat dan hakikat kejadian manusia itu sendiri.
Mohd Affandi
juga turut membezakan antara ilmu dan pengetahuan. Menurut beliau, ilmu berada
setahap lebih tinggi daripada pengetahuan. Hal yang demikian kerana ilmu
diperolehi melalui keimanan di mana pemerolehan ilmu itu adalah anugerah oleh
Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya manakala pengetahuan pula diperolehi
melalui akal melalui pencarian, pembelajaran, dan usaha sendiri. Kerana itulah
biasanya ilmu lebih mendorong ke arah kerja kebaikan manakala pengetahuan lebih
menjurus kepada perlakuan yang negatif.
Dalam hal ini,
sebagai insan yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian dan dilantik sebagai
khalifah Allah di atas muka bumi ini, kita perlu mengadunkan antara ilmu dan
pengetahuan agar dapat bergerak seiring. Pengetahuan diperlukan untuk mencapai
tahap terbaik dalam kehidupan kita tetapi ilmu yang didorong oleh keimanan akan
menjadi panduan dan benteng agar kita tidak terjerumus ke suatu tempat yang
tidak sepatutnya atau dengan kata lain, ilmu
akan membantu kita ke arah hakikat kejadian kita sebagai hamba Allah
yang bersyukur.
Dalam soal
berkaitan ilmu ini, agama Islam turut meletakkan ilmu (dan pengetahuan) sebagai
sesuatu yang cukup penting dan bernilai
dalam kehidupan. Ini bertepatan dengan ayat pertama yang diwahyukan kepada nabi
Muhammad SAW. Firman Allah dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud,
‘Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Ia
menciptakan manusia daripada sebuku dara beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia
apa yang tidak diketahuinya.’
4. Analisis Novel Advencer Si Peniup Ney.
Dalam penulisan, Faisal berpegang
pada prinsip saya menulis bukan sahaja
untuk khalayak hari ini tetapi juga untuk khalayak esok. Atas keadaan
itulah kebanyakan karya Faisal lebih menjurus kepada karya keilmuan yang jarang
diketengahkan oleh penulis lain. Dalam kertas kerja ini, kita akan melihat
beberapa pengetahuan dan ilmu yang terdapat dalam dua novel Faisal yang dipilih.
Dalam novel Advencer Si Peniup Ney, Faisal
mengetengahkan dan membicarakan isu hedonisme dalam kalangan masyarakat. Advencer Si Peniup Ney telah memenangi
tempat pertama Pertandingan Novel Remaja
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Sebagaimana kita sedia maklum, masyarakat
kita sejak dari dahulu hingga sekarang terpengaruhi dengan budaya hiburan.
Persembahan nyanyian sudah sebati dengan apa sahaja program yang dilaksanakan. Pelbagai
rancangan realiti TV yang memberikan fokus kepada bidang hiburan kerap
dipertontonkan. Ini tidak termasuk konsert-konsert nyanyian yang kerap
terpampang di kata TV. Sikap masyarakat terutama golongan muda menjadikan
artis-artis sebagai idola dan mengagungkan mereka sebenarnya membawa kepada
kerosakan dalam masyarakat itu sendiri. Hal yang demikian kerana pengaruh muzik
yang kebanyakannya melalaikan dan menjurus kepada berlakunya perkara-perkara
yang negatif dan merugikan.
Atas kesedaran
itulah Faisal menghasilkan novel ini, sesuai dengan pernyataan di awal
penulisan ini, seseorang itu perlu memiliki sikap dan jati diri. Antara yang
disentuh oleh Faisal ialah bagaimana muda-mudi sekarang begitu
mengagung-agungkan muzik dan nyanyian tanpa mengetahui bahawa semua itu adalah
agenda Yahudi berdasarkan protokol Perkara XIII-3 yang antara lain menjadikan
kesenian dan kesukanan seperti hiburan, keghairahan, nyanyian dan lain-lain
lagi untuk menyesatkan golongan muda dan dalam konteks ini pemuda Islam (halaman
23).
Sebagai sebuah
novel ilmu, Faisal telah mengemukakan beberapa fakta yang merupakan suatu ilmu
sebagaimana tuntutan PB iaitu, yang diperlukan oleh manusia untuk membuat
pertimbangan baik buruk sesuatu perkara dan membawa manusia kepada hubungan
yang baik antara sesama manusia atau dengan Rabbuljalil.
Perkara pertama
ialah kedudukan muzik dalam Islam. Sebilangan besar meletakkan muzik itu
sebagai sesuatu yang haram, bahkan Imam Syafei ada mengatakan bahawa muzik dan
nyanyian adalah makruh dan hanya diamalkan oleh orang safih atau bodoh (halaman
33). Menurut ulama fikah pula, apa sahaja nyanyian kecuali nyanyian kanak-kanak
di majlis perkahwinan hukumnya haram (halaman 33). Sebuah hadis nabi Muhammad
SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang antara lain bermaksud, pada akhir
zaman nanti, sekumpulan umat Islam yang berhibur dengan alat bunyian dan
penyanyi wanita akan ditukar wajahnya menjadi monyet dan babi(halaman 32). Walaupun
begitu, ada pandangan ulama mazhab zahiriyyah dan sufiyah yang membolehkan
hiburan sebagai memenuhi naluri manusia( halaman 34). Ini bersandarkan
pandangan bahawa muzik itu haram bukan kerana zatnya tetapi kerana hal-hal lain
seperti nyanyian yang menyanjungi kezaliman dan gaya dan penampilan yang
membangkitkan rangsangan (halaman 91-92)
Namun begitu,
Faisal, lewat novel ini turut memberikan pengetahuan tentang muzik dalam Islam.
Dijelaskan bahawa zikir adalah muzik yang utama dalam Islam kerana melalui
zikir, yakni mengingati Allah akan menjadikan jiwa tenteram kerana zikir adalah
makanan hati (halaman 61). Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah
al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud,
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka
manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati
Allah-lah hati menjadi tenteram
Di samping itu, notasi dalam muzik iaitu, do
re, mi fa, so, la, dan ti mempunyai persamaan dengan abjad-abjad Arab iaitu, da, ra, mim, fa, sod, lam, ta (halaman
48). Muzik turut digunakan oleh Sultan Beyazid Kedua di Turki untuk mengubati
pesakit malah Sultan Beyazid juga telah menubuhkan sebuah kompleks kesihatan menggunakan
muzik sebagai terapi (halaman 190).
Di samping itu, Faisal
turut memberikan pandangan sejarah notasi muzik. Ramai ahli muzik moden
berpendapat bahawa notasi muzik adalah ciptaan Guido Arezzo dari Itali sejak
tahun 1026 masehi lagi tetapi hakikat yang sebenarnya, notasi muzik ini
dihasilkan oleh orang Islam. Dikatakan Arezzo pernah belajar di Catalogna,
Andalusia yang dikuasai oleh kerajaan Islam dan berguru dengan Ibnu Farnes
dan Zariyab, pensyarah muzik tersohor di
Andalusia(47-50).
Umat Islam juga
dikatakan sebagai pelopor dalam bidang muzik ini. semasa pemerintahan kerajaan
Umaiyyah, telah terdapat pelajaran berkaitan sout atau bunyi, talif atau
gubahan, iqa atau ritma. Selain itu, Ibnu Farabi telah
menulis kitab-ul-Musiqi yang
membicarakan konsonan dalam muzik(halaman 58) dan Ibnu Kindi menggunakan muzik
sebagai terapi mengubati sakit lumpuh seorang kanak-kanak (halaman 60).
5. Kesimpulan
Berdasar analisis ringkas yang
dinyatakan di atas, Faisal banyak mengemukakan aspek-aspek keilmuan yang
menjadi teras kepada cerita. Dengan kata lain, Faisal melalui Advencer Si Peniup Ney menggunakan ilmu
dalam membangunkan cerita. Bermula daripada peringkat awal penceritaan lagi, Advencer Si Peniup Ney mengetengahkan kegilaan
golongan muda terhadap muzik. Mereka menjadikan muzik sebagai suatu yang
penting dalam kehidupan sehingga lalai dan leka dan melupakan kehidupan
beragama. Faisal memberikan penyelesaian keilmuan dengan memberikan pandangan
dan pendapat tentang muzik dan kedudukan muzik itu sendiri dalam Islam. Dengan
mengemukakan dalil naqli dan akli, ilmu muzik dimartabatkan sesuai dengan tuntutan
agama. Sebagai konklusinya, Advencer Si
Peniup Ney menepati konsep PB dengan menjadikan sebuah karya kesusasteraan
itu sebagai wadah perjuangan ilmu dan bukannya sebagai sebuah karya penceritaan
semata-mata.
Rujukan
Faisal
Tehrani (2005), Advencer Si Peniup Ney,
Utusan Publications & Distributors Sdn
Bhd, Kuala Lumpur.
Mohd Affandi
Hassan (1992), Pendidikan Estetika
Daripada Pendekatan Tauhid,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur.
Mohd Affandi
Hassan, Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Mohd Zariat Abdul Rani (2008),
Gagasan
Persuratan Baru: pengenalan dan Penerapan, ATMA UKM, Bangi.
Syed Muhammad
Naguib al-Attas (2007), Tinjauan Ringkas
Peri Ilmu dan Pandangan Alam,
Penerbit USM, Pulau Pinang.
Ungku
Maimunah Mohd Tahir (2010), Kedudukan
Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan
Praktis, ATMA UKM, Bangi

Selasa, 22 November 2011

PEMULIHAN 2

KANAK-KANAK ISTIMEWA
Kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan khas boleh digolongkan dalam tujuh kategori seperti yang berikut:
Kanak-kanak kerencatan akal (mentally retarded)
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran (learning disabilities)
Kanak-kanak kecelaruan tingkah laku (behavioral disorders)
Kanak-kanak cacat pendengaran dan bermasalah komunikasi
Kanak-kanak cacat penglihatan
Kanak-kanak cacat fizikal (psikomotor atau neurosis)
Kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat istimewa
Di sini kita akan membincangkan dua kategori secara ringkas.

1. Kanak-kanak Kerencatan Akal
Kanak-kanak kerencatan akal ialah kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan (Intelligent Quotient, IQ) di antara 35 hingga 85. Kanak-kanak kategori ini biasanya menghadapi kerosakan sistem saraf akibat masalah kelahiran, kecederaan, warisan baka keluarga, kekurangan zat makanan atau gangguan hormon dan sebagainya.
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan antara 50-70 merupakan kadar kecacatannya ringan atau sederhana. Mereka boleh dididik dan dilatih di sekolah. Kanak-kanak cacat ini adalah digolongkan dalam kumpulan murid yang belajar lambat (slow learners).
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di antara 35-49 biasanya menghadapi masalah menjaga diri sendiri. Mereka hanya boleh dilatih mengurus hal peribadi seperti memakai pakaian, memakan, membuang air dan sebagainya. Mereka sukar dididik kerana kekurangan kemahiran untuk belajar. Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di bawah 35 merupakan kecacatan mental yang buruk. Mereka kurang keupayaan untuk berdikari dan memerlukan penjagaan yang rapi.

Kanak-kanak cacat yang mempunyai Darjah Kecerdasan antara 50-70 boleh dididik dan juga boleh dilatih. Ciri-ciri mereka dapat diperhatikan seperti berikut:
Kanak-kanak ini boleh mengikuti pelajaran dari tahun 2 hingga tahun 4, sehingga mereka mencapai umur 16 tahun.
Taraf akademik bagi kanak-kanak ini adalah di antara setengah hingga tiga-perempat daripada taraf pencapaian murid-murid biasa.
Kanak-kanak ini hanya boleh membaca atau memahami konsep Matematik secara formal pabila umur mereka mencapai di antara 9 hingga 12 tahun.
Sukar bagi mereka belajar konsep yang abstrak.
Ingatan mereka tidak kekal, dan cepat lupa apa yang baru dipelajari.
Mereka belajar lambat, dan perlukan banyak aktiviti pengukuhan untuk mengekalkan kemahiran.
Mereka hanya boleh belajar satu kemahiran asas dalam satu tempoh masa sahaja, dan tidak berupaya belajar lebih dari satu kemahiran secara serentak ataupun konsep yang abstrak.

Kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan di antara 35-49 hanya boleh dilatih sahaja. Ciri-ciri kanak-kanak ini boleh diperhatikan seperti berikut:
Kanak-kanak golongan ini boleh dilatih untuk menguruskan hal peribadi sendiri, seperti memakai baju, makan, menjaga diri sendiri, buang air dan sebagainya.
Kanak-kanak ini tidak berupaya belajar kecuali dengan cara menghafaz. Mereka tidak boleh mengikuti pelajaran di sekolah biasa.

Kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan di bawah 35 tidak boleh berdikari langsung. Kanak-kanak golongan ini mudah dikenal pasti kerana mereka tidak boleh menjaga diri dalam sebarang urusan hal peribadi. Mereka memerlukan bantuan orang normal untuk menolong mereka, seperti makan, membersihkan badan, memakai baju dan aktiviti-aktiviti harian yang lain.

2. Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah murid-murid yang tidak berupaya mengikuti pelajaran dalam kelas biasa. Punca kanak-kanak sering menghadapi masalah pembelajaran biasanya disebabkan masalah keluarga atau peribadi atau kedua-duanya. Golongan kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini biasanya mempunyai konsep kendiri negatif, motivasi rendah, sifat introvert, tabiat malas berusaha, kekurangan minta dan kecenderungan dalam pelajaran ataupun sering sakit.
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran tidak meliputi mereka yang cacat yang memerlukan perkhidmatan berganda serta pendidikan khas yang lebih canggih. Selain itu, kanak-kanak yang tidak berpeluang belajar, tetapi boleh belajar dengan kaedah biasa, tidak pula digolongkan dalam kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Benan (1974) merujuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran sebagai murid belajar lambat (slow learners). Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini mempunyai tahap keupayaan intelek sederhana atau sedikit lebih daripada intelek kanak-kanak normal. Mereka mempunyai kebolehan melihat tetapi kekurangan kemahiran menerima, mengurus, menyusun, menyimpan dan mengingat stimuli visual dengan berkesan. Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini dapat dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:
Mempunyai konsep kendiri rendah dan tidak mempunyai harapan untuk kejayaan dalam bidang akademik.
Masa menumpukan perhatian terhadap pelajaran adalah singkat, dan perhatiannya mudah dialihkan oleh rangsangan luar.
Hanya boleh mengikuti pelajaran atau arahan yang ringkas dan jelas sahaja.
Tidak peduli dan tidak berbangga sahsiah sendiri.

Peranan Guru Resos dan Guru Biasa: Pengajaran Kanak-kanak Istimewa Secara Kolaboratif Dan Koperatif

Mengikut Program Pendidikan Inklusif, kanak-kanak istimewa, sama ada cacat atau pintar-cerdas, ditempatkan di dalam kelas biasa mengikut umur seperti kanak-kanak biasa. Ini bermakna guru biasa hendaklah juga mengajar mereka bersama dengan kanak-kanak biasa. Dalam keadaan ini, kanak-kanak istimewa pula terpaksa mengikuti pendidikan kurikulum biasa bersama dengan kanak-kanak biasa. Bagi sekolah yang belum sempat melaksanakan program pendidikan khas, guru biasanya menggunakan kaedah kumpulan untuk menguruskan aktiviti pemulihan bagi kanak-kanak lambat (slow learners) kerana kecacatan bidang tertentu, dan menguruskan aktiviti pengayaan bagi murid-murid pintar-cerdas.
Bagi sekolah yang mendapat peluang bagi melaksanakan program pendidikan khas kerana diperuntukkan guru pendidikan khas atau guru resos serta kemudahan-kemudahan yang sesuai dan lengkap, guru biasa akan bekerjasama dengan guru resos itu.
Untuk menjayakan program pendidikan khas, guru biasa hendaklah mengajar secara kolaboratif dan koperatif dengan guru resos, berusaha bersama-sama menyediakan inventori untuk mengenal pasti kanak-kanak istimewa, merancang program pengajaran, menyediakan alat-alat bantu mengajar, menentukan strategi, kaedah dan teknik mengajar, serta isi pelajaran dan penilaian. Melalui usaha secara kolaboratif dan koperatif antara guru biasa dan guru resos, program pendidikan khas yang dirancangkan untuk kanak-kanak istimewa dapat dilaksanakan dengan licin dan sempurna, dan matlamat memperkembangkan potensi dan bakat mereka secara sepenuhnya dapat dicapai dengan jayanya.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Keberkesanan Pendidikan Kanak-kanak Istimewa Dalam Kelas Biasa

Faktor utama yang menjayakan program pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam kelas biasa ialah kerjasama dan kolaborasi antara guru resos dan guru biasa. Keberkesanan pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa dalam kelas biasa amat bergantung pada faktor yang berikut:
Ada peruntukan guru khas atau guru resos yang terlatih dan berpengalaman.
Guru Besar/Pengetua dan guru-guru biasa telah memahami program pendidikan khas dan sudi melaksanakannya dengan penuh minat dan dedikasi.
Ada dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan untuk program pendidikan khas, misalnya alat bantu mengajar, bilik khas, pusat sumber dan sebagainya.
Terdapat hubungan baik antara guru resos, pihak sekolah dan ibu bapa yang terbabit.
Dapat menyediakan dan menguruskan ujian saringan dan ujian diagnostik secara berkesan.
Dapat memberi layanan yang berpatutan untuk murid-murid istimewa.
Berjaya menggalakkan interaksi dan kerjasama antara murid-murid istimewa dengan murid-murid biasa di sekolah.
Berjaya menguruskan khidmat bimbingan dan kaunseling untuk murid-murid istimewa dan ibu bapa yang terlibat.
Dapat mengurangkan bilangan murid dalam kelas dengan tidak melebihi 30 orang.

Konsep Pendidikan Inklusif

Di bawah konteks pendidikan, pendidikan inklusif boleh diertikan sebagai pendidikan umum, iaitu setiap orang individu, sama ada normal, pintar-cerdas atau cacat, adalah berhak diberi peluang pendidikan umum. Ini adalah Dasar Pendidikan Negara dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang berbunyi:
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang berpendidikan untuk perkembangan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani emosi, sosial dan jasmani, supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan berupaya memberi sumbangan terhadap keharmonian serta kemakmuran masyarakat dan negara.
Setiap orang, sama ada normal, pintar-cerdas atau cacat, mempunyai potensi yang tersendiri. Potensi ini adalah dimiliki oleh manusia sejak lahir. Ia meliputi unsur-unsur seperti intelek, rohani, emosi dan jasmani. Potensi individu ini dapat diperkembangkan dan dipertingkatkan melalui proses pendidikan.
Di samping kanak-kanak normal dan pintar-cerdas, kanak-kanak cacat juga mempunyai potensi tersendiri. Potensi kanak-kanak ini juga boleh dididik dan diperkembangkan supaya menjadi rakyat yang berguna. Oleh itu, kanak-kanak cacat harus juga diberi peluang menerima pendidikan di bawah satu program khas sesuai dengan potensi dan kebolehan mereka.
Berdasarkan falsafah dan tujuan pendidikan yang dihuraikan di atas, Pendidikan Inklusif merupakan peluang pendidikan umum yang diberikan kepada semua kanak-kanak Malaysia, termasuk kanak-kanak cacat. Di bawah program Pendidikan Inklusif ini, kanak-kanak cacat khasnya, yang mempunyai potensi belajar, adalah ditempatkan dalam kelas biasa di bawah bimbingan seorang guru resos (guru terlatih khas) yang bekerjasama dengan guru-guru biasa.
Bagi kanak-kanak cacat yang tidak mengikuti kurikulum biasa pada peringkat permulaan, mereka akan ditempatkan di dalam Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP). Kanak-kanak ini akan mengikuti satu program pendidikan khas, semata-mata diajar oleh guru terlatih khas atau guru resos. Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan Taman Segar di Cheras yang mula melaksanakan program pendidikan khas untuk kanak-kanak cacat pada tahun 1995, kini mempunyai 55 orang kanak-kanak cacat berumur di antara 6 hingga 14 tahun. Mereka ditempatkan di beberapa Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran yang dikelolakan oleh seorang penyelia, 15 guru dan 2 orang guru pembimbing. Kanak-kanak cacat ini mengikuti satu program pendidikan khas yang dirancangkan berdasarkan kebolehan mereka. Selain pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris, mereka pula diajarkan kemahiran manipulatif seperti berkebun, membasuh, menggosok dan memasak. Apabila kanak-kanak cacat itu mencapai kemajuan yang memuaskan, mereka yang berkenaan akan ditempatkan dalam kelas biasa sesuai dengan taraf pencapaian mereka. Di Malaysia, sehingga tahun 1996, Program Pendidikan Inklusif telah dilaksanakan di dalam 224 buah sekolah di seluruh Malaysia.

KONSEP PENDIDIKAN KHAS

Secara am, Pendidikan Khas ialah program pendidikan dirancang khusus untuk kanak-kanak istimewa, iaitu kanak-kanak cacat dan juga kanak-kanak pintar-cerdas.
Secara khususnya, Pendidikan Khas merujuk kepada satu pendekatan, rancangan pendidikan, strategi, kaedah dan teknik mengajar, untuk kanak-kanak bukan normal tetapi luar biasa kerana mereka tidak akan dapat faedah dan pencapaian yang sepatutnya daripada program sekolah biasa.
Mengikut Dr. Chua Tee Tee (1982), pendidikan khas ini adalah satu program dirancangkan khas untuk kanak-kanak istimewa, atau luar biasa dari segi intelek, jasmani, sosial atau emosi. Mereka tidak akan dapat mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa, hinggakan mereka tidak berupaya mendapat faedah sepenuhnya daripada program pendidikan sekolah biasa.
Kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan khas boleh digolongkan dalam 7 kategori seperti berikut:
Kanak-kanak kerencatan akal (mentally retarded)
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran (learning disabilities)
Kanak-kanak kecelaruan tingkah laku (behavioral disorders)
Kanak-kanak cacat pendengaran dan bermasalah komunikasi
Kanak-kanak cacat penglihatan
Kanak-kanak cacat fizikal (psikomotor atau neurosis)
Kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat istimewa
Program Pendidikan Khas menegaskan kepentingan memelihara setiap kanak-kanak yang mempunyai potensi yang berbeza. Potensi ini mewujudkan pelbagai keperluan pendidikan. Kanak-kanak ini hendaklah diberi peluang mengikuti satu program pendidikan khas yang sesuai dengan potensi mereka. Program Pendidikan Khas ini akan dapat memperkembangkan potensi mereka secara optimum, dan seterusnya menjadi rakyat yang berguna, berupaya memberi sumbangan dan perkhidmatan kepada negara.
Berlandaskan kepada kenyataan di atas, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1986 mengisytiharkan Falsafah Pendidikan Khas yang berbunyi:
“Falsafah Pendidikan Khas ialah untuk meyediakan peluang yang sama kepada kanak-kanak khas seperti yang diberi kepada kanak-kanak biasa untuk perkembangan psikologi yang seimbang. Falsafah ini diselaraskan dengan objektif untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat…dan…untuk memastikan bahawa sistem pendidikan itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.”
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara, tujuan pendidikan khas ialah memperkembangkan potensi kanak-kanak istimewa dari segi intelek, jasmani, sosial dan emosi secara optimum. Dengan cara demikian, kanak-kanak istimewa ini dapat peluang dilatih menjadi rakyat yang berguna, dan seterusnya memberi sumbangan, bersama-sama dengan rakan-rakan normal mereka, terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Untuk mencapai tujuan tersebut, Kementerian Pendidikan telah menentukan 8 strategi berikut supaya melaksanakan program pendidikan khas bagi kanak-kanak istimewa di negara kita.
Menyediakan peluang persekolahan dengan membina sekolah-sekolah khas dan kelas khas bermasalah pembelajaran untuk kanak-kanak cacat.
Melatih kanak-kanak cacat dengan kemahiran dan vokasional yang membolehkan mereka menjadi warganegara yang berguna.
Melalui Bimbingan dan Kaunseling untuk pihak yang berkenaan agar mengikis pandangan atau sikap negatif terhadap ketidakupayaan kanak-kanak cacat menjalankan aktiviti pembelajaran di sekolah.
Menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bagi kanak-kanak cacat dengan tujuan meningkatkan konsep kendiri dan membantu mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran hidup yang sebenar.
Melatih tenaga pengajar dengan melaksanakan program pendidikan khas dengan berkesan.
Menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak cacat supaya mereka dapat bekerjasama dengan pihak sekolah, demi mempertingkatkan peluang menjayakan program pendidikan khas dan mencapai tujuannya dengan berkesan.
Menyediakan kemudahan perubatan dan penyelidikan untuk merawat atau memulihkan kecacatan fizikal, mental atau emosi kanak-kanak cacat.
Bekerjasama dengan agensi persendirian atau pertubuhan sukarela untuk membantu mereka dari segi kewangan atau latihan untuk orang cacat.
Di Malaysia, program pendidikan khas telah dilaksanakan mengikut dua model berikut:
Program pendidikan khas diintegrasikan dengan program pendidikan biasa dalam institusi pendidikan yang sama.
Program pendidikan khas dilaksanakan dalam institusi khas, misalnya sekolah kanak-kanak buta dan sekolah kanak-kanak bisu dan tuli.
Kedu-du model tersebut di atas telah ditunjukkan dalam Jadual 13.1. Biasanya kanak-kanak buta atau pekak sekali adalah ditempatkan dalam sekolah khas. Manakala, kecacatan kanak-kanak yang bukan buruk adalah ditempatkan di dalam Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP) yang terletak di bawah pentadbiran sekolah biasa.

JENIS KANAK-KANAK ISTIMEWA

Sebagaimana yang telah dijelaskan, kanak-kanak istimewa adalah diklasifikasikan dalam tujuh kategori, iaitu kanak-kanak kerencatan akal, kanak-kanak bermasalah pembelajaran, kanak-kanak kecelaruan tingkah laku, kanak-kanak cacat pendengaran, kanak-kanak cacat penglihatan, kanak-kanak cacat fizikal, dan kanak-kanak pintar-cerdas.

1. Kanak-kanak Kerencatan Kala (Mentally Retarded)
Kanak-kanak kerencatan akal ialah kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan (Intelligent Quotient, IQ) di antara 35 hingga 85. Kanak-kanak kategori ini biasanya menghadapi kerosakan sistem saraf akibat masalah kelahiran, kecederaan, warisan baka keluarga, kekurangan zat makanan atau gangguan hormon dan sebagainya.
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan antara 50-70 merupakan kadar kecacatannya ringan atau sederhana. Mereka boleh dididik dan dilatih di sekolah. Kanak-kanak cacat ini adalah digolongkan dalam kumpulan murid yang belajar lambat (slow learners).
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di antara 35-49 biasanya menghadapi masalah menjaga diri sendiri. Mereka hanya boleh dilatih mengurus hal peribadi seperti memakai pakaian, memakan, membuang air dan sebagainya. Mereka sukar dididik kerana kekurangan kemahiran untuk belajar apa mata pelajaran pun di sekolah.
Kanak-kanak cacat yang mempunyai darjah kecerdasan di bawah 35 merupakan kecacatan mental yang buruk. Mereka kurang keupayaan untuk berdikari dan memerlukan penjagaan yang rapi.

Mengenal Pasti Kanak-kanak Kerencatan Akal.

Untuk mengenal pasti kanak-kanak kerencatan akal, kita boleh menggunakan Ujian Mengukur Darjah Kecerdasan yang disyorkan oleh Binat dan Terman, dengan mengaitkan dengan umur akal kanak-kanak kepada umur masanya. Mengikut Terman, seorang kanak-kanak yang umur masanya genap 10 tahun boleh menjayakan sesuatu ujian yang dijangkakan, boleh disempurnakan oleh kanak-kanak normal yang juga berumur 10 tahun, maka umur akal adalah sama dengan umur masanya. Dalam kes ini, kanak-kanak tersebut mempunyai kebolehan akal yang normal mengikut umurnya. Jika umur kanak-kanak kurang 10 tahun, maka kanak-kanak itu dikatakan mempunyai kebolehan yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang berumur sama dengannya. Jika umur kanak-kanak itu lebih 10 tahun, maka dia mempunyai kebolehan akal yang lebih rendah daripada kanak-kanak yang berumur sama dengannya.

2. Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran (Learning Disabilities)

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah murid-murid yang tidak berupaya mengikuti pelajaran dalam kelas biasa. Punca kanak-kanak sering menghadapi masalah pembelajaran biasanya disebabkan masalah keluarga atau peribadi atau kedua-duanya. Golongan kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini biasanya mempunyai konsep kendiri negatif, motivasi rendah, sifat introvert, tabiat malas berusaha, kekurangan minta dan kecenderungan dalam pelajaran ataupun sering sakit.
Definisi untuk kanak bermasalah pembelajaran yang diterima umum adalah definisi digariskan oleh Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak Cacat pada tahun 1986. Definisi ini adalah diturunkan seperti berikut:
“Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah dimanifestasikan daripada salah satu atau beberapa proses psikologi yang melibatkan gangguan tatatertib dalam kefahaman dan penggunaan bahasa lisan atau tulisan.”
Mengikut Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Bagi Kanak-kanak Cacat, keadaan gangguan tertib tersebut dapat diperlihatkan daripada proses mengingat semula peristiwa lama, pemikiran, pertuturan, membaca, mengeja atau mengira. Ini juga termasuk keadaan-keadaan yang dirujuk sebagai handicap persepsi, dyslexia, asphyxia, dan kecederaan ringan otaknya.
Bagaimanapun, kanak-kanak bermasalah pembelajaran tidak melibatkan kanak-kanak cacat menghadapi masalah pembelajaran kerana kecacatan mental (kerencatan akal), penglihatan, pendengaran, emosi dan fizikal. Kanak-kanak cacat ini memangnya ada masalah pembelajaran, tetapi mereka memerlukan perkhidmatan berganda serta pendidikan khas yang lebih canggih daripada kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Selain itu, kanak-kanak yang tidak berpeluang belajar, tetapi boleh belajar dengan kaedah biasa, tidak pula digolongkan dalam kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Berdasarkan definisi dan huraian di atas, keadaan kanak-kanak bermasalah pembelajaran khusus dirujuk sebagai halangan psikologi atau neurologikal terhadap gerak balas bahasa, sama ada lisan atau tulisan, persepsi kognitif, atau aktiviti psikomotor. Halangan ini dapat dihuraikan daripada kriteria-kriteria berikut:
Percanggahan di antara tingkah laku yang spesifik dengan kebolehan atau pencapaian kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Mereka tidak berupaya mengikuti kaedah mengajar khas untuk membantu mereka belajar.
Kaedah mengajar khas ini bukan digunakan terutamanya untuk mengajar kanak-kanak yang tidak berpeluang belajar.
Benan (1974) merujuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran sebagai murid belajar lambat (slow learners). Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini mempunyai tahap keupayaan intelek sederhana atau sedikit lebih daripada intelek kanak-kanak normal. Mereka mempunyai kebolehan melihat tetapi kekurangan kemahiran menerima, mengurus, menyusun, menyimpan dan mengingat stimuli visual dengan berkesan. Mengikut beliau, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini dapat dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:
Mempunyai konsep kendiri rendah dan tidak mempunyai harapan untuk kejayaan dalam bidang akademik.
Masa menumpukan perhatian terhadap pelajaran adalah singkat, dan perhatiannya mudah dialihkan oleh rangsangan luar.
Hanya boleh mengikuti pelajaran atau arahan yang ringkas dan jelas sahaja.
Tidak peduli dan tidak berbangga sahsiah sendiri.
Haigh (1977) membahagikan murid-murid bermasalah pembelajaran kepada tiga kumpulan, iaitu:
Kumpulan murid-murid yang mempunyai kebolehan terhad.
Kumpulan murid-murid yang mempunyai kebolehan normal, tetapi sering menghadapi masalah pembelajaran dalam salah satu atau beberapa mata pelajaran.
Kumpulan murid-murid yang mempunyai kebolehan belajar, tetapi menghadapi masalah-masalah yang berkaitan dengan faktor-faktor persekitaran seperti ponteng sekolah, atau mempunyai keluarga yang bermasalah.

Mengenal Pasti Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran: Satu Rumusan

Berdasarkan huraian-huraian di atas, kanak-kanak bermasalah pembelajaran dapat dikenal pasti dengan ciri-ciri yang dirumuskan berikut:
Pencapaian akademik keseluruhannya tidak sampai tahap memuaskan.
Lemah pencapaian dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa
Sering mengantuk dalam kelas.
Tidak menunjukkan minat dalam pelajaran.
Sentiasa menjauhkan diri daripada rakan-rakan sedarjah atau guru.
Hanya berupaya memberi tumpuan singkat terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Sering meniru atau menyalin kerja rumah rakan sedarjah, atau tidak membuat kerja rumah langsung.
Ingatan lemah, mudah lupa.
Bersifat pemalu dan introvert.
Bersifat pendiam dan tidak berani bertanya.
Sering ponteng sekolah.
Masalahnya tidak dipedulikan atau tidak dapat dibantu mengatasinya oleh anggota keluarga.
Mempunyai konsep kendiri rendah.
Tidak menghargai sahsiah diri sendiri.
Mereka bukan murid-murid lembam yang gagal sama sekali di sekolah. Mereka mungkin menghadapi masalah dalam Matematik, tetapi tidak boleh mencapai peringkat lulus dalam Bahasa, dan dapat prestasi baik dalam seni lukis, Kemahiran Manipulatif atau mata pelajaran yang lain.

3. Kanak-Kanak Kecelaruan Tingkah Laku (Behavorial Disorders)

Secara am, kanak-kanak kecelaruan tingkah laku boleh diklasifikasikan kepada empat kategori seperti berikut:
Tingkah laku terbias: mempunyai tingkah laku yang menentang autoriti, tidak memenuhi peraturan atau undang-undang, kurang bertimbang rasa dan suka menyerang orang. Kanak-kanak golongan ini adalah hiperaktif atau hiperkinetik.
Sifat pengongkongan dalaman: kanak-kanak yang bersifat pemalu, pendiam, sensitif, pasif, tidak suka berkawan, dan mudah tersinggung. Mereka melakukan tindakan di luar dugaan.
Tingkah laku ketidakmatangan: kanak-kanak yang kurang berupaya menumpukan perhatian dalam pelajaran. Mereka tidak berminat belajar, sering berkhayal dan tidak mengendahkan nilai kendiri sendiri.
Tingkah laku antisosial: kanak-kanak sering bertindak liar dan kerap menimbulkan masalah disiplin sekolah seperti memeras, mengugut, mencuri, ponteng kelas da ponteng sekolah.

Kanak-kanak kecelaruan tingkah laku boleh dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:
Bersifat hiperaktif, hiperkinetik dan hiperagresif.
Menunjukkan sifat penarik diri dan sering memencilkan diri daripada kumpulan sebaya.
Bersifat pemalu dan pendiam.
Suka membohong dan sentiasa berkhayal.
Suka mencuri barang orang lain.
Mudah kehilangan akal dan perasaannya amat sensitif.
Mempunyai nilai kendiri yang amat negatif.
Suka menentang autoriti dan sering melanggar peraturan sekolah.
Tidak berminat belajar dan sering ponteng sekolah.

4. Kanak-kanak Cacat Pendengaran Dan Bermasalah Komunikasi

Kanak-kanak cacat pendengaran sering menghadap masalah komunikasi dan sukar mempelajari sebutan perkataan-perkataan dengan jelas dan tepat.
Kanak-kanak cacat pendengaran biasanya digolongkan dalam dua kumpulan, iaitu kanak-kanak cacat pendengaran pretutur (prelingual) dan kanak-kanak cacat pendengaran postutur (postlingual).
Kanak-kanak cacat pendengaran pretutur adalah kanak-kanak pekak dari sejak lahir, manakala kanak-kanak cacat pendengaran postutur adalah cacat pendengaran separa atau sepenuhnya, yang berlaku selepas telah mempunyai pengalaman bercakap. Memangnya, kanak-kanak cacat pendengaran dalam peringkat pretutur menghadapi masalah pembelajaran dan masalah komunikasi lebih teruk daripada kanak-kanak cacat pendengaran dalam peringkat postutur. Punca-punca cacat pendengaran biasanya disebabkan kerosakan gegendang telinga, saraf pendengaran ataupun warisan baka.
Kanak-kanak cacat pendengaran boleh dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:

Bersifat pendiam, pemalu dan tidak suka bertanya.
Terlalu pasif dan tidak suka bergaul dengan rakan-rakan sebaya.
Pertuturan mereka kurang lancar, sering tersekat-sekat atau berulang-ulang.
Menghadapi masalah memahami kata orang lain.
Kurang berupaya menggunakan perkataan-perkataan tepat untuk menerangkan atau menyatakan sesuatu perkara atau idea.
Persepsi kurang tepat kerana tidak boleh mendengar sesuatu dengan tepat dan jelas.
Sering bergantung membaca pergerakan bibir orang untuk memahami maksud kata.
Sering cuba mengelakkan daripada menjawab soalan lisan orang lain kerana kurang pasti tepat apa yang disoal.
Mencondong mukanya ke depan untuk mendengar jelas kata orang.

5. Kanak-kanak Cacat Penglihatan

Kanak-kanak cacat penglihatan adalah kanak-kanak buta atau mempunyai kadar kecekapan penglihatan di antara 20/200 hingga 20/70 selepas pembetulan, berbanding dengan kanak-kanak penglihatan normal yang mempunyai kadar kecekapan penglihatan 20/20
Kanak-kanak cacat penglihatan boleh digolongkan dalam beberapa jenis, iaitu kanak-kanak rabun dekat, rabun jauh, rabun malam, rabun warna, astigmatisme, katarak, glaukoma dan juling. Di antar punca-punca cacat penglihatan ialah kesakitan mata, kekurangan zat makanan atau kerosakan saraf optik dan menghidap penyakit seperti hipermetropia, myopia, dyslexia dan sebagainya.
Kecacatan penglihatan merupakan kecacatan deria yang buruk sekali. Murid-murid cacat penglihatan tentunya akan menghadapi masalah dalam aktiviti pengejaran dan pembelajaran, khasnya dalam proses persepsi dan penangkapan konsep dengan tepat.
Kanak-kanak cacat penglihatan boleh dikenal pasti dengan ciri-ciri berikut:

Kesukaran membaca tulisan dan ilustrasi dalam buku serta di papan kapur.
Sering membawa buku dekat matanya untuk membaca.
Sering mengesat matanya.
Matanya kelihatan kemerah-merahan.
Matanya juling, terpesong sedikit kedudukan mata hitamnya.
Sering merasa pening kepala.
Matanya amat sensitif terhadap cahaya.
Tidak dapat membaca dalam tempoh lama.
Kerap menulis perkataan-perkataan dengan ejaan lama.

6. Kanak-kanak Cacat Fizikal

Kanak-kanak cacat fizikal ialah kanak-kanak yang kecacatan ortopedik atau anggotanya. Kecacatan ortopedik mempengaruhi fungsi tulang sendi atau otot, menyebabkan pergerakan leher, pinggang, tangan atau kakinya menjadi lemah dan kurang berdaya. Kecacatan fizikal ini akan menjejaskan pencapaian akademik, khasnya dalam pelajaran yang bergantung kecekapan anggota-anggota badan, misalnya mata pelajaran seni lukis, kemahiran manipulatif, muzik dan pendidikan jasmani.
Punca-punca utama kanak-kanak kecacatan fizikal ialah kekurangan zat makanan atau kecederaan disebabkan kemalangan.
Pergerakan anggota-anggota badan yang kurang cekap atau lancar adalah ciri yang jelas diperlihatkan bagi kanak-kanak cacat.

7. Kanak-kanak Pintar-Cerdas Dan Berbakat

Secara am, kanak-kanak pintar-cerdas atau berbakat merujuk kepada kanak-kanak yang ada Darjah Kecerdasan melebihi 120. Mereka biasanya digolongkan dalam tiga kategori, iaitu:
Kanak-kanak yang mempunyai intelek yang tinggi.
Kanak-kanak yang mempunyai bakat mencipta.
Kanak-kanak yang berbakat khas dalam seni lukis, penulisan, drama, muzik, kraftangan, sukan dan sebagainya.
Menurut Dr. Chua Tee Tee, kanak-kanak pintar-cerdas adalah kanak-kanak yang menunjukkan potensi atau kebolehannya dengan cemerlang dalam aktiviti intelek seperti pemikiran abstrak, pemikiran logik atau kemahiran bertutur. Mereka juga mempunyai daya ingatan yang tinggi serta berbakat mencipta atau berbakat khas dalam seni lukis, drama, muzik, penulisan dan sebagainya.
Dr. Chua juga mengenal pasti tujuh ciri kanak-kanak pintar-cerdas:
Mempunyai keupayaan berfikir kreatif.
Memperoleh kebolehan intelek am.
Memiliki kebolehan akademik khusus.
Berbakat dalam satu atau lebih kesenian.
Cekap menyesuaikan diri dari segi sosial atau emosi.
Boleh bervisi jauh.
Mempunyai bakat memimpin.
J. C Stanley (19800 mentakrifkan kanak-kanak pintar cerdas ialah kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan tinggi, mengikut skala Sranford-Binet. Manakala E. Paul Torrence (1982) mengaitkan pintar-cerdas dengan pemikiran kreatif. Beliau berpendapat, kanak-kanak pintar-cerdas ialah kanak-kanak yang boleh menunjukkan prestasi dan sumbangan cemerlang dalam satu atau beberapa bidang, termasuk tingkah laku yang penting, untuk masyarakat dan negara.
Kenyataan E. P Torrance ini mengakui definisi kanak-kanak pintar-cerdas hendaklah merangkumi juga unsur-unsur yang lain daripada ukuran Darjah Kecerdasan atau keputusan inventori pencapaian akademik sahaja.
Sedangkan, Painters F. (1980) mengikut kajiannya, mengklasifikasikan kanak-kanak pintar-cerdas dalam enam kategori, iaitu:
Kanak-kanak yang berjaya mencapai skor tinggi dalam ujian kecerdasan.
Kanak-kanak pintar-cerdas dilahirkan semula jadi, tetapi tidak disedari orang ramai, kerana sebab-sebab tertentu.
Kanak-kanak pintar-cerdas tetapi memilih sendiri supaya tidak berbeza dengan kanak-kanak biasa.
Kanak-kanak pintar-cerdas yang tidak berpeluang diberikan motivasi yang sesuai, menyebabkan pembelajarannya di sekolah tidak lagi menjadi cabaran untuk mereka.
Kanak-kanak pintar-cerdas yang sengaja menyembunyikan bakatnya kerana hendak melindungi faedah diri sendiri.
Kanak-kanak pintar-cerdas mempunyai bakat dalam bidang tertentu sahaja, misalnya bidang intelek, kreatif, kepimpinan sosial, muzik, drama, seni lukis, sukan dan sebagainya.

Mengenal Pasti Kanak-Kanak Pintar-Cerdas Dan Berbakat

Kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat boleh dikenal pasti berdasarkan ciri-ciri am dan ciri-ciri spesifik seperti yang dihuraikan berikut:
1. Ciri-ciri am kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat
Mempunyai kemahiran kognitif yang tinggi.
Mempunyai sifat ingin tahu yang amat kuat dan ketara.
Mempunyai potensi kreativiti dan sensitiviti.
Mempunyai motivasi yang kuat.
Mempunyai perasaan afektif yang tinggi.
2. Ciri-ciri spesifik kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat
Ciri-ciri spesifik yang dimanifestasikan oleh kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat boleh ditinjau daripada dua aspek, iaitu:
(a) Ciri-ciri aspek positif
Boleh belajar dengan mudah dan cepat.
Dapat mengukuhkan dan mengekalkan dalam ingatan apa yang dipelajari tanpa banyak latihan berulang-ulang.
Menunjukkan sifat ingin tahu terhadap bidang dan skop yang mendalam dengan kerap kali bertanya serta membaca.
Memperoleh perbendaharaan kata yang banyak dengan ditonjolkan dalam pemikiran dan pendapatnya.
Suka membaca bahan-bahan di paras kematangan.
Menunjukkan minat terhadap rekaan dan ciptaan yang canggih.
Menguasai kemahiran pemikiran kognitif dengan cekap, jelas dan tepat, serta berupaya memahaminya dengan cepat.
Berupaya membuat generalisasi, mempersepsi perkaitan, dan membuat asosiasi secara logikal.
Cekap menyiasat, menjadual, mengklasifikasi, mengumpul, menginferensi dan melapor.
Mengetahui dan menaruh minat terhadap banyak perkara dan peristiwa di mana kanak-kanak biasa tidak pernah menyedarinya.
Berminat terhadap asal-usul manusia dan alam persekitarannya.
Suka berkawan dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih matang daripada kanak-kanak sebaya.
Mempunyai sifat lucu dan sering nampak riang
Mempunyai keinginan yang kuat untuk menunjukkan kehebatannya.
(b) Ciri-ciri aspek negatif
Hiperaktif dan tidak boleh berdiam diri, tidak boleh menumpukan perhatian dan sering mengganggu rakan-rakan di sekelilingnya.
silap dengan ejaan, tulisan kurang kemas atau silap dalam kira-mengira kerana kekurangan kesabarannya.
Sikap acuh tak acuh terhadap kerja yang diberikan oleh guru.
Suka mencari kelemahan dan mengkritik secara terbuka rakan-rakan dan guru-gurunya.

Mengikut tinjauan Hertsberger dan Wheatley (1980), untuk mengurangkan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat, serta membantu mereka memperkembangkan potensi dan bakat mereka secara optimumnya, mereka tidak patut dipaksa mengikuti kurikulum yang dirancangkan untuk kanak-kanak biasa. Bakat dan potensi mereka hendaklah diperkembangkan dengan satu kurikulum yang lebih kompleks dan mencabar, khasnya merangkumi kemahiran-kemahiran penyelesaian masalah, serta topik-topik yang akan diajar nanti untuk kanak-kanak biasa.

Masa kini, kebanyakan negara telah sedar dan mengakui kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat adalah aset yang ternilai sekali kepada negara mereka. Justeru itu, mereka menyediakan peluang pendidikan khas untuk kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat dengan tujuan memperkembangkan bakat dan potensi mereka secara sepenuhnya. Misalnya, di Singapura, kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat adalah dikenal pasti pada akhir tahun 3 dan akhir tahun 6 melalui ujian saringan, dan ditempatkan dalam kelas khas yang didirikan di sekolah biasa. Di Filipina, kerajaan membina sekolah khas untuk menampung kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat.
Di Malaysia, pada masa yang lalu, kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat adalah diberikan peluang menyertai aktiviti pengayaan semasa aktiviti kumpulan dalam kelas biasa, selaras dengan objektif-objektif Pendidikan Khas untuk kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat yang disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 1982:
· memperluas lagi pengetahuan dan pengalaman mereka;
· menjalani kegiatan-kegiatan pembelajaran yang lebih mencabar;
· menggunakan masa lapang mengikut minat dan bakat mereka;
· meminati dan menguasai bacaan luas dengan merujuk kepada pelbagai bahan dan sumber maklumat;
· memupuk minat untuk belajar sendiri;
· melahir atau memperkembangkan daya cipta atau kreativiti; dan
· memajukan kualiti kepimpinan.

Mulai tahun 1997, murid-murid tahun 3 yang telah mencapai prestasi cemerlang
dalam Penilaian Tahap satu, dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan kali pertama pada tahun 1996, adalah dikecualikan belajar dalam tahun 4, tetapi diberi peluang kenaikan terus ke darjah 5.
Di negeri China, kanak-kanak berbakat dalam bidang kesenian adalah dikenal
pasti semasa di peringkat sekolah rendah. Mereka dipilih mengikuti kursus latihan di institusi kesenian tempatan pada hujung minggu atau sesi petang, selepas mereka menghadiri kelas biasa dalam sesi pagi.

Mengenal Pasti Kanak-kanak Istimewa Melalui Ujian Saringan (Screening Test)

Sebagaimana yang telah dihuraikan, kanak-kanak istimewa boleh dikenal pasti dengan cara memerhatikan ciri-ciri tingkah laku mereka. Tetapi, cara pemerhatian ini adalah kurang objektif dan kurang jitu. Cara yang sah dan boleh dipercayai ialah penggunaan Ujian Kecerdasan (Intelligent Test). Bagaimanapun, menyediakan inventori ujian kecerdasan ini adalah sukar dan rumit, malah memerlukan kepakaran untuk menggubal soalan-soalan yang bermutu tinggi. Cara yang lebih praktik dan oleh dijalankan ialah penggunaan pemerhatian bersama dengan ujian saringan untuk mengenal pasti kanak-kanak istimewa.
Lazimnya, ujian saringan untuk mengenal pasti kanak-kanak cacat adalah disediakan khas untuk menentukan peringkat pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa dan Matematik sahaja. Bagaimanapun, ujian saringan ini juga mengukur tahap pengamatan murid, iaitu kuasa penglihatan, pendengaran dan psikomotor.
Berikut ialah contoh ujian saringan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan matematik untuk mengenal pasti kanak-kanak cacat di sekolah rendah. Contoh-contoh Ujian Saringan yang disediakan oleh Innotech Malaysia: A Basic Programme For Remedial Education.

Contoh Ujian Saringan Bagi Bahasa Melayu

1. Baca huruf-huruf ini: a, c, f, l, m, x, z.
2. Baca huruf-huruf ini: A, C, K, N, R, T, W, Y.
3. Sebut perkataan-perkataan ini: saya, emak, adik, kawan, rumah.
4. Baca ayat dan buat mengikut maksud ayat:
(a) Saya buka buku.
(b) Saya tutup pintu.
(c) Saya berdiri di atas kerusi.
(d) Saya menulis di papan kapur.
5. Isikan huruf di tempat kosong:

Bagi kanak-kanak pintar-cerdas, ujian saringan hendaklah mengandungi item-item yang berbentuk pengayaan.
Sesungguhnya, ujian saringan untuk kanak-kanak istimewa, sama ada kanak-kanak cacat atau kanak-kanak pintar-cerdas, adalah banyak menumpukan usaha mengukur peringkat pencapaian berbentuk ilmiah dan jarang sekali melibatkan ukuran penguasaan bidang kemahiran yang lain, seperti psikomotor, penulisan, kesenian ataupun bakat kepimpinan. Sehubungan ini, untuk mengenal pasti kanak-kanak istimewa secara menyeluruh dan jitu, ujian aptitud khas dan minat mereka hendaklah juga diadakan bersama dengan ujian saringan. Hasil penilaian daripada pemerhatian, ujian saringan dan ujian aptitud khas dapat membantu pendidik mengenal pasti kanak-kanak istimewa dengan lebih tepat dan objektif. Dengan cara yang demikian, pendidik akan dapat menyediakan ujian diagnostik yang sesuai, dan selepas itu, merancang satu kurikulum pendidikan khas bagi kanak-kanak istimewa dengan berkesan.

Ahad, 20 November 2011

PEMULIHAN 1

INI MERUPAKANTUGASAN YANG SAYA BERIKAN KEPADA PELAJAR SAYA BERKAITAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PEMULIHAN.


1.1 Oleh : Farhana bt. Yatimin
Semasa saya melaksanakan Pengalaman berasaskan Sekolah ( SBE ), saya telah diberi tugasan untuk membuat satu pemerhatian dan penyelidikan bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mengikut kemahiran iaitu mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Hasil analisis ini juga saya peroleh daripada hasil temubual bersama guru Pemulihan Khas iaitu Puan City Rohmah.
Puan City Rohmah merupakan guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4. Saya telah membuat tugasan yang telah diberikan ini. pada 23 Mac 2011, Kelas yang dikendalikan oleh Puan City Rohmah ini terdiri daripada empat orang murid iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Kelas ini bermula pada waktu pagi dan murid pemulihan ini terdiri daripada murid tahun 3.
Setelah saya membuat pemerhatian dan temu bual bersama guru, saya dapati mereka yang berada di dalam kelas pemulihan itu mengalami masalah membaca. Mereka sukar untuk membaca dengan betul walaupun mereka pandai untuk mengeja perkataan yang ditunjukkan. Pada hari tersebut, Puan City Rohmah telah memgajar konsonan gabung ataupun digraf iaitu ng dan ny.
Bagi mengatasi masalah membaca yang telah dialami oleh murid ini, langkah pertama yang perlu diambil adalah dengan mengajar mereka mengeja huruf- huruf digraf terlebih dahulu. Sebagai contoh, guru perlu menerangkan dahulu huruf- huruf digraf kepada murid. Guru juga hendaklah memberi penerangan dengan menggunakan bahasa yang mudah ataupun istilah yang mudah iaitu gabungan konsonan atau digraf. Kemudian, guru menunjukkan huruf digraf kepada murid di papan putih dan memberi imbuhan dibelakangnya agar murid dapat mengeja dan menyebutnya. Contohnya, nga dan nyi. Di samping itu, guru juga perlu memberi penerangan dan membetulkan penyebutan murid- murid itu tadi. Bagi memastikan mereka boleh membaca, guru perlulah memanggil seorang demi seorang untuk membacanya dihadapan.
Langkah kedua bagi mengatasi masalah ini adalah guru perlulah menjadikan perkataan berdasarkan gabunan konsonan itu tadi. Seperti kita sedia maklum, murid pemulihan ini merupakan seorang murid yang agak lambat untuk menerima sesuatu kemahiran itu, jadi penggunaan warna dan gambar yang menarik akan mempengaruhi mereka agar senang untuk mengingati sesuatu pembelajarn itu. Contoh, pada langkah ini, guru boleh menggunakan bahan bantu mengajar seperti bahan elektronik Microsoft Office Powerpoint untuk membantu mereka dalam mengatasi masalah membaca. Seperti, menayangkan gambar dan perkataan. Kemudian mereka mengeja dan menyebutkannya. Contoh, nganga, bunga dan singa ini adalah hasil dari huruf gabungan ng.
Setelah itu, bagi memastikan mereka dapat membaca langkah seterusnya adalah menunjukkan gambar dan meminta mengeja ayat yang telah diberikan. Ketika ini juga gambar yang menarik juga dapat membantu mereka untuk membaca. Ini kerana walaupun mereka agak lambat untuk membaca dan mengejanya tetapi apabila mereka melihat gambar yang ditunjukkan mereka dapat tahu apakah perkara yang ingin mereka menyebutkannya dan yang ingin guru sampaikan. Contoh ayat, bunga mawar itu wangi, singa itu lapar dan penyu boleh berenang.
Langkah terakhir yang boleh guru lakukan bagi mengatasi masalah ini adalah dengan memberi lembaran kerja kepada mereka. sambil membuat lembaran kerja, murid diminta untuk mengeja dan menyebut perkataaan- perkataaan yang mereka telah pelajari. Ini merupakan aktiviti pengukuhan bagi mengenalpasti sama ada mereka telah menguasainya ataupun belum. Cara ini juga secara tidak langsung, dapat membantu mereka untuk mengatasi masalah membaca. Lagi banyak latihan membaca yang mereka lakukan, cepatlah mereka akan dapat menguasainya.
Oleh itu, guru adalah orang yang harus memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah membaca yang dialami oleh murid- murid pemulihan khas ini. Sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, guru perlulah memberikan sepenuh perhatian kepada anak- anak murid mereka dan membantu kepada mereka yang tidak dapat menguasainya. Ini juga akan mempengaruhi perasaan ingin belajar murid- murid tersebut. Di samping, guru juga semestinya mempunyai teknik pengajaran yang berbeza pada setiap hari agar murid akan lebih berasa bersemangat untuk mengikuti sesi pengajaran yang dijalankan. Oleh itu, sebagai seorang guru pemulihan khas haruslah mempunyai kemahiran dan kreatif bagi mewujdkan suasana yang ceria sewaktu berada di dalam kelas dan haruslah diingati, guru merupakan pemangkin kepada peneraju negara bangsa. Jadi, haruslah seseorang guru itu untuk mengahrgai anak- anak murid mereka.
: Siti Nur Atifah Azfa bt. Abdul Aziz.
Pelaksanaan tugasan ini telah saya jalankan semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Baling. Pemerhatian ini telah dijalankan dalam kelas pemulihan khas di sekolah tersebut. Hasil daripada pemerhatian dan penyelidikan yang dibuat, masalah yang dihadapi ialah murid-murid tidak dapat menguasai kemahiran membaca.
Penyelidikan dan pemerhatian yang dilaksanakan oleh saya melibatkan murid-murid Tahun 3. Terdapat empat orang murid Tahun 3 yang terlibat dalam kelas ini, iaitu seorang lelaki dan tiga orang lagi adalah perempuan. Keempat-empat mereka ini digolongkan dalam tiga kategori iaitu sangat lemah, lemah dan sederhana. Pemerhatian saya juga melibatkan temubual dengan guru kelas pemulihan khas iaitu Pn. Rohana bt. Lahamin. Kelas pemulihan bagi subjek Bahasa Melayu ini bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari.
Masalah kemahiran membaca yang dikenalpasti ialah mereka sukar untuk mengeja suku kata KV+KV. Masalah ini berlaku kerana mereka masih lagi lemah dalam pengecaman huruf. Misalnya, huruf b dikatakan hurub d. Contoh lain ialah mereka boleh membaca tapi membatangkan perkataan bunyinya lain. Perkataa rusa dieja betul, tapi apabila membatangkannya menjadi rura. Huruf s bertukar menjadi r. Selain itu, mereka juga lupa untuk membatangkan suka kata yang pertama. Mislanya, ba+ta, murid akan lupa untuk membaca suku kata ba. Maka, murid hanya membaca suku kata ta sahaja.
Bagi mengatasi masalah ini, beberapa langkah boleh diambil. Pertamanya, semasa mengajar kemahiran kv+kv guru boleh menyertakan gambar-gambar yang berkaitan dengan perkataan tersebut. Ini bagi memudahkan mereka memahami apa yang dibaca. Masalah pengecaman huruf dapat dielakkan apabila proses pengajaran dan pembelajaran dibantu dengan penggunaan gambar.
Selain itu, sebelum guru mengajar memperkenalkan perkataan kv+kv, guru hanya perlu memperkenalkan mereka dengan suku kata kv yang akan diajar dan digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran suku kata kv+kv. Ini akan membuatkan daya ingatan mereka tidak mudah luput tentang suku kata-suku kata tersebut kerana mereka sentiasa bermain dengan suku kata yang sama.
Melalui pemerhatian saya, sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) ini, Pn. Rohana menggunakan bahan bantu mengajar iaitu slide Powerpoint. Walaubagaimana pun, masalah pengecaman huruf murid tidak dapat dielakkan. Ini dapat diatasi dengan menghitamkan atau membezakan warna antara huruf-huruf yang menjadi kekeliruan murid. Misalnya, huruf b dan d diwarnakan berbeza-beza warnanya. Contoh pada perkatana budu. Penggunaan bahan multimedia wajar digunakan oleh guru sebaik mungkin bagi membantu proses p&p yang efektif.
Tambahan lagi, guru juga boleh menyelitkan unsur muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menyediakan satu lirik lagu yang berkaitan dengan kemahiran suku kata kv+kv. Ini dapat meningkatkan daya ingatan murid. Melalui kajian yangtelah dilakukan, muzik mampu meningkatkan daya ingatan murid. Pendekatan ini boleh digunakan oleh guru.
Selain itu juga, proses pengajaran dan pembelajaran guru juga mestilah diselitkan dengan aktiviti permainan bahasa. Misalnya, guru boleh menjalankan aktiviti memancing perkataan yang melibatkan suku kata kv+kv. Guru menyediakan gambar yang melibatkan perkataan kv+kv. Seterusnya, murid dikehendaki memancing suku kata yang dapat membentuk perkataan berdasarkan gambar yang diberikan oleh guru. Ini dapat membina ketajaman pengecaman murid-murid.
Kesimpulannya, peranan guru amat penting semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p). Guru perlu berfikiran kreatif dan inovatif dalam melaksankan proses p&p. Sebarang aktiviti yang dijalankan oleh guru mestilah berdasarkan dengan kemampuan dan keupayaan murid agar mereka mudah menerima apa yang disampaikan oleh guru. Selain itu, persekitaran bilik darjah pemulihan khas haruslah ceria agar murid berasa seronok untuk ke kelas pemulihan. Ini dapat mengatasi masalah ponteng untuk ke kelas pemulihan. Guru juga perlulah memberikan perhatian yang sepenuhnya pada murid-murid pemulihan agar mereka rasa dihargai bagi memotivasikan diri mereka untuk terus belajar. Murid pendidikan khas perlulah dibantu agar mereka terus bersemangat dan proses p&p guru berlangsung dengan efektif.

Isnin, 14 November 2011

BUSTANUL SALATIN OLEH NURRUDIN AL-RANIRI

Saudara saudari yang dihormati,
Saya mulakan kuliah kita pada pagi ini dengan memetik kata-kata Khalifah Abu Bakar al-Siddiq. Kata beliau, Jadilah pohon, walaupun ditetak, ditebang,ia tetap mengeluarkan buah untuk keperluan manusia.
Begitulah apa yang akan kita pelajari pada hari ini, sebuah kitab lama yang yang dihasilkan ratusan tahun dahulu tapi masih memberikan manafaat kepada kita jika kita sudi mengambil iktibar daripadanya.
Kitab Bustan al-Salatin merupakan salah sebuah karya penting penghasilan Sheikh Nuruddin al-Raniri. Menurut Dr Tudjimah, selain daripada kitab ini, Sheikh Nuruddin turut menghasilkan 23 kitab lain seperti Al-Durat al-Fara’id, Hidayat al-Habib, Asrarul Insan, Hujjatul Siddiq dan An Nahdatu Fi dakwah. Ada juga pendapat menyatakan karya beliau berjumlah 29 buah tetapi yang pastinya Sheikh Nuruddin merupakan seorang ulama pengarang yang mengarang banyak kitab.

Menurut Dr Jelani Harun dalam bukunya Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu, kitab Bustan al-Salatin ini tergolong sebagai sebuah karya saduran kerana banyak pengaruh Arab dan Parsi yang sama ada diceduk atau diambil oleh Sheikh Nuruddin menjadi kandungan kitab ini manakala RO Winstedt mengkelaskan kitab ini sebagai sastera sejarah kerana pengkisahan sejarah yang terdapat di dalam kitab ini boleh dikatakan lengkap terutama dari segi sejarah kesultanan Melayu khususnya kerajaan Melayu Melaka dan Acheh tetapi sarjana tempatan memikirkan kitab ini lebih sesuai dikategorikan sebagai sastera ketatanegaraan atau sastera adab, yakni hasil penulisan yang boleh dijadikan petunjuk kepada raja-raja dan pemerintah dalam mentadbir negeri.
Saudara Saudari,
Sebelum kitab membedah kitab ini dan pada hari ini saya fokuskan kepada 4 aspek ketatanegaraan, iaitu keadilan raja, kebijaksanaan pembesar, mentaati pemerintah dan pembangunan negara, saya rasa ada baiknya jika kita kenali dahulu pengarangnya. Kitab Bustan al-Salatin dikarang oleh seorang ulama terkenal Acheh, iaitu Syeikh Nuruddin al-Raniri Muhammad Jailani bin Ali bin Hasanji ibn Muhammad Hamid atau lebih dikenali sebagai Sheikh Nuruddin al-Raniri. Beliau bukanlah berketurunan Melayu. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga berketurunan Quraisy di Ranir, Gujerat, India
Sheikh Nuruddin merupakan seorang ulama, pengarang, ahli tasawuf dan dilantik kemudiannya sebagai penasihat di istana Acheh oleh Sultan Iskandar Thani. Sheikh Nuruddin menguasai bahasa Melayu, Arab dan Parsi melalui kehidupannya yang dilingkungi oleh tradisi keilmuan. Ini kerana ada dalam kalangan ahli keluarganya yang terkenal sebagai ahli ilmuan agama di samping kedudukan Gujerat sebagai pusat perkembangan budaya dan bahasa Parsi. Jadi, bukanlah sesuatu yang ganjil apabila Bustan al-Salatin ini terpengaruh dengan kesusasteraan Parsi.

Selain daripada itu, kembara beliau ke Kepulauan Melayu dan Makkah menyumbang kepada penguasaan ilmunya. Semasa beliau menunaikan haji pada tahun 1621, Sheikh Nuruddin telah mengambil peluang mempelajari bahasa Melayu dengan bergaul dengan jemaah haji Melayu. Kehidupan lamanya di Pahang turut membantu.
Saudara saudari yang dihormati,
Sekarang kita tinjau pula tujuan dan kepentingan penulisan kitab ini. Apakah tujuan penulisan kitab ini?
TUJUAN DAN KEPENTINGAN PENULISAN KITAB BUSTAN AL-SALATIN ialah;
· Mengikut arahan Sultan Iskandar Thani yang merupakan pemerintah Acheh yang mahukan sebuah kitab yang dapat mendaulatkan diri baginda sebagai pemerintah yang berdaulat. Apabila menulis atas perintah raja, hasil penulisannya memenuhi keperluan pemerintah demi menjaga martabat dan seterusnya memaparkan aspek-aspek positif terhadap pemerintah. Kitab ini sama ada secara langsung atau tidak langsung turut mengagung-agungkan Sultan Iskandar Thani sebagai pemerintah Acheh.
· Satu-satunya kitab yang membicarakan sejarah kesultanan Acheh dan Melayu secara terperinci.
· Merupakan usaha Sheikh Nuruddin untuk menyaingi Taj al-Salatin dalam usaha untuk memberikan panduan kepada masyarakat alam Melayu khususnya raja-raja dan para pembesar dalam mentadbir negeri dengan mengambil iktibar kelakuan terpuji dan keji yang dilakukan oleh pemerintah khususnya dari Timur Tengah. Hal yang demikian kerana Sheikh Nuruddin amat arif tentang apa sahaja yang berlaku dalam sejarah Timur Tengah. Contoh-contoh yang diambil juga bersesuaian kerana persamaan agama antara raja-raja Timur Tengah dengan Kepulauan Melayu. Namun begitu usaha Sheikh Nuruddin untuk menyaingi Tajus Salatin tidak berjaya kerana Tajussalatin lebih berpengaruh dalam kalangan pemerintah.
· Menurut T. Iskandar, kitab ini bukan sahaja berguna kepada raja-raja tetapi juga kepada pengarang-pengarang karya klasik zaman berikutnya. T Iskandar memberikan contoh bahawa pengarang Hikayat Hang Tuah telah menggunakan kitab ini bagi memberi gambaran taman di Rom sama dengan taman yang terdapat di Acheh pada zaman Sultan Iskandar Thani.
· Dari sudut bahasa pula, Bustan al-Salatin ditulis dalam bahasa Melayu klasik. Kitab ini adalah dalam bentuk prosa tetapi pengarangnya turut menyelitkan puisi Rubai, iaitu puisi pengaruh Parsi.

Saudara saudari sekelian.
Seterusnya kita lihat pula dari segi kandungan kitab ini.
Kitab Bustan al-Salatin ini terdiri daripada 7 bab tetapi bilangan fasalnya pelbagai versi. Winstedt menyatakan ada 40 fasal manakala Raffles pula 60 fasal. Hal yang demikian berlaku kerana kitab yang lengkap tidak pernah ditemui sebaliknya tercerai-cerai. Namun begitu isi kandungannya tidak jauh berbeza. Semua versinya membicarakan perkara pokok yang sama. Mengikut Winstedt:
1. BAB 1
· Terdiri daripada 10 fasal menerangkan tujuh petala langit dan bumi, Nur Muhammad, Luh Mahfuz, kalam arsy dll.
· Dalam bab ini, Sheikh Nuruddin membuat huraian tentang penciptaan alam yang bermula daripada fasal kejadian nur Muhammad,fasal lohmahfuz, fasal arasy, fasal qalam, fasal kejadian-kejadian malaikat, sidratul muntaha, syurga dan neraka, kaabah, matahari, bintang, dll . Kandungannya banyak persamaan dengan kisah penciptaan alam yang terkandung dalam Qisas al-Anbiya yang bersumber drpd ibn Abbas, Kaab Ahbar, Wahb ibn Munabbih dan Abdullah ibn Salam.

2. BAB 2
· Menerangkan sejarah para nabi dan raja-raja. Bab ini mengandungi 13 fasal. Yang terpenting ialah dua fasal terakhir iaitu fasal 12 dan 13. Fasal 12 merupakan saduran daripada Sejarah Melayu iaitu mengenai sejarah Acheh yang mencapai puncak kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Fasal 13 pula membicarakan sejarah raja-raja Acheh.
· Bab ini menceritakan tentang perjalanan sejarah dunia yang bermula daripada nabi Adam, diikuti dengan nabi-nabi lain dan seterusnya kepada zaman nabi Muhammad SAW.
· Mengisahkan juga tentang raja-raja purba benua Yunani, Rom, Mesir, Arab, Kindah, hijaz.
· Turut menyelitkan kisah raja-raja kerajaan Umaiyyah, Abbasiyah, benua India,
· Diteruskan kepada sejarah raja Melayu Melaka, Pahang dan Acheh. Boleh dikatakan sejarah yang disampaikan oleh Sheikh Nuruddin dalam kitab ini bersifat fakta dan selaras dengan sejarah perkembangan Islam.

3. BAB 3
· Menceritakan raja-raja yang adil dan menteri yang bijaksana. Bab ini terdiri daripada 6 fasal.
· Bab 3 ini terbahagi kepada dua bahagian; bahagian pertama berkaitan raja manakala bahagian kedua memberi fokus kepada pegawai atau orang-orang yang penting dalam kehidupan raja seperti menteri, wazir, kadhi, utusan, panglima. Bab ini mengetengahkan tema berkaitan keadilan raja dan pegawai raja dalam urusan pentadbiran.
· Bab ini juga mengambil kisah khalifah, raja dahulu sebagai panduan dan kias ibarat kepada raja dan pegawai agar menjadikannya sebagai contoh ikutan.
4. BAB 4
· Menerangkan raja-raja yang bertapa dan para wali yang salih. Bab ini terdiri daripada 2 fasal.
· Bab 4 juga menceritakan satu sifat raja yang penting iaitu perlu sering mendekatkan diri dengan ajaran agama dengan harapan pemerintahannya sentiasa bersifat adil. Dalam bab ini, Sheikh Nuruddin menasihati raja agar mendalami ajaran agama dan mengamalkan ajaran tareqat sebagai panduan untuk memerintah dengan lebih adil.

5. BAB 5
· Menerangkan raja-raja yang zalim dan pembesar negeri yang bodoh yang menipu rakyat mereka. Bab ini terdiri daripada 2 fasal.
· Bab 5 pula menceritakan tentang perihal raja dan pembesar raja yang zalim dan membuat aniaya terhadap rakyat.
· Bab ini didirikan dengan 2 bahagian. Bahagian pertama tentang raja yang zalim dan membuat aniaya dan zalim kepada rakyat dan bahagian 2 pula tentang menteri yang zalim dan khianat.
· Bab ini dipenuhi dengan pelbagai panduan kepada raja dan para menteri, dihiasi dengan ayat2 al Qur’an dan hadis serta cerita-cedrita sebagai teladan dan iktibar.
6. BAB 6
· Mengenai segala orang murah lagi mulia dan segala pahlawan yang gagah berani. Bab ini terdiri daripada 2 fasal.
· Bab 6 pula khusus membicarakan dua sifat penting yang harus dimiliki oleh seseorang raja. sifat tersebut ialah sifat pemurah dan berani. pemerintah disarankan agar sentiasa membantu rakyat miskin, bersedekah dan memberi hadiah kepada rakyat yang berjasa kepada mereka dan negara.
7. BAB 7
· Menyatakan akal, ilmu dan firasat dan khifayat dan ilmu tabib dan segala sifat perempuan dan sesetengah daripada hikayat ajaib dan gharib. Bab ini terdiri daripada 5 fasal.
· Bab 7 pula memperlihatkan gabungan beberapa aspek ilmu pengetahuan yang penting diketahui untuk panduan pembaca dalam menjalani kehidupan seharian seperti perubatan tradisional, ilmu firasat, sifat perempuan, anatomi, dan hal-hal kekeluargaan.
· Bab yang berkaitan sifat atau tabiat perempuan agak menarik kerana Sheikh Nuruddin mengkategorikan tabiat wanita kepada 10 mengikut jenis haiwan iaitu babi, kera, anjing, baghal, ular, kala, tikus, unggas, serigala dan kambing. Di manakah kedudukan kita?

Menurut manuskrip Raffles pula, Bustan al-Salatin juga terdiri daripada 7 bab dan terbahagi kepada 60 fasal; bab 1 ada 30 fasal, bab 2 ada 13 fasal, bab 3 ada 2 fasal, bab 4, 5 dan 6 masing-masing ada 2 fasal dan bab 7 ada 5 fasal.

Sebelum ini saya ada menjelaskan bahawa kitab ini tidak dapat menyaingi Tajussalatin tetapi Bustan al- salatin tetap merupakan kitab yang amat penting kepada masyarakat alam Melayu. Ini terbukti apabila terdapat bahagian-bahagian tertentu daripada kitab ini yang dicetak dan dikembangkan dalam masyarakat.

ADAB/ASPEK KETATANEGARAAN DALAM BUSTAN AL-SALATIN.
Seperti yang telah saya jelaskan di awalnya, kitab-kitab ketatanegara ini iaitu Bustan al-Salatin dan Tajussalatin ini merupakan garis panduan atau penanda aras kepada para pemerintah dalam mengendalikan pentadbiran negeri. Antara aspek yang akan dibincangkan dalam kuliah kita ini ialah;

A. KEADILAN RAJA
· Sheikh Nuruddin memberi panduan kepada raja agar mementingkan keadilan di dalam pentadbirannya. Pemerintah, wajib memerintah dengan adil dan saksama agar rakyat akan mendapat manafaat daripadanya. Hal yang demikian kerana seseorang raja adalah memikul amanah Allah dan akan dinilai kelak atas apa yang dilakukan.
· Dalam konteks keadilan ini, pengarang menyarankan agar raja mencontohi kepimpinan nabi Muhammad SAW yang diketahui umum sebagai seorang yang adil dan bijaksana dalam urusan pentadbiran.
· Di samping itu, Sheikh Nuruddin turut memberikan contoh keadaan di Dar as-Salam yang mana pemerintahnya berpegang kepada prinsip keadilan khususnya dalam pentadbiran. Di sini diperlihatkan pemerintahnya menjaga kebajikan rakyat jelata tanpa mengira kedudukan, darjat dan pangkat.
· Pemerintah juga mengguna pakai undang-undang Islam yang kita semua tahu berpaksikan keadilan. Antara yang diberi penekanan oleh pemerintah ialah soal peminum, judi, pembangunan ummah, percukaian, baitul mal dan tanggungjawab menunaikan solat.
· Salah satu petikan berkaitan keadilan yang dipaparkan oleh Sheikh Nuruddin ialah dalam Bab 3 fasal 1 yang antara lain memberi pilihan antara keperkasaan dan keadilan. Raja atau pemerintah yang baik akan memilih keadilan berbanding keperkasaan. Raja yang adil tentunya akan dikasihi, disayangi, dikenang dan dikagumi oleh rakyat.
· Raja atau pemerintah digalakkan menuntut ilmu untuk kebaikan diri sendiri agar dapat meningkatkan keimanan, berfikir untuk membezakan yang hak dan batil dan kemudiannya meningkatkan kesempurnaan hidup.
· Hal yang demikian kerana salah satu ciri keadilan raja ialah akal. Akal merupakan alat untuk raja berfikir dan membuat pertimbangan antara yang benar dan yang salahg. Kebolehan berfikir inilah akan membantu pemerintah berada pada jalan kebenaran dan menjauhkan diri daripada jalan kezaliman. Salah satu perkara yang disentuh oleh Sheikh Nuruddin berkaitan akal ini ialah beliau membuat perbandingan antara akal dengan cahaya matahari di mana akal jika digunakan pada jalan kebenaran dan keadilan, cahayanya lebih gemerlap berbanding cahaya matahari. Bahkan kemuliaan dan martabat seorang raja atau pemerintah itu terletak kepada keadilan yang dilakukannya.
· Dalam hal keadilan ini juga, pemerintah telah melantik wazir, pegawai-pegawai penguatkuasa agar tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pegawai-pegawai ini mestilah orang yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam hal-hal yang bersangkutan dengan tugas. Wazir dan pegawai-pegawai yang tidak jujur, tidak adil, zalim dan tidak berilmu akan mengganggu kelicinan pentadbiran.
· Justeru, pemerintah akan terlebih dahulu melaksanakan temuduga dalam memilih wazir dan pegawai agar amanah, bercakap benar, beradab sopan, berilmu dan bertaqwa bagi membolehkan mereka menjadi pembantu raja menguruskan hal-hal kemasyarakatan.
· Yang terakhirnya berkaitan keadilan dalam pentadbiran ini ialah, sikap turun padang pemerintah untuk melihat keadaan rakyat yang sebenarnya. Ini boleh dilakukan secara rasmi atau secara rahsia dengan mengambil contoh keadilan khalifah Umar Al-Khattab.

CIRI-CIRI RAJA YANG ADIL
· Raja harus memahami tugas dan tanggungjawab
- Seseorang raja yang menaiki takhta harus mengetahui dan memahami tugas dan tanggungjawab yang harus dilakukan. Raja, bukan sekadar mejadi ketua kerajaan tetapi sebaliknya juga memikulk amanah daripada Allah sebagai pemimpin rakyat dan negara. Dalam Bustan al-Salatin, Sheikh Nuruddin mengingatkan raja yang baginda akan ditanya di akhirat apakah yang dilakukannya sebagai seorang pemerintah.
· Raja harus menjadikan peribadi yang adil pada masa lalu sebagai contoh
- Seorang raja yang baik sewajarnya menjadikan peribadi baik dan mulia nabi Muhammad SAW, para sahabat sebagai contoh ikutan dalam pentadbirannya. Bustan al-Salatin mengambil contoh Umar al-Khattab, Harun Aminurrasyid sebagai ikutan kepada raja-raja.
· Raja harus mengamalkan sifat sederhana
- Seorang raja biasanya memiliki harta kekayaan yang cukup banyak. Harta yang dimiliki biasanya tidak terbatas. Kekayaan yang dimiliki itu kadang kala boleh membawa kepada ketakburan, tamak, zalim, sombong dll sifat negatif yang tidak sewajarnya dimiliki oleh seorang raja. Justeru, Bustan al-Salatin menasihati raja agar mengamalkan sifat bersederhana, rendah diri dan mensyukuri nikmat anugerah Allah.
· Raja harus sentiasa mendampingi kehidupan rakyat
- Raja harus mengetahui keadaan hidup rakyat dengan melihat sendiri kehidupan mereka. Raja seharusnya keluar dari istana dan mendekati rakyat sama ada melalui lawatan secara langsung atau secara rahsia tanpa ketahuan rakyat. Bustan al-Salatin menasihati raja agar sentiasa bertanya khabar keadaan rakyat.
· Raja harus mengadili pertikaian rakyat
- Raja biasanya akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai pertikaian antara rakyat ataupun pertikaian yang berlaku dalam kalangan rakyat. Raja seharusnya bertindak sebagai hakim dan mengadilinya secara adil, tanpa berat sebelah atau pilih kasih. Raja juga bertanggung jawab melantik hakim yang adil bagi menguruskan persoalan kehakiman dan undang-undang dalam negeri. Bustan al-Salatin menegaskan bahawa raja mesti bertindak adil dalam menjatuhkan hukuman tanpa mengira sama ada kaum keluarga, para menteri mahu pun rakyat biasa agar mereka ini tidak teraniaya.
· Raja harus mengasihi rakyat
- Raja harus memiliki sifat kasih kepada rakyat jelata. Sifat ini akan menjadikan raja sentiasa memikirkan kesejahteraan rakyat. Sifat ini juga akan menjadikan raja sentiasa sabar, pemurah, tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi, pemaaf dan mesra dengan rakyat. Bustan al-Salatin menggesa raja supaya memaafkan kesalahan rakyat kerana balasan daripada Allah cukup besar. Sikap raja yang mengasihi rakyat akan memberi kesan kebaikan kepada raja itu sendiri kerana rakyat akan mendoakan kesejahteraan, kesihatan raja dan mengasihi raja.
· Raja harus mengekalkan peribadi yang baik
- Raja harus memiliki peribadi yang baik dan mengekalkannya sepanjang masa. Seorang raja yang baik mesti memiliki sifat-sifat atau adab-adab yang mulia dalam percakapan, cara berpakaian, makan dan tidak harus melibatkan diri dalasm kegiatan yang tidak bermoral seperti minum arak, bermain judi, melakukan perbuatan maksiat dsb. Bustan al-Salatin menasihati raja supaya memelihara nama baik dengan tidak melakukan pekerjaan yang boleh mencemarkan nama baik baginda dan memelihara daripada dicerca, umpat dcan keji oleh rakyat kerana berkeperibadian buruk.
Selain daripada ciri-ciri yang dinyatakan di atas, terdapat, ada 3 lagi ciri yang seharusnya dimiliki oleh seseorang raja yang adil tetapi tidak jelas dinyatakan di dalam Bustan al-Salatin iaitu:
· Raja harus beriman dan beramal salih
· Raja harus menghormati ulama
· Raja harus bijaksana
B.KEBIJAKSANAAN PEMBESAR
· Dalam sistem pentadbiran sama ada moden atau feudal, pemerintah akan dibantu oleh pembesar. Pada Zaman feudal, raja dibantu oleh bendahara, temenggung, penghulu bendahari, laksamana dan syahbandar manakala pada zaman moden ini, pentadbiran sesebuah negeri dikendalikan oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri, jemaah menteri dan seterusnya pihak berkuasa tempatan.
· Para pembesar merupakan golongan pentadbir yang begitu rapat dengan raja, bahkan mereka menjadi pembantu kepada pemerintah.
· Menurut Bustan al-Salatin, pembesar mestilah memiliki pengetahuan, pengalaman dan ciri-ciri tertentu seperti amanah, bercakap benar, beradab sopan, berilmu dan bertaqwa bagi membolehkan mereka menjadi pembantu raja menguruskan hal-hal kemasyarakatan.
· Tugas dan tanggungjawab pembesar ini sebenarnya amatlah berat kerana keamanan dan keteguhan sesebuah negeri bukannya terletak pada raja semata-mata tetapi juga pembesar.
· Dalam konteks ini, Bustan al-Salatin menyarankan pembesar mestilah bijaksana dalam urusan pentadbirannya. Sebagai contohnya, dalam urusan menasihati raja, pembesar mestilah menggunakan saluran yang betul laksana menarik rambut di dalam tepung. Pembesar tidak harus menegur kesalahan atau kesilapan raja secara terbuka di khalayak ramai, sebaliknya teguran itu seharusnya dilakukan secara lebih sopan dan persendirian. Ini bagi membolehkan raja tidak mendapat malu dan pembesar pula tidak dimurkai raja.
· Dalam Bustan al-Salatin, Sheikh Nuruddin menyarankan agar pembesar berdatang sembah pada ketika sunyi atau ketika raja tidak dihadap pembesar atau ketika berseorangan dan memberi nasihat kesan daripada perlakuan raja yang tidak baik yang boleh mencemarkan nama baik raja tersebut pada matya rakyat.
· Dalam pada itu, ada juga pembesar yang mengambil kesempatan menggunakan kedudukannya mempengaruhi raja untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Di sinilah pentingnya akal kepada seorang raja sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Raja perlulah menggunakan pertimbangan akal agar tidak memberikan kemudaratan dan kerugian kepada raja sendiri.
· Dalam Bustan al-Salatin, Sheikh Nuruddin menyenaraikan 22 ciri yang perlu dimiliki oleh seseorang pembesar; antaranya ialah beriman, taat setia kepada raja, sabar, memelihara rahsia raja, bijaksana, alim, tidak tamak, berilmu dan amanah.
C. MENTAATI PEMERINTAH.
· Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, tujuan Sheikh Nuruddin menulis kitab ini adalah kerana perintah Sultan Iskandar Thani. Justeru, kandungannya mestilah mengagungkan pemerintahnya.
· Dalam kitab ini jelas tergambar sanjungan dan ketaatan Sheikh Nuruddin kepada Sultan Iskandar Thani. Hal yang demikian kerana Sultan Iskandar Thanilah yang memberikan kedudukan tertinggi kepada Sheikh Nuruddin di istana sebagai ulama negara.
· Bustan al-Salatin memberi nasihat kepada rakyat agar sentiasa mentaati raja atau pemerintah. Ini kerana suruhan mentaati pemerintah merupakan sebahagian daripada ajaran agama Islam. Rakyat yang tidak mentaati pemerintah dianggap sebagai penderhaka dan boleh diperangi dan dibunuh.
· Ketaatan yang dimaksudkan oleh Bustan al-Salatin ialah seseorang rakyat mesti mentaati pemerintah selagi pemerintah tersebut menjalankan hukum secara adil dan berpegang kepada hukum Allah atau tidak melanggar hukum syarak.
· Walaubagaimanapun, kepatuhan dan ketaatan rakyat kepada pemerintash atau raja mempunyai had yang tertentu. Menurut Bustan al-Salatin, rakyat tidak harus mematuhi perintah raja yang bertentangan dengan hukum syarak. Apabila raja menyuruh rakyatg melakukan sesuatu yang bertentangan atau menyalahi hukum agama seperti melakukan maksiat, perintah tersebut tidak harus dituruti.
· Selain daripada itu, Bustan al-Salatin turut menasihati rakyat agar sentiasa memberi penghormatan kepada raja. Bustan al-Salatin menggambarkan rakyat pada masa itu telah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah sehingga sanggup meninggalkan pekerjaan yang sedang mereka lakukan semata-mata-mata mahu melihat perarakan raja.

D. PEMBANGUNAN NEGARA
· Seorang pemerintah yang baik dan bertanggungjawab semestinya tidak melupakan peranan yang perlu dilaksanakannya dalam usaha menyediakan segala kemudahan kepada rakyat. Dalam konteks ini, memandangkan Acheh merupakan sebuah negara yang mementingkan pembangunan agama Islam, sudah semestinya aspek ini diberi keutamaan.
· Dalam hal ini, Bustan al-Salatin menjelaskan bahawa raja Acheh telah memantapkan ilmu berkaitan sistem keagamaan dengan membina masjid-masjid sebagai tempat untuk menuntut ilmu. Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat solat tetapi fungsinya juga sebagai tempat guru-guru atau para ulama mengembangkan ilmu keagamaan seperti fiqah dan ilmu usul.
· Disamping itu, keagungan Acheh dalam bidang perdagangan turut mendapat perhatian daripada raja yang memerintah. Oleh hal yang demikian, raja akan memperelokkan frasarana seperti kemudahan di pelabuhan, pasar agar urusan perdagangan dapat berjalan dengan lancar.

KONSEP PEMULIHAN

KAMUS DEWAN :
EDISI 111: 1967
“Pulih’ bermaksud kembali seperti biasa [ keadaan semula]
Merujuk kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran. Pembelajaran pemulihan biasanya dikaitkan dengan usaha untuk memperbaiki sesuatu kekurangan atau memperbetulkan sesuatu.

BLAIR: 1956:
Program khas berbentuk tambahan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran agar ketidakupayaan yang menghalangnya dapat diatasi. Ia tertumpu kepada penguasaan kemahiran.

O. C SIMPSON:1975
Merupakan tindakan khas – tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran dalam kelas khas di sekolah biasa, di pusat-pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan biasa dan dalam darjah untuk pengajaran

SYARIFAH ALAWIAH ALSAGOF:1983
….satu tindakan yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang diasingkan daripada sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran

ISHAK HARUN & KOH BOH BOON:1983
….perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghadapi pembelajaran di sekolah biasa

RUMUSAN: Pendidikan pemulihan adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Program pemulihan ini disarankan supaya jurang berbezaan pencapaian di antara murid dapat dikecilkan dan mereka dapat belajar bersama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik di dalam kelas biasa.