"ORANG YANG KUAT, TIDAK TAKUT MEMIKUL BEBAN YANG BERAT TETAPI ORANG YANG LEMAH, JANGANKAN BEBAN ORANG LAIN, BEBANNYA SENDIRIPUN TIDAK TERPIKUL OLEHNYA"

" SEKALI ISTIQAMAH ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
SERIBU KARAMAH"

Jumaat, 13 April 2012

FAISAL TEHRANI DAN KESUSASTERAAN ILMU
Mazri b Abd Rahman
1. Biodata Faisal Tehrani
Saya remaja yang agak awal meletakkan sikap. Masalah
remaja kini ialah mereka tidak bersikap. Hal ini dikatakan demikian kerana
mereka tidak bersikap dalam hal kemasukan budaya asing sebagai contoh. Mereka
tidak bersikap dalam hal politik negara yang iklimnya tidak menentu
kebelakangan ini. Mereka tidak bersikap dalam hal agama yang menuntut kita
menerobos masuk wilayah sempit untuk tiba ke samudera yang lebih luas lagi. Mereka
tidak bersikap apa-apa pun. Mereka hanya melulu. Bukan meletakkan sikap pada
sesuatu isu. Oleh sebab terburu-buru itulah mereka masuk ke jaringan yang
rancu. Tanpa sikap, kita tidak dapat menentukan situasi diri kita. Untuk
bersikap, seseorang perlu menggali jati dirinya kembali. Hanya dengan bersikap,
remaja dapat mengenal letak dirinya, sama ada di tengah hedonisme melanda
ataupun di tengah gelodak pluralisme menduga.
(Faisal Tehrani
dalam Dewan Siswa, April 2010)
Mohd Faizal bin Musa atau Faisal
Tehrani dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Hospital Kuala Lumpur. Beliau dibawa
berpindah ke Melaka oleh ibu bapanya semasa berusia 5 tahun dan mendapat
pendidikan rendah di Bandaraya Bersejarah itu, bermula di Sekolah Sacred Heart
dan kemudiannya di Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang. Beliau menyambung
pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga tingkatan
tiga. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran
(SRP), Faisal melanjutkan pelajarannya ke Kolej Islam Kelang (Kolej Islam
Sultan Alam Shah).
Faisal seterusnya meneruskan legasi
pendidikannya ke Akademi Islam Nilam Puri, Kelantan sebelum ke peringat ijazah pertamanya dalam bidang
Syariah Politik di Universiti Malaya pada tahun 1998. Beliau menjadi fellow di Universiti Sains Malaysia di
samping meneruskan pengajian dan mendapat ijazah yang kedua di universiti yang
sama dalam bidang Kesusasteraan pada tahun 2000. Faisal melengkapkan
pengajiannya di peringkat Ph.D di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2010.
Sekarang, beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Penulisan, akademi Seni
Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
2. Karya-karya Faisal Tehrani
Faisal mula
melibatkan diri dalam dunia penulisan seawal usia 16 tahun. Pada ketika itu,
beliau menulis sekadar untuk mendapatkan duit poket menampung perbelanjaan
harian sahaja tetapi lama kemudiannya menjadi suatu minat yang tak dapat
disekat-sekat. Sehingga kini, Faisal telah menghasilkan lebih daripada 30 buah
cerpen, 20 novel, sebilangan skrip drama, antologi puisi dan kritikan. Cerpen
merupakan genre pertama yang dihasilkan oleh Faisal. Cerpen pertama beliau
ialah Anastasia yang tersiar dalam
majalah Muslimah pada tahun 1992. Pada masa itu, kemunculan Faisal dalam dunia
kesusasteraan tidak mendapat perhatian dan sanjungan daripada khalayak
sehinggalah dua tahun berikutnya apabila dua cerpennya, Anak dan Opah telah memenangi Hadiah Sastera Utusan
Malaysia- Public Bank pada tahun 1994.
Semenjak itu,
Faisal tidak menoleh ke belakang lagi. Rentetan cerpen-cerpennya mula menghiasi
ruangan-ruangan sastera di dalam media massa. Antaranya ialah Malam Ini Philadelphia Menangis (1994)
yang telah memenangi Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat pada tahun 1994 , Pemberontakan Kedua (1995) yang
memenangi Hadiah Sastera Utusan 1995. Perempuan
Anggerik (1996), Api KL Belum
Terpadam (1996) turut memberikan rezeki kepada Faisal apabila kedua-dua
cerpen ini memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Siswa-DBP-Bank Rakyat untuk
tahun 1996, malah Perempuan Anggerik juga
telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997. Cerpen ini juga
telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai, Inggeris dan Jepun dan turut diadaptasikan kepada dramatari oleh
kareografi terkenal, Jasni Abdul Hamid dari Adikara Dance Theatre pada 29 Julai
2001. Pada tahun 1996 juga, cerpennya, Menanti
Subuh (1996) telah meraih Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS
kelapan.
Surat Untuk Gabe 1 (1997) juga tidak
menghampakan Faisal. Cerpen ini telah meraih anugerah Hadiah Sastera Karya tahun 1997. Cerpen Cinta Gendang Kasturi (1998), Bulan
dan Wira (1999), Irisan-irisan mimpi
(2000), Syahid Raja Api (2000) juga
telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia antara tahun-tahun 1998 hingga
2000. Cerpen Cahaya Pada Jiwa (2001)
pula telah meraih Hadiah Sastera Berunsur Islam pada tahun 2001. Cerpen beliau,
Kerana Manisnya Epal telah dipilih
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai cerpen kajian untuk peringkat SPM.
Antara kumpulan
cerpen yang dihasilkan oleh Faisal ialah Kumpulan
cerpen mini Sehari Dalam Perang
(1997), Kumpulan Cerpen Safari Gilgit
(1997), Kumpulan Cerpen Underground
bersama Azman Husin (2000), Kumpulan
Cerpen Lagi-lagi Underground bersama Saharil Hasril Sanin (2002), Kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo ( Aberdeen World,2006) dan Kumpulan Cerpen Tiga Kali Seminggu
(2010).
Walaupun novel
merupakan genre kedua yang diceburi oleh Faisal tetapi beliau merupakan novelis
yang prolifik. sehingga kini, Faisal telah menghasilkan lebih daripada 20 buah
novel, iaitu, Cinta Hari-hari Rusuhan
(Creative Enterprise, 2000) yang dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera
Perdana tahun 2000/2001. Begitu juga dengan novel Perempuan Politikus Melayu (Penerbitan Pemuda, 2000). Novel ini
mendapat pujian daripada beberapa pengkritik termasuk Prof Madya Amida Abd Hamid,
SM Zakir dan Dato Johan Jaafar yang menganggap novel ini merupakan sebuah novel
yang berani.
Novel 1515 (Utusan Publication & Distributor, 2003) telah menjadi
penanda aras kehebatan Faisal dalam berkarya. Novel ini telah memenangi tempat
pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu-Exxon Mobil pada tahun 2002. 1515 turut dipilih oleh Universiti zu
Koln, Jerman sebagai teks bacaan wajib para mahasiswa Pengajian Melayunya.
Novel ini turut menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 untuk kategori Buku
Umum Fiksyen Bahasa Melayu.
Novel 1511H
[Kombat] (Utusan Publication & Distributor, 2004) menyusul dengan
memenangi hadiah pertama sayembara yang sama pada tahun 2003. Advencer Si Peniup Ney (Utusan
Publication & Distributor, 2005) dan
Detektif Indigo (Utusan
Publication & Distributor, 2004)terus
melonjakkan nama Faisal dalam dunia kesusasteraan.Kedua-dua novel ini
memenangi tempat pertama dan kedua dalam sayembara Hadiah Sastera Utusan
Malaysia-ExxonMobil untuk tahun 2004.
Surat-surat
Perempuan Johor (Aberdeen Books World, 2007) pula memenangi sayembara
Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1 pada tahun 2005. Di samping itu,
novel Bedar Sukma Bisu ( Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2007) meletakkan Faisal
sebagai pengarang tersohor apabila meraih tempat pertama Sayembara Mengarang
Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2007.
Novel ini juga turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2006/2007.
Begitu juga dengan novel Manikam Kalbu
( Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007) yang dihasilkan pada tahun yang sama telah
memenangi tempat pertama Sayembara mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP
2007 kategori remaja dan Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja
Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Manikam Kalbu turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia
2006/2007. Lain-lain novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani ialah maaf Dari Sorga ( 2003), rahsia Ummi (2003), Nama Beta Sultan Alauddin ( Aberdeen
World,2007), Tuhan Manusia (Ameen
Publishing, 2007), Tunggu
Teduh Dulu ( Ameen Publishing, 2008), Detektif
Indigo Kembali ( 2008), Saasatul
Ibaad (Aberdeen World, 2008), Ketupat
Cinta Musim Pertama (2009), Bahlut
(2010) dan Sebongkah Batu di Kuala Berang
(2011)
Selain genre cerpen dan novel, bakat
Faisal dalam bidang kesusasteraan turut terserlah dalam genre drama dan puisi. Antara
hasil garapan Faisal ialah drama Rintih
Chicago yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997, drama Angin Madinah yang memenangi Hadiah
Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan Dewan
Bahasa dan Pustaka dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Drama monsopiad dan lain-lain cerita pula
telah dicalonkan untuk Anugerah
Cameronian Award 2003 kategori skrip drama Malayu terbaik.
Dewan bahasa dan Pustaka telah
memperuntukkan dana untuk mementaskan dua drama Faisal iaitu Misi (1999/2000) yang telah dipentaskan
di Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang
dan drama Tivi yang
diadaptasikan daripada novelet Shahnon Ahmad.
Selain daripada itu, drama-drama
lain yang dihasilkan oleh Faisal ialah Dua
Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun (2008), Karbala (Aberdeen World,2008),
novel drama Bila Tuhan Berbicara
(Ameen Publishing, 2007) dan Kopitiam
Ghadir(2010). Faisal juga pernah menerima anugerah tertinggi kerajaan,
Anugerah Seni Negara pada tahun 2006 dalam bidang penulisan skrip drama pentas.
Dalam bidang puisi pula, Faisal
telah menghasilkan kumpulan puisi pertamanya, Ingin Jadi Nasrallah yang diterbitkan oleh Ameen Publishing pada
tahun 2010. Faisal juga pernah menghasilkan buku panduan penulisan kreatif
iaitu, Karya Nan Indah( Ameen
Publishing, 2007)
3. Kesusasteraan Ilmu
Kertas kerja ini memberi fokus
kepada novel Advencer Si Peniup Ney.
Dalam perbincangan ini, penulis akan menggunapakai teori gagasan Persuratan
Baru (PB) janaan Mohd Affandi Hassan sebagai kerangka kajian.
Dalam PB, ilmu
merupakan sesuatu yang cukup penting dalam berkarya. PB meletakkan ilmu sebagai
teras dalam penghasilan dan penghayatan sastera (Ungku Maimunah,2010:389). Hal
yang demikian kerana PB diasaskan atas tiga prinsip utama iaitu Hakikat Insan,
Hakikat Ilmu dan Amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera yang bermula dan
berpaksikan ayat daripada surah az-Zariyat ayat 56,
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan
untuk mengabdikan diri kepadaKu”


Dan surah al-A’raf
ayat 172 yang bermaksud,
‘Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan
keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman):
“Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: betul (Engkau Tuhan kami), kami
menjadi saksi. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak
mengatakan : “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah
terhadap ini (keesaan Tuhan)”.
PB menggariskan kegiatan kesusasteraan
merupakan ibadah kerana golongan pengkarya ini memiliki ilmu dan kemahiran
mengarang yang tidak dimiliki oleh orang biasa. Sebagai suatu ibadah, seseorang
pengarang mestilah memulakan penulisan dengan niat yang benar dan cara
pelaksanaan yang benar. Ini bertepatan dengan tuntutan agama sebagaimana
dirakamkan di dalam al-Qur’an surah al-Syu’ara ayat 224-227 yang bermaksud,
“Dan
penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat
bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah. Dan bahawasanya mereka suka
menyatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya. Kecuali orang-orang
(penyair-penyair) yang beriman dan beramal salih dan banyak menyebut Allah dan
mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu
kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.”
PB merupakan suatu gagasan yang
meletakkan ilmu sebagai asas dalam segala aspek kehidupan termasuklah bidang
kesusasteraan. Dalam hal ini, PB melihat
kepentingan ilmu sebagai asas penguasaan kesusasteraan. Apa sahaja tindakan dan perilaku manusia
mestilah ditentukan dengan pertimbangan ilmu yang benar. Menurut PB lagi, ilmu
yang benar merujuk kepada ilmu yang berupaya menjadikan manusia mengenali
Penciptanya serta membawa mereka ke arah kebaikan dengan meninggalkan kemungkaran (amal ma’ruf nahi mungkar). Dalam
hal ini, PB menjelaskan bahawa ilmu dalam pengertian yang hakiki ialah ilmu yang membawa manusia kepada
Allah melalui tanda-tanda yang telah
diperlihatkanNya kepada manusia. Berdasarkan
Ilmu merupakan
sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia untuk membuat pertimbangan baik
atau buruk sesuatu perkara khususnya dalam hubungan antara manusia dengan
manusia dan antara manusia dengan Penciptanya. Dalam hal ini, Mohd Affandi
Hassan(1992:20) mengkategorikan sumber ilmu kepada tiga iaitu ilmu wahyu, ilmu
bersumberkan akal dan pengetahuan. Antara ketiga-tiga sumber ini, wahyu berada
pada kedudukan tertinggi kerana wahyu itu sendiri datangnya terus daripada
Allah kepada para nabi. Melalui wahyulah, kita dapat mengetahui hal-hal
berkaitan kewujudan Allah dan perkara-perkara yang ghaib seperti syurga,
neraka, pembalasan di akhirat dan hakikat kejadian manusia itu sendiri.
Mohd Affandi
juga turut membezakan antara ilmu dan pengetahuan. Menurut beliau, ilmu berada
setahap lebih tinggi daripada pengetahuan. Hal yang demikian kerana ilmu
diperolehi melalui keimanan di mana pemerolehan ilmu itu adalah anugerah oleh
Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya manakala pengetahuan pula diperolehi
melalui akal melalui pencarian, pembelajaran, dan usaha sendiri. Kerana itulah
biasanya ilmu lebih mendorong ke arah kerja kebaikan manakala pengetahuan lebih
menjurus kepada perlakuan yang negatif.
Dalam hal ini,
sebagai insan yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian dan dilantik sebagai
khalifah Allah di atas muka bumi ini, kita perlu mengadunkan antara ilmu dan
pengetahuan agar dapat bergerak seiring. Pengetahuan diperlukan untuk mencapai
tahap terbaik dalam kehidupan kita tetapi ilmu yang didorong oleh keimanan akan
menjadi panduan dan benteng agar kita tidak terjerumus ke suatu tempat yang
tidak sepatutnya atau dengan kata lain, ilmu
akan membantu kita ke arah hakikat kejadian kita sebagai hamba Allah
yang bersyukur.
Dalam soal
berkaitan ilmu ini, agama Islam turut meletakkan ilmu (dan pengetahuan) sebagai
sesuatu yang cukup penting dan bernilai
dalam kehidupan. Ini bertepatan dengan ayat pertama yang diwahyukan kepada nabi
Muhammad SAW. Firman Allah dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud,
‘Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Ia
menciptakan manusia daripada sebuku dara beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia
apa yang tidak diketahuinya.’
4. Analisis Novel Advencer Si Peniup Ney.
Dalam penulisan, Faisal berpegang
pada prinsip saya menulis bukan sahaja
untuk khalayak hari ini tetapi juga untuk khalayak esok. Atas keadaan
itulah kebanyakan karya Faisal lebih menjurus kepada karya keilmuan yang jarang
diketengahkan oleh penulis lain. Dalam kertas kerja ini, kita akan melihat
beberapa pengetahuan dan ilmu yang terdapat dalam dua novel Faisal yang dipilih.
Dalam novel Advencer Si Peniup Ney, Faisal
mengetengahkan dan membicarakan isu hedonisme dalam kalangan masyarakat. Advencer Si Peniup Ney telah memenangi
tempat pertama Pertandingan Novel Remaja
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Sebagaimana kita sedia maklum, masyarakat
kita sejak dari dahulu hingga sekarang terpengaruhi dengan budaya hiburan.
Persembahan nyanyian sudah sebati dengan apa sahaja program yang dilaksanakan. Pelbagai
rancangan realiti TV yang memberikan fokus kepada bidang hiburan kerap
dipertontonkan. Ini tidak termasuk konsert-konsert nyanyian yang kerap
terpampang di kata TV. Sikap masyarakat terutama golongan muda menjadikan
artis-artis sebagai idola dan mengagungkan mereka sebenarnya membawa kepada
kerosakan dalam masyarakat itu sendiri. Hal yang demikian kerana pengaruh muzik
yang kebanyakannya melalaikan dan menjurus kepada berlakunya perkara-perkara
yang negatif dan merugikan.
Atas kesedaran
itulah Faisal menghasilkan novel ini, sesuai dengan pernyataan di awal
penulisan ini, seseorang itu perlu memiliki sikap dan jati diri. Antara yang
disentuh oleh Faisal ialah bagaimana muda-mudi sekarang begitu
mengagung-agungkan muzik dan nyanyian tanpa mengetahui bahawa semua itu adalah
agenda Yahudi berdasarkan protokol Perkara XIII-3 yang antara lain menjadikan
kesenian dan kesukanan seperti hiburan, keghairahan, nyanyian dan lain-lain
lagi untuk menyesatkan golongan muda dan dalam konteks ini pemuda Islam (halaman
23).
Sebagai sebuah
novel ilmu, Faisal telah mengemukakan beberapa fakta yang merupakan suatu ilmu
sebagaimana tuntutan PB iaitu, yang diperlukan oleh manusia untuk membuat
pertimbangan baik buruk sesuatu perkara dan membawa manusia kepada hubungan
yang baik antara sesama manusia atau dengan Rabbuljalil.
Perkara pertama
ialah kedudukan muzik dalam Islam. Sebilangan besar meletakkan muzik itu
sebagai sesuatu yang haram, bahkan Imam Syafei ada mengatakan bahawa muzik dan
nyanyian adalah makruh dan hanya diamalkan oleh orang safih atau bodoh (halaman
33). Menurut ulama fikah pula, apa sahaja nyanyian kecuali nyanyian kanak-kanak
di majlis perkahwinan hukumnya haram (halaman 33). Sebuah hadis nabi Muhammad
SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang antara lain bermaksud, pada akhir
zaman nanti, sekumpulan umat Islam yang berhibur dengan alat bunyian dan
penyanyi wanita akan ditukar wajahnya menjadi monyet dan babi(halaman 32). Walaupun
begitu, ada pandangan ulama mazhab zahiriyyah dan sufiyah yang membolehkan
hiburan sebagai memenuhi naluri manusia( halaman 34). Ini bersandarkan
pandangan bahawa muzik itu haram bukan kerana zatnya tetapi kerana hal-hal lain
seperti nyanyian yang menyanjungi kezaliman dan gaya dan penampilan yang
membangkitkan rangsangan (halaman 91-92)
Namun begitu,
Faisal, lewat novel ini turut memberikan pengetahuan tentang muzik dalam Islam.
Dijelaskan bahawa zikir adalah muzik yang utama dalam Islam kerana melalui
zikir, yakni mengingati Allah akan menjadikan jiwa tenteram kerana zikir adalah
makanan hati (halaman 61). Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah
al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud,
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka
manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati
Allah-lah hati menjadi tenteram
Di samping itu, notasi dalam muzik iaitu, do
re, mi fa, so, la, dan ti mempunyai persamaan dengan abjad-abjad Arab iaitu, da, ra, mim, fa, sod, lam, ta (halaman
48). Muzik turut digunakan oleh Sultan Beyazid Kedua di Turki untuk mengubati
pesakit malah Sultan Beyazid juga telah menubuhkan sebuah kompleks kesihatan menggunakan
muzik sebagai terapi (halaman 190).
Di samping itu, Faisal
turut memberikan pandangan sejarah notasi muzik. Ramai ahli muzik moden
berpendapat bahawa notasi muzik adalah ciptaan Guido Arezzo dari Itali sejak
tahun 1026 masehi lagi tetapi hakikat yang sebenarnya, notasi muzik ini
dihasilkan oleh orang Islam. Dikatakan Arezzo pernah belajar di Catalogna,
Andalusia yang dikuasai oleh kerajaan Islam dan berguru dengan Ibnu Farnes
dan Zariyab, pensyarah muzik tersohor di
Andalusia(47-50).
Umat Islam juga
dikatakan sebagai pelopor dalam bidang muzik ini. semasa pemerintahan kerajaan
Umaiyyah, telah terdapat pelajaran berkaitan sout atau bunyi, talif atau
gubahan, iqa atau ritma. Selain itu, Ibnu Farabi telah
menulis kitab-ul-Musiqi yang
membicarakan konsonan dalam muzik(halaman 58) dan Ibnu Kindi menggunakan muzik
sebagai terapi mengubati sakit lumpuh seorang kanak-kanak (halaman 60).
5. Kesimpulan
Berdasar analisis ringkas yang
dinyatakan di atas, Faisal banyak mengemukakan aspek-aspek keilmuan yang
menjadi teras kepada cerita. Dengan kata lain, Faisal melalui Advencer Si Peniup Ney menggunakan ilmu
dalam membangunkan cerita. Bermula daripada peringkat awal penceritaan lagi, Advencer Si Peniup Ney mengetengahkan kegilaan
golongan muda terhadap muzik. Mereka menjadikan muzik sebagai suatu yang
penting dalam kehidupan sehingga lalai dan leka dan melupakan kehidupan
beragama. Faisal memberikan penyelesaian keilmuan dengan memberikan pandangan
dan pendapat tentang muzik dan kedudukan muzik itu sendiri dalam Islam. Dengan
mengemukakan dalil naqli dan akli, ilmu muzik dimartabatkan sesuai dengan tuntutan
agama. Sebagai konklusinya, Advencer Si
Peniup Ney menepati konsep PB dengan menjadikan sebuah karya kesusasteraan
itu sebagai wadah perjuangan ilmu dan bukannya sebagai sebuah karya penceritaan
semata-mata.
Rujukan
Faisal
Tehrani (2005), Advencer Si Peniup Ney,
Utusan Publications & Distributors Sdn
Bhd, Kuala Lumpur.
Mohd Affandi
Hassan (1992), Pendidikan Estetika
Daripada Pendekatan Tauhid,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur.
Mohd Affandi
Hassan, Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Mohd Zariat Abdul Rani (2008),
Gagasan
Persuratan Baru: pengenalan dan Penerapan, ATMA UKM, Bangi.
Syed Muhammad
Naguib al-Attas (2007), Tinjauan Ringkas
Peri Ilmu dan Pandangan Alam,
Penerbit USM, Pulau Pinang.
Ungku
Maimunah Mohd Tahir (2010), Kedudukan
Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan
Praktis, ATMA UKM, Bangi